Desa Parabek , sebuah kedamaian. |
Apabila direnung dalam-dalam, subhanallah, bukankah Allah yang merancang kehadiran mereka itu untuk kita. Jadi sudah tentu ada tujuannya. Dihadirkan kepada kita manusia yang baik, yang jahat, yang lemah-lembut, yang kasar, yang bodoh, yang cerdik, yang kaya, yang miskin, yang wara' yang ingkar, yang cantik, yang hodoh, yang penyayang, yang ganas, yang lurus, yang penipu...semua itu mewarnai kehidupan kita yang pendek ini. Ia dihamparkan sebagai ujian untuk menilai mampu atau tidaknya kita mengambil pengajaran darinya dan menjadi insan soleh yang cipta untuk menjadi khalifah di bumi ini.
Mereka ada yang menyenangkan, ada yang menyusahkan, ada yang membahagiakan, ada yang menyakitkan..... Maha Besarnya Allah. Dia tahu apa yang perlu untuk kita, sudah tentu Dia juga tahu yang tidak perlu untuk kita.....tidak perlu dikesali apapun yang kita lalui kerana dalam setiap perlakuan insan-insan itu ada seribu pengajaran yang dihidangkan untuk menyempurnakan nilai keinsanan kita sebagai makhluk yang sedang bermusafir menuju Rabbnya.
Kita perlu pengalaman merasa betapa sedihnya apabila dibenci, agar kita mampu mengerti apa itu kasih apabila dikasihi dan apa itu sayang apabila disayangi. Kita perlu merasa betapa pedihnya apabila disakiti, agar kita mampu mengerti apa itu budi apabila dihargai. Kita perlu merasa betapa siksanya melalui jalan yang sukar, agar kita mampu mengerti apa itu nikmat kemudahan..... dunia sememangnya bukan untuk bersenang-senang.
Tanganilah kerenah mereka dengan sebaik-baiknya. Yang pasti kita akan semakin sempurna apabila semakin diuji. Hanya mereka yang hebat yang mampu bangun walau dihenyak. Yang menghenyak kita adalah manusia yang lemah sedangkan yang membangunkan kita adalah Allah yang Maha Kuat.
Jiwa yang sudah terasuh dengan agama akan sedih apabila ada teman yang disakiti. Rasa sayu apabila tidak mampu membantu. Rasa bimbang terjejasnya kesabaran akan melepaskan peluang untuk mendapat maqam yang lebih tinggi yang dijanjikan oleh Allah buat mereka yang sabar dengan setiap dugaan.
Sahabat, sabarmu moga diganjari.