Suatu ketika sewktu saya sedang duduk tahyat akhir solat berjemaah di Masjid Nabawi, seorang wanita Arab yang juga sedang duduk tahyat akhir disebelah saya meletakkan tanganya ke tangan kanan saya sambil menarik jari telunjuk saya menyuruh saya memusing-musingkanya seperti yang dia lakukan.
Mungkin beliau kurang mengerti tentang toleransi dalam perbezaan dan memaksa orang lain mengikutnya.
KES 2
Beberapa bulan yang lepas saya membaca buku Pelatihan Shalat Khusyu' karya Abu Sangkan dari Indonesia. Tulisannya menggunakan pendekatan yang menarik. Saya cuba membuka minda dengan menganggap setiap yang dibaca atau didengar sekiranya boleh membawa kebaikan maka saya akan mencubanya selagi tidak menyalahi syara'. Ternyata ia berkesan.
Beberapa hari yang lepas semasa menyampaikan tazkirah subuh di surau Taman Permai Jaya, jiran saya berkongsi pengalamannya mengikuti latihan solat khusyu' menggunakan modul yang amat menarik. Beliau menunjukkan buku yang sama. berkulit putih gambar orang sedang solat di depan tasik.
Saya cuba mendapatkan maklumat tentang penulis buku itu melalui internet. Saya membaca dari satu blog ke satu blog yang senaraikan oleh google mengenai Pak Abu Sangkan. Saya tidak terkejut dengan apa yang saya baca. Pertembungan antara pengikut dan pengkritik. Seperti biasa setiap pembawa sesuatu yang baru akan ada penyokong dan ada penentangnya. Ada banyak tulisan mengenai penulis ini tetapi bukan tentang kandungan buku.
Tanpa berpihak kepada penyokong mana-mana kumpulan da'wah, saya membuat pemerhatian sendiri tentang keadaan ummat Islam masa kini. Mungkinkah kerana kita sudah terlalu jauh dari zaman Rasulullah s.a.w maka pandangan mata semakin kelabu untuk melihat sesuatu itu dengan husnul zhon . Pandangan positif perlu supaya kita boleh bertindak dengan adil dan tidak menyakitkan hati orang lain. Kita mudah sekali berselisih tentang apa saja perkara, hatta perkara2 remeh yang boleh saja menjadi punca pergaduhan dan membawa kepada keretakan ukhwah.
Sebagai insan biasa yang kurang ilmunya, sudah tentu saya berharap para ulama' dan mufti menjadi penyelesainya dan kita menerima keputusannya dengan redha.
Jelas sekali sifat toleransi sesama saudara seiman amat rendah yang menyebabkan kesepaduan ummah sukar dicapai.
KES 3
Beberapa hari sebelum itu saya didatangi beberapa orang pelajar yang mengadu mereka dimarahi dan dituduh sebagai iblis oleh beberapa sekumpulan pelajar lain kerana tindakan mereka melakukan perkara bidaah kerana mengajak anak-anak yatim menyanyi lagu nasyid dalam program bersama anak-anak yatim di UIA. Mereka dituduh menyimpang dari Islam dengan melakukan perbuatan bida'ah dan mereka dipaksa memberhentikan program itu. Salah seorang dari mereka yang dituduh itu adalah seorang pelajar yang sangat giat berda'wah dan beliau menunjukkan sms berbunyi, "Kamulah ketua iblis dalam kelab ini." SMS itu dihantar oleh salah seorang dari kumpulan yang menuduh itu.
Sekali lagi saya merasa hiba melihat persaudaraan mereka terlerai kerana berbeza pandangan terhadap isu 'mengajak anak yatim menyanyi lagu nasyid', isu yang tidak sebesar manapun. Sikap rakan mereka yang terlalu mudah menghukum dan melabelkan saudara seiman mereka sebagai iblis adalah perbuatan yang keterlaluan.
Tiada toleransi, tiada kesefahaman.
ANALISA SAYA
Disebabkan ilmu agama dan kemahiran komunikasi yang terbatas kita gagal membezakan antara perkara pokok dan perkara ranting. Akibatnya kita tidak punya toleransi apabila berhadapan dengan orang lain. Kita taksub dengan kumpulan kita dengan menafikan segala fahaman lain dari kumpulan 'luar' yang berbeza dengan kita.
Elemen 'in-group' dan 'outgroup' sangat tebal menyebabkan pendekatan kita menjadi exclusive bukan inclusive. Membuang orang bukan menarik orang. Pernahkah kita mengambil berat tentang adab yang dianjurkan Islam apabila berbeza pendapat sesama sahabat seagama?
Sudahkah kita memberi keutamaan kepada tugas menarik mereka yang tersasar dari kehidupan beragama kembali menyembah Allah. Mereka ada di lorong-lorong kotor di belakang Chow Kit. Mereka ada di Jalan Bukit Bintang waktu malam. Mereka ramai lepak di pusat-pusat membeli-belah. Mereka juga ada di simpang-simpang jalan kampung kita waktu maghrib.
Tanyalah kepada tukang sapu majlis perbandaran semasa mereka menyapu sampah waktu pagi berapa banyak mereka menemui kondom yang sudah digunakan remaja di taman-taman rekreasi terutama apabila malam itu ada konsert. Tanyalah mereka berapa banyak botol arak yang berselerak di simpang-simpang jalan tempat anak-anak Melayu lepak malam hari. Siapa yang patut turun mencegah kemungkaran ini. Di sanalah iblis sebenar yang patut kita tangani. Disanalah gelanggang sebenar untuk membetulkan kemungkaran yang memang sudah jelas dan nyata tanpa ragu-ragu lagi.
Tetapi kita hanya berdiam diri dan mengharapkan orang lain menanganinya. Kita hanya berani berhujah di gelanggang yang tidak berisiko dan megah apabila orang lain terpaksa mendiamkan diri. Kita lupa menang berhujah itu bukan bermakna kita juara. Kita juara hanya apabila orang lain dapat menghormati kita dengan sepenuh hati kerana keadilan kita tanpa ada orang yang sedia baik merasa diri mereka tertindas.
Kita berkeras dengan perkara sunat dan makruh tetapi berlembut dengan perkara haram.
Hormatilah sesiapa saja yang berusaha untuk berda'wah memanggil mereka ke jalan Allah. Kalau mereka salah nasihatkan dengan baik. Kalau mereka perlukan bantuan, bantu mengikut yang kita mampu. Ingatlah pesan Rasulullah saw menyuruh kita saling tolong-menolong kepada kebaikan bukan bercakaran atau mendabik dada mengatakan kumpulan kitalah yang paling hebat.
Saya katakan kepada mereka,
"Adaklanya antara kebenaran dan kebathilan itu tidak nampak dengan jelas, sebab itulah kita dituntut menuntut ilmu. Hanya dengan ilmu saja pandangan kita dapat membezakan dengan lebih tepat. Ilmu yang baik akan tertanam di dalam jiwa yang jernih. Jiwa yang jernih akan terpancar dalam perbuatan pemilik nya dan dia akan menyejukkan perasaan orang lain apabila berbicara. Orang berjiwa jernih tidak menghukum orang lain sewenang-wenangnya kerana dia tahu peranannya adalah sebagai penyampai bukan penghukum.
Apabila kita bertemu dengan orang berwatak keras, bertenanglah dan berhujjah dengannya sekiranya kita ada kemahiran dan ilmu serta dia sedia mendengar bicara kita. Jika tidak berdiam itu lebih baik. Doakan agar ia mendapat hidayah dari Allah.
Orang Melayu lembut hati dan bicaranya. Berda'wah secara lembut adalah yang paling sesuai dalam mendekati mereka. Usah gunakan kekerasan kerana ia boleh mencederakan perasaan mereka.
Usah putus asa kerana orang yang mudah putus asa itu mudah didekati iblis. Jadikanlah solat dan sabar sebagai sumber kekuatan kita. Teruskan perjuangan di persada da'wah.