Mereka Yang Saya Cemburui


posted by Martinelli Hashim

2 comments



Dulu saya mencemburui nenek saya yang cacat sebelah mata, hidup melalui seribu rintangan tetapi sangat tabah. Setiap hari sentiasa solat 5 waktu di masjid. Malamnya dihidupkan dengan tahajjud. Dengan badan yang sudah bongkok, masih gigih ke masjid lebih awal dari orang lain. Solat di ruang yang sama sejak muda, di belakang sebuah tiang berukir yang menjadi saksi istoqomahnya nenek solat di situ. Kata nenek kalau tiang itu boleh bercakap dia akan bercerita bagaimana saya tidur di balik tiang itu waktu kecil semasa menunggu nenek selesai solat zohor dan asar. Saya cucu yang paling setia mengikut nenek ke masjid masa zaman kana-kanak. 


Waktu siang nenek banyak dihabiskan menjaga cucu dan membantu  pelajar sekolah pondok. Kasih beliau kepada penuntut ilmu cukup luar biasa walaupun beliau tidak pernah sekolah. Walau mempunyai hanya sebelah mata saja beliau amat gigih membaca Qur'an setiap hari. Perkataan yang keluar dari mulutnya hanyalah kata-kata nasihat selain zikir. 

Saya juga mencemburui kenalan saya seorang pegawai tinggi kerajaan yang setiap waktu rehat tengaharinya dipenuhi dengan kerja amal. Dia akan meninggalkan kerja lain dan beralih kepada menguruskan  perancangan kerja da'wah beliau pada saat orang lain berseronok menikmati hidangan makan tengahari. Hujung minggunya dihabiskan untuk berdakwah ke kampung Orang Asli atau melatih remaja hidup sempurna.

Saya mencemburui seorang wanita  yang sejak mudanya sangat bersungguh-sungguh memberi layanan terbaik buat suaminya. Saya masih terbayang melihat beliau menunggu suaminya di luar bilik air sambil memegang baju tidur suami yang siap bergosok licin. Begitulah yang dilakukan setiap hari. Urusan anak-anak adalah kedua selepas urusan melayan makan-minum dan segala keperluan suami. Kelembutan, budi bahasa dan ketenangannya melayan kerenah anak cucu amat luar biasa. Setiap yang datang bertamu ke rumahnya akan dilayan dengan sangat baik tanpa mengira status tetamunya.

Saya juga cemburu dengan seorang anak muda yang pernah saya didik di CENSERVE kini  sangat aktif  melakukan kerja kemanusiaan dengan  penuh semangat, profesional dan bertanggungjawab. Dan yang paling saya kagumi adalah sikapnya yang sentiasa positif dan tidak pernah mengkritik siapa saja atau apa saja. Apabila bercerita tentang kawan-kawannya hanyalah cerita berbentuk pujian. Walaupun sudah banyak pengalaman di arena antarabangsa tetapi masih merendah diri. Kehebatan budinya membuat saya begitu kerdil.


Saya cemburu dengan seorang sahabat saya yang meninggalkan jawatan tinggi semata-mata untuk menjadi aktivis kemanusiaan. Kehebatannya dikagumi orang tetapi beliau akan menjauhkan diri dari orang yang suka menyanjung dirinya. Walaupun sudah melatih ramai orang namun tiada seorangpun anak didiknya yang taksub dengan dirinya.

Saya juga mencemburui anak saya semasa berumur 9 tahun  pergi bertemu gurunya sehari selepas mendapat tahu dia mendapat nombor 1 dan sahabatnya nombor 2 dalam peperiksaan. Dia mendapat tahu ibu sahabatnya itu tidak puas hati dengan kedudukan anaknya mendapat nombor 2 dan meminta guru itu meneliti kertas-kertas anaknya. Anak saya  merayu kepada gurunya menukarkan kedudukannya dari no 1 ke no. 2 dengan mengatakan, "Cikgu bagilah nombor 1 tu pada Arif. Kesian mak dia susah hati Arif tak dapat nombor 1. Biar saya nombor.2 , tak apa, saya tak kisah." 
Cerita ini diberitahu oleh guru tersebut kepada saya. Hari ini dia sudah dewasa dan masih begitu, sentiasa beralah kepada sesiapa saja. Dia yang tidak pernah mengeluh, jauh sekali dari menyusahkan orang lain....subhanaLlah.

Saya cemburu kerana  mereka punya hati yang sangat mulia, bersih dari hasad dengki dan meletakkan kepentingan orang lain lebih dari diri sendiri. Bayangan mereka memberi motivasi kepada saya pada saat-saat saya tersasar dalam bermuamalah.


Rasul s.a.w. bersabda: Tidak ada cemburu yang dibenarkan kecuali terhadap 2 orang; iaitu pada orang yang Allah berikan harta, dia menghabiskannya pada jalan kebaikan, dan pada orang yang diberikan ilmu dan dia beramal dengan ilmu tersebut dan mengajarkannya pula kepada manusia siang dan malam. (Sahih Muslim)


Siapa yang anda cemburui dalam hidup anda? Jom kongsikan di sini untuk kita sama-sama dapat manfaatnya.

2 comments

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai