Kecuali anak sulong, kesemua anak2 saya meninggalkan bekas parut tanda kenakalan mereka.
Anak kedua, Hanafi ada parut di dagu suka menterbalikkan almari bila mengamuk. Anak ketiga, Hazim ada parut di kening kerna suka memanjat. Anak ke empat, Hasif dagunya terkoyak, tebuk sampai ke bahagian dalam mulut kerana terjatuh ke bucu lantai rumah. Anak ke lima, Syakirah, putus jari kerana tersepit pintu. Anak ke enam, Hanif, berparut di dahi kerana jatuh ke dalam longkang.
Tambah memeningkan lagi kerana mereka mempunyai ayah yang mengikut apa saja permainan yang diminta si anak. Nintendo, master system. psp, sebutlah jenamanya, semua ada. Anak tidak minta pun, kadang2 si ayah yang suka membelinya.
Ramai kawan2 menegur, "Permainan ini bahaya, Neli, janganlah belikan, nanti anak2 ketagih susah dibuatnya."
Dari banyak2 nasihat ada satu nasihat yang sangat berkesan dari seorang kawan. Katanya, "Biarlah nakal macam mana pun anak2, tapi pastikan mereka tak tinggal solat. Insya Allah mereka akan jadi orang baik bila besar nanti."
Masih terbayang peristiwa lucu melihat anak kedua yang berumur 9 tahun yang terlalu kreatif, bersolat dengan gerakan ala robot. Saya menepuknya dari belakang dan dia terlompat terkejut kerana tidak menyangka ibu memerhatikannya main2 dalam solat. Sejak peristiwa itu sampai sekarang dia menjaga solat dengan baik dan tidak perlu diingatkan untuk solat sebagaimana adiknya2 yang lain.
Walaupun mereka sangat lasak, tetapi perangai macam anak kucing. Mereka akan mengekor kemana saya pergi . Kalau saya di dapur semua akan ikut ke dapur. Kalau saya ke bilik air semua akan menunggu di depan bilik air. Turun tangga berderet mengikut ibu. Naik tangga berderet mengikut ibu, tidak ubah macam ibu kucing dan anak2 kucing. Lepas solat masing2 berebut masuk dalam telekung ibu.
Kata orang anak2 yang menyusu badan akan rapat dengan ibunya. Mungkin itulah puncanya. Macam mana susah sekalipun, menyusukan sendiri anak adalah hadiah terbaik dari seorang ibu dan jangan sekali2 kompromi dalam bab ini.
Kata orang anak2 yang lasak waktu kecil, apabila besar akan jadi bijak. Mungkin benar dengan syarat kita mendidiknya dengan kaedah yang tepat.
Kata orang ibu patut berhenti kerja supaya rapat dengan anak. Tidak benar, asalkan kita sentiasa bersama mereka diwaktu2 mereka memerlukan, memberi penuh perhatian sewaktu mereka bercakap sehingga mereka tidak perlu mencari alternatif lain untuk menyuarakan perasaan dan masalah.
Kata orang ibu perlu lembut dan ayah perlu keras. Tidak benar, keduanya perlu lembut dan keras diwaktu2 yang sepatutnya.
Kata orang jangan biasakan anak memijak ayah yang berbaring dilantai. Tidak benar, kerana semua itu akan mengeratkan lagi hubungan ayah dan anak2 .
Kata orang dekati anak sambil bercerita sewaktu anak hendak tidur. Memang benar, pengajaran yang hendak kita tanamkan dalam jiwa mereka akan sangat melekat apabila kita menyebutnya semasa menidurkan anak.
Kata orang gunakan bacaan asma ulhusna untuk mengubati kedegilan anak. Memang benar. Saya lakukannya semasa anak ke 4 saya yang suka merengek sewaktu berumur 3 tahun. Saya bacakan ke dalam susunya selepas solat hajat waktu malam. Selepas meminumnya dia terus berubah dan sangat rajin membantu serta tidak pernah mengatakan tidak kalau disuruh.
Kata orang untuk menjadi ibu yang baik. seringlah2 membelai rambut anak yatim hati kita akan jadi lembut untuk beribadah. Memang ini tidak dinafikan.
Sekarang semuanya sudah besar2 namun perangai kucing mereka masih tidak hilang. Saya akan menjadi ibu kucing yang kesunyian apabila anak2 tidak balik.
Seorang demi seorang mula mengenalkan calon pasangan masing2....... tanpa disedari masa berlalu begitu pantas. Terfikir juga bagaimanakah agaknya mereka akan melalui kehidupan yang penuh pancaroba ini.
Sudah 6,7 tahun menikmati rumah kemas tanpa selerakan barang mainan anak2. Tiba2 pusingan kedua bermula dengan kelahiran cucu yang jauh lebih lasak dari anak2 sendiri walaupun baru berumur 7 bulan.
Kehadirannya seorang sudah cukup menggamatkan seisi rumah.
Alhamdulillah...anugerah anak adalah hadiah paling bermakna dari yg Maha Esa!