Sekali Air Bah Sekali Pasir Berubah


posted by Martinelli Hashim

No comments


gambar dari http://www.freakingnews.com

Ruginya kita yang sering menjadi mangsa  "sekali air bah, sekali pasir berubah…"
Bahnya sangat kerap sehingga habis pasir yg bagus turut hanyut. Tinggallah hamba rakyat  terkapai-kapai menyelamatkan sisa-sisa bah itu.

Sedih mendengar rakan-rakan yang mendapat jawatan baru berkata,”Now under my leadership, I want to change everything. It’s going to be a complete change. If they are not happy they can go….Aku nak ubah semua. …” 

Bukankah itu bongkak namanya. Dengan  rasa bangga dan tidak prihatin mereka melakukan 'tsunami' organisasi.

Tanpa mereka sedari mereka sedikit sebanyak melayan rasa bangga diri yang merosakkan iman. Mungkin saja ramai hati-hati yang terluka kerana sudah tentu di antara mereka ada yang yakin bahawa tidak semua yang lama itu tidak baik berdasarkan pengalaman yang sudah dilalui. Tetapi siapa yang berani melawan ketua? Tidak semua ketua boleh menerima teguran tanpa prejudis.

Tetapi itulah sikap rata-rata pemimpin Islam yang dapat jawatan baru. Perubahan tanpa kajian terperinci amat memudharatkan organisasi. Mengenepikan padangan orang lain tanpa cuba memahami adalah satu kerugian. Berlagak pendekar tanpa hikmah adalah bencana. Bertindak untuk mendapat pujian adalah ria'.

Saya kadang-kadang cemburu dengan orang putih yang percaya “rolling stones gather no moss” dan mereka lebih matang dalam menguruskan perubahan.

Sedikit perubahanpun sudah menjejaskan bajet dan perasaan kakitangan. Apalagi kalau perubahan itu melibatkan struktur dan operasi. Tujuan untuk menambakbaik menjadi mengurangrosak apabila ia dibuat secara terburu-buru tanpa perbincangan dan kajian teliti dengan mengambil kira kesan-kesan lain yang boleh menggugat keseimbangan organisasi. Bayangkanlah kalau perubahan itu secara besar-besaran dan hampir setiap tahun dilakukan. Kakitangan akan hilang keyakinan dan kewangan akan dibazirkan begitu saja.

Baru-baru ini saya sempat berbual dengan seorang pensyarah dari universiti Thailand. Saya kagum dengan cara Thailand memacu ekonominya walaupun pimpinan negara sentiasa bergolak. Bagi rakyat, yang berubah hanyalah pemimpin tetapi operasi ekonomi rakyat dan sistem-sistem negara yang lain tidak diubah.

Orang Jepun mempunyai cara yang amat teliti dalam membuat keputusan untuk melakukan perubahan. Perubahan dilakukan setelah pakar-pakar dalam organisasi sudah mengkaji segala kemungkinan.
Presiden Amerika bertukar-tukar tetapi sistem operasi, agenda, budaya kerja mereka tetap sama.


Tetapi kita takut dituduh lemah jika tidak melakukan sebuah perubahan besar. Lebih besar lebih dianggap hebat. Kita merasa begitu megah apabila dapat mengarahkan orang bawahan untuk merubah segala yang ada. Orang bawahan yang berbeza pandangan digolongkan sebagai penentang yang ada "resistance to change" dan perlu ditangani dengan cara apa saja.


Tanpa rasa bersalah kita mengatakan "Sistem lama adalah milik orang lama yang perlu dipadamkan semuanya" kerana kita tidak mahu dibayanginya. 



Sayang seribu kali sayang, kita suka merubah perkara yang tidak perlu diubah tetapi masih tidak mampu mengubah sikap menjadi lebih matang, memahami, wara', zuhud, prihatin, bertimbangrasa dan menyayangi orang lain kerana Allah. Sedangkan perubahan itulah yang paling penting untuk kita hidup bahagia di dunia dan akhirat.


Kita dikaburi dengan bayangan 'aku  profesional' mengikut fahaman kita sendiri.


Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai