Tetapi kalau kita memakai kacamata yang bersih untuk melihat pengajaran maka pengajaranlah yang bakal kita lihat dan kebaikan akan dinampakkan dengan jelas dan nyata. Itulah pasport seorang musafir.
Pemergian saya dan 3 orang anak adalah untuk bertemu dengan keluarga di Jakarta. Inilah pertama kali saya ke Jakarta yang bukan kerana tugas pejabat.
Sudah 40 tahun tidak bertemu dengan sepupu2 yang pernah dibesarkan bersama sewaktu saya dipelihara oleh bapa saudara waktu kecil dahulu. Bapa saudara inilah yang berusaha mempertemukan saya dengan ayah yang terpisah sejak saya dalam kandungan ibu.
Dalam usia hampir 80 tahun, kasih sayang om Lukman masih seperti dulu. Setelah saya dan ibu berhijrah ke Kuala Lumpur, Om Lukman sekeluarga berhijrah ke Jakarta dan kehidupan kami amat jauh berbeza. Om sekeluarga hidup dengan rezeki mereka melimpah-ruah tetapi saya sekeluarga diuji Allah dengan kehidupan yang perit di tengah kota Kuala Lumpur.
Jejak kasih ini mat bermakna sekali. Banyak pengajaran yang saya perolehi dari pertemuan ini. Menghubungkan silaturrahim itu manis kesannya. Berlaku lemah lembut itu hebat pengaruhnya bagi menigkatkan martabat manusia. Om seorang yang sangat dermawan. Anak2 diasuh dengan penuh disiplin. Beliau sangat mengambil berat hal2 sanak-saudara . Walaupun berada jauh, sejak 10 tahun kebelakangan ini beliau sering menghubungi ibu saya melalui telepon. Seminggu sekali kedua2 bersaudara itu akan berbual mengeratkan silaturrahim.
Saya mengkagumi sepupu2 saya yang penuh sopan santun dan meraikan tetamu. Mungkin sudah menjadi budaya keluarga ini, walaupun anak2 dibesarkan dalm kehidupan yang mewah, mereka sangat hormat dengan siapa saja termasuk pembantu rumah dan 2 orang 'supir' (pemandu).
Ucapan, "terima kasih, ya pak, ya", "terima kasih, ya buk,ya", "terima kasih, ya mabak, ya" yang diucapkan dengan lembut dan dengan senyum apabila berkomunikasi dengan orang lain, tidak kira miskin atau kaya. Walaupun sudah memegang jawatan tinggi, sepupu saya masih sudi mengambil cuti menjemput kami di lapangan terbang dan membawa kami jalan2.
Melihat kehebatan pembangunan Jakarta, benarlah yang dikatakan pakar2 ekonomi bahawa Indonesia adalah di antara negara yang paling cepat perkembangan ekonominya di asia selain india, China dan Thailand pada masa. Menjejak kaki di gedung Plaza Indonesia yang penuh kemewahan. Mereka yang datang semua yang berkereta mahal. Kami sempat menghirup jus alpokat kegemaran kami sekeluarga.
Tidak seperti pemergian saya ke Jakarta sebelum ini yang selalu diburu kebimbangan pandangan negatif rakyat tempatan terhadap orang Malaysia, kali ini ditakdirkan Allah, setiap orang yang saya temui semuanya baik2 belaka. Semoga Allah mengeratkan ukhwah kedua2 bangsa seagama ini dan menggagalkan rancangan musuh yang mahu kita bersengketa.
Hari itu adalah Maulidurrasul. Sesuai dengan status negara paling ramai ummat Islam, ceramah agama banyak dijalankan termasuk di tepi2 jalan dan orang datang berduyun2. Ada juga orang Malaysia yang datang semata2 mendengar ceramah ulama' terkenal di sini. Ramai orang Malaysia yang datang ke sini mencari perubatan alternatif, dan dalam masa yang sama ramai orang Indonesia berubat di hospital2 pakar di Malaysia untuk mendapatkan rawatan moden. Alangkah indahnya hubungan saling memerlukan ini. Dalam hati saya berkata, "Apa lagi agaknya taktik musuh Islam selepas ini untuk menanamkan kebencian supaya kedua2 saudara seagama ini berpecah dan bermusuhan?"
Yang sangat menarik, setiap kedai makan ada musolla. Semua kompleks membeli belah juga menyediakan mushola tetapi saya tidak pernah bertemu musola yang diasingkan lelaki dan perempuan seperti di Malaysia.
Seperti di negara2 lain juga, termasuk Malaysia, ada yang kaya, adalah juga yang miskin. Yang penting kita tahu bahwa kita semua berkongsi Tuhan yang sama, tiada yang lain kecuali Allah rabbul'lamin. Kita sama2 menumpang di bumiNya untuk menjalani kehidupan.
Jam 6 ptg di tepi jalan raya di Kota Bandung. Hujan sangat lebat. Saya sedang duduk di depan sebuah kedai factory outlet, menunggu dua orang anak yang sedang mencari barang2 mereka. Tidak jauh dari situ saya melihat tiga orang kanak2 dalam lingkungan 9 atau 10 tahun sedang berdiri dalam hujan sambil memegang payung. Kaki tidak beralas dan badan basah kuyup. Mereka menahan gigil badan yang kedinginan. Setiap orang yang keluar dari kedai ditawarkan untuk dipayungkan ke kereta atau ke kedai sebelah. Rupanya hujan adalah membawa rezeki untuk anak2 ini dan ramai anak2 lain yang muncul setiap kali hujan turun. Masya Allah. Hebatnya mereka, dalam usia sekecil ini sudah pandai berusaha untuk membantu keluarga.
Jam atau 'macet' adalah satu penyiksaan bagi pemandu atau 'supir' tetapi adalah rahmat bagi peniaga2 yang membawa jualan dari satu mobil(kereta) ke satu mobil dan bagi orang2 yang membantu mengendalikan pergerakan kereta di simpang2 jalan. Supir perlu sentiasa menyediakan wang untuk diberikan kepada orang2 ini. Saya rasakan inilah kaedah pembahagian kekayaan yang berkesan antara pemilik kereta yang sudah tentunya orang yang dianggap kaya dengan mereka yang miskin yang sukar mendapat pekerjaan.
Kembali ke rumah bapa saudara saya di Ragunan, Jakarta.
Sebuah rencana tv menceritakan kisah seorang nenek tua berusia 78 tahun yang baru bertemu jodoh pada usia senja dengan seorang lelaki cacat. Nenek ini pernah berkahwin sewaktu berusia 10 tahun tetapi diceraikan oleh suami selepas seminggu dinikahi. Hiduplah nenek ini sebatang kara tanpa anak cucu menjaga. Selepas 78 tahun kemudian berkat kesabarannya dapatlah menemui lelaki yang sangat mencintainya. Walaupun kedua2 pasangan warga emas ini sangat dhoif dan tinggal di sebuah pondok usang namun mereka sangat bahagia.
Si isteri setiap hari akan pergi keliling kampung mencari pelepah kelapa terbuang untuk dibuat penyapu lidi. Papan terbuang yang ditemui dibawa pulang, dipotong dan diikat oleh suami yang cacat untuk dijual sebagai kayu api.
Kedua2 pasangan ini sering berjalan berpegang tangan di tepi pantai. Saya katakan pada anak2 saya yang sama2 menonton rencana itu, "Kebahagian dan kasih sayang tidak ditentukan oleh wang ringgit. Bertuahnya pasangan ini, di dunia sudah mengecapi kebahagian kerana tidak punya hutang yang memeningkan. Di akhirat mereka terlepas dari pertanyaan tentang harta benda. Lihatlah keadaan diri kita yang sudah dilimpahi rezeki tetapi tidak bersyukur seperti mereka. Seharusnya kita malu pada mereka."
Malam sudah berlabuh. Yang kaya masuk ke tempat peraduan yang indah bertilam empuk tetapi mimpi belum tentu seindah kehidupan.
Yang miskin masuk ke tempat peraduan bertilamkan papan atau kertas, dengan bumbung yang bocor berlantai penuh lubang2, namun mimpi mereka mungkin lebih indah dari kehidupan yang di lalui......!!"
Alangkah bertuahnya mereka yang kaya. Segala yang diinginkan dapat dimilikki. Bersedekah tanpa perlu memikirkan berapa lagi yang masih tinggal. Tangan yang di atas lebih mulia dari yang di bawah dan mereka mendapat pahala lebih dari orang lain.
Tetapi lebih bertuah lagi si miskin kerana mereka tidak perlu risau soalan2 malaikat di dalam kubur nanti tentang harta ke mana dibelanjakan. Mereka tidak banyak hisabnya di padang masyar dan berjalan pantas ke jannatul na'im menemui kebahagian yang sebenarnya.
Terbayang oleh saya nenek tua yang memimpin suaminya yang cacat berjalan di tepi pantai dalam rencana tv tadi, berjalan berpimpinan dalam syurga dengan penuh kenikmatan.....!!!
Ya Rab, ampunilah kami, berkatilah rezeki ini dan selamatkan kami sewaktu dihisab nanti. Amin Ya Rabbal 'alamin. Kami tidak layak mendapat syurgaMu namun kami takut dengan neraka Mu. Selamatkan kami, ya Rab."Dua minggu lagi saya akan bermusafir ke Padang dan Bukittinggi pula, untuk melakukan jejak kasih lagi, InsyaAllah.