Sebuah monolog


posted by Martinelli Hashim

No comments


Sudah beberapa hari saya semakin membayangkan untuk bersara dari tugas. Keinginan untuk menjadi aktivis bebas semakin menggamit. Adakalanya saya malu sendiri dengan kawan-kawan yang lebih aktif berdakwah sedangkan saya masih berada di menara gading dengan kekangan yang kadang-kadang terasa begitu menyesakkan nafas.
Adakalanya saya terfikir untuk berundur dan memberi peluang orang lain untuk menggerakkan CENSERVE dengan lebih sempurna. Mungkin saya sudah terlalu lama dan idea sudah usang sedangkan CENSERVE perlu  diberi nafas baru.
Namun apabila melihat anak-anak didik gigih bekerja atau ada situasi yang menyuntik semangat, keinginan untuk berkhidmat untuk universiti demi ummah datang semula.
Pengalaman hari ini telah  mengetuk sedikit hati saya. Pagi tadi saya diminta bertugas sebagai ahli panel temuduga kenaikan pangkat kakitangan UIA Kuantan. Tugas yang tidaklah begitu berat tetapi tanggungjawabnya amat besar...memberi peluang untuk kakitangan yang paling  layak untuk naik pangkat. Ya Allah bantu kami menjalankan tugas seadil-adilnya.
Saya tergamam, calon-calon yang ditemuduga adalah kakitangan yang  hebat-hebat belaka, MasyaAllah. Hebat  bukan saja  kemahiran kerja, tetapi juga sahsiah,  komunikasi, kesetiaan terhadap universiti malah yang lebih memeranjatkan apabila saya bertanya tentang kelebihan masing-masing berbanding dengan calon lain, semuanya memberi jawapan yang sama iaitu  kawannya lebih baik dari dirinya.


Saya kagum dengan jawapan-jawapan yang diberikan. Keikhlasan mereka bekerja cukup terserlah. Mereka datang temuduga kerana arahan ketua. Malah ketua yang membawa mereka dengan kereta sendiri ke Gombak untuk menjalani temuduga. Subhanallah...ketua yang hebat menghasilkan kakitangan yang hebat.


Mereka hanya kakitangan biasa yang tidak dikenali, tetapi jiwa mereka sangat luar biasa. Inilah di antara faktor  kenapa pelajar yang dihasilkan oleh kulliyah perubatan UIA Kuantan begitu hebat. Dari kakitangan bawahan hinggalah ke Dekan, semua menjaga amanah tugas dengan sebaiknya.


Selepas sesi temuduga selesai, saya malu dengan diri sendiri ....saya bermonolog.... Sudah cukup sempurnakah diri yang kerdil ini menjalankan tugas selama ini? Berapa banyakkah amanah yang tidak tertunaikan? 


Allahu akbar!!!!Faghfirli ya Allah.



Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai