|
Bersama Tony Buzan |
Menghadiri
International Seminar On Thinking, bidang yang amat menarik dan saya merasa
agak asing kerana peserta lain adalah mereka yang berkecimpung di bidang
tersebut secara profesi. Kehadiran Edward De Bono, Tony Buzan dan lain-lain tokoh
terkenal dunia cukup mengujakan.
Berpuluh-puluh kertas kerja dibentangkan. Semuanya berbicara tentang
'berfifkir', perkara yang sangat penfing
dalam diri setiap manusia tetapi amat jarang diberi tumpuan oleh orang
awam terutama orang awam Melayu.
Rata-rata
kita hanya berfikir berasaskan pemahaman, ilmu, kemahiran, pengalaman dan
suasana yang terbatas. Anak muda kita hanya disogokkan dengan pembelajaran
untuk lulus peperiksaan. Keletihan berfikir untuk akademik yang sempit membuatkan mereka tidak mampu mengalihkan minda berfikir perkara yang lebih mencabar. Ketakutan kepada
peraturan menghambat keinginan untuk meneroka sesuatu yang baru.
Tiadanya budaya membaca membuat kita tertinggal bertahun-tahun ke belakang. Kurangnya ilmu dan kemahiran, anak muda kita tidak mampu berhujah dengan bernas dalam menangani sesuatu isu. Mereka hanya hebat mengutuk dari belakang atau dalam laman sosial.
|
Pembentangan oleh Edward De Bono |
Kesannya
adalah anak muda Melayu akan terus malas untuk menambah ilmu lalu menjadilah mereka manusia yang mudah
taksub kepada seseorang atau kumpulan serya bergaduh sesama sendiri kerana hal-hal yang remeh-temeh.
Dari TADIKA ke Universiti pemikiran anak-anak
dikongkong dengan pelabagai peraturan, budaya, politik dan kepercayaan salah
yang membantutkan minda. Kita lupa akan
anugerah Allah yang memberi otak yang hebat untuk kita bebas berfikir, tiada langit pembatas kecuali batas
shariah dan batas adab kemanusian.
Kita lupa anugerah pahala dari Allah untuk mereka yang
berfikir.
Dikatakan anak muda Israel dan Singapura adalah anak muda yang memiliki 'competency index' tertinggi. Mereka mempunyai daya pemikiran kritis yang tnggi.
Dikatakan bahawa ada sebuah ensiklopedia yang menerangkan Orang Melayu itu adalah satu kaum yang malas berfikir, suka bersenang-senang, suka melatah dan mengamuk sehingga perkataan 'amuk' diterima sebagai perkataan antarabangsa yang berasal dari perkataan Melayu. (Maklumat dari satu rancangan radio).
Tidak perlu kita melenting apabila orang melihat kita sebegitu rupa, sekalipun ia tidak benar. Kita ada tanggungjawab untuk membina bangsa yang mampu berfikir.
Seharian berdepan dengan pelajar IPT, anak-anak muda yang seharusnya berfikiran terbuka dan maju ke depan, tetapi masih ramai yang hanya menunggu orang lain menyuapkan segala-galanya untuk mereka. Akibatnya mereka tidak mampu berfikir secara orang dewasa yang matang dan berjiwa besar.
Saya
terfikir sendiri, sudahkah sebenarnya kita menyediakan:
- suasana yang mencabar untuk anak muda kita berfikir?
- suasana yang menyeronokkan untuk mereka berfikir
dan berinovasi tanpa kongkongan peraturan, budaya, kepercayaan dan politik
sempit?
- bimbingan teknik berfikir secara bersistem,
lateral, kritikal dan analitikal agar mereka ada kemahiran untuk berfikir
secara matang dan berkesan?
- peluang yang luas untuk mereka melaksanakan
hasil pemikiran?
- bimbingan adab melaksanakan apa yang difikirkan?
Hidup yang diselubungi keselesaan tanpa cabaran membuat anak muda kita terlena.
Jiwa yang
rapuh mana mungkin menyelamatkan ummah. Hidup berpuak-puak mana mungkin mampu
menghadapi lawan. Hati yang mudah merajuk mana mungkin mampu berdepan dengan cabaran
besar. Malangnya itu yang selalu ada pada anak muda Melayu.