Kasih Allah di hujung redho


posted by Martinelli Hashim on

1 comment

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ 
"Maaf puan, saya nak beritahu tadi Prof Azami collapse masa sedang buat presentation. Sekarang on the way ke hospital." Suara dalam telepon yg membuat hamba lemah seluruh badan. Panggilan yang menakutkan setiap isteri, setiap anak dan setiap ibubapa apabila orang yang disayang mendapat musibah.

Kereta dipecut dengan laju oleh anak kedua. Hamba dapat mengerti dia tidak dapat menahan resah untuk melihat sendiri keadaan ayahnya. Airmata berguguran sepanjang perjalanan.

"Maaf puan. Suami puan kena stroke. Ada pendarahan dalam otak sebelah kiri. Kami tak pasti kalau ada tumor. Ada kemungkinan perlu dibedah." Kata-kata doktor yang membuat dunia sekeliling saya terasa semakin kelam.

Kawan-kawan  sudah ramai yang datang memenuhi ruang menunggu di wad kecemasan.

Anak-anak yang berada di asrama tiba di hospital. Kami berpelukan dalam esakan tangis.

"Apa pun berlaku pada abah, kita masih punya Tuhan. Allah suruh kita berdoa. Itu saja yang kita ada. Apa pun kata doktor, sejauh manapun kepakaran doktor, mereka hanya membantu. Kita tidak bergantung pada manusia. Kita hanya bergantung pada Allah. Allah yang mengizinkan ia berlaku dan Allah saja yang dapat pulihkan abah. Jangan menangis di depan abah. Abah perlu sokongan kita supaya dia kuat," Saya cuba mencari kekuatan untuk menasihati anak-anak walaupun saya sendiri hampir tidak mampu menahan perasaan.

Demi untuk suami dan anak-anak hamba terpaksa menunjukkan yang hamba kuat. Sedikit kerisauan di wajah kami akan meningkatkan tekanan darah suami dan ia amat berbahaya. Kami tidak mahu ia berlaku.

"Rodhitu billahi rabba, aku redha ya Allah kalau ini ujianMu untuk meningkatan maqam kami disisiMu. Ampunkanlah dosa kami. Iyya kan'budu wa'iyyakanasta'in......Engkaulah yang aku sembah dan padaMulah aku kini merayu pertolongan. Selamatkan suamiku ya Allah...."

Dalam doa yang kudus hamba mencari Allah. Kalaulah Allah itu punya tangan ingin hamba merasa dalam rangkulan tanganNya. Allah punya lebih dari itu, hamba hanya berserah. Sebagai makhluk kita tidak punya apa-apa. Allah lah satu-satunya tempat mengadu ... bukan teman bukan saudara.

Dalam cemas yang tidak terhingga hamba dapat merasakan sejuknya kasih Allah yang memberi keyakinan bahawa bantuanNya akan tiba jua.

Pada hari kedua, ingatan dan ucapan suami semakin merosot. Tekanan darah turun naik tidak menentu. Tertulis di atas kertas.....'acute brain haemorage'.

Doktor memanggil hamba ke belakang, "Maaf, keadaan suami puan adalah kritikal tapi setakat ini tidak perlu dibedah kecuali kalau berlaku pendarahan lagi atau otak dan jantungnya membengkak. ..."
"Allah...Allah ya Rabb....aku masih yakin dengan bantuanMu. Tolonglah suami ku...........!!!!!" Doa yang mendalam yang hamba penuh yakin Allah mendengar dengan penuh rahmah.

Maha Pengasih Allah, selepas 12 jam kemudian Prof Dato' Raymond, pakar saraf mengesahkan suami hamba sudah ada tanda semakin pulih dan tiada tanda-tanda pembengkakan dalam otak atau jantung. "Alhamdulillah, Prof Azami is progressing so well. It's so amazing. Mungkin sebab dia seorang mathematician, it helps him to recover faster,"Katanya kepada anak kami, Syakirah, sambil menceritakan keadaan ayahnya secara terperinci.

Masa berlalu. Ingatan suami semakin pulih. Percakapannya semakin baik. Beliau dapat mengingat nombor kakitangannya dan bil-bil yang perlu diselesaikan. "Syukur alhamdulillah......"Rahmat yang amat besar dari Allah.

Jumaat, Jam 4 pagi tiba-tiba tekanan darah suami  jatuh menjunam dan keadaan menjadi cemas. Allah memberi ujian lagi.

Hamba merenung suami yang terbaring dengan topeng oksigen menutup muka. Air mata berderai tanpa boleh ditahan-tahan. Terbayang bgaimana beberapa hari yang lalu beliau masih kuat dan penuh bahagia menunggu hari yang dinanti-nanti keluarga, beliau akan naik ke pentas CAC mewakili VC UKM di majlis konvokesyen UIA. Dua orang anak lelaki kesayangannya akan menerima ijazah. Anak kedua akan menerima anugerah dari Sultan. Kami merancang untuk naik satu kereta bersama. Kami membayangkan hamba dan menantu akan duduk bersama ibubapa yang lain di bawah.

Tapi kini.......segalanya berubah. Impian kami berkecai. Allah tidak mengizinkan. Sekarang lelaki yang hamba cintai sejak 27 tahun yang lalu hanya menunggu taqdir Ilahi. Badannya lemah tidak bermaya. Hanya tarikan nafas nurun naik yang kelihatan. Sesekali matanya dibuka memandang hamba disisinya. Doa hamba agar Allah memberinya umur yang panjang untuk meneruskan ibadahnya. Memberi hamba peluang berkhidmat untuknya lebih baik lagi.

Kita hanya merancang dan Allah juga merancang. Rancangan Allah jugalah yang berlaku dan sudah tentu ada hikmah yang tidak kita ketahui.

Sabtu 3 Oktober 2010. Jam 5 pagi tekanan darah suami masih tidak begitu setabil. Tiub drip dan topeng oksigen masih terpasang. Semalam hamba berjanji kepada anak-anak kalau sekiranya tekanan darah ayah mereka setabil hamba akan hadir di majlis konvo mereka.

Hamba memandang jam...Sebentar lagi anak-anak seharusnya sudah bersiap. Hamba  menghantar sms kepada anak, "Maaf ibu mungkin tak dapat juga nak pergi konvo. Ibu tak berani nak tinggalkan abah."

Hamba dapat merasakan kesedihan kedua-dua anak. Namun keduanya berkata, "Sekarang kesihatan abah adalah segala-galanya. Ibu jagalah abah, jangan tinggalkan dia."

Berderai air mata. Namun dengan takdir Allah tiba-tiba suami membuka mata. Dengan perlahan beliau berkata,"Hari ni anak kita konvo. Pergilah. Abang ok."

Subhanallah ..... benarlah kasih Allah di hujung redho kita atas ujianNya.

1 comment

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai