Pagi tadi saya mengukuhkan langkah untuk membentangkan kertas kerja bagi mendapatkan bajet dari kementerian. Program khidmat masyarakat UIA perlukan bantuan kewangan. Biar dikatakan seperti minta sedekah, usaha perlu diteruskan. Nilai yang dipohon itu masih kecil jika dibandingkan dengan impak program bagi menyelamatkan akidah , syakhsiah dan pandangan hidup anak2 muda pewaris zaman. Kita hanya berusaha, Allah yang akan menggerakkan hati mereka untuk meluluskan bajet itu. Hendak mengharapkan sumbangan orang ramai amat sukar sekali.
Hati terharu melihat wajah2 suci pelajar2 yang sedang sibuk membincangkan urusan kelab masing2. Ada yang bertanya tentang hasil permohonan bajet tadi. Saya menjawab, "Sabarlah, doakan Allah memberi rezeki untuk kita menjalankan tugas suci ini."
Menatap catatan 'to-do list pada skrin komputer....ya Allah, banyak lagi urusan yang masih menunggu untuk diselesaikan. Badan teramat letih, kepala berdenyut mungkin kerana kurang tidur sejak kebelakangan ini.
Saya katakan pada kaki, "Wahai kaki, bawalah tuanmu ke masjid, di sana ada ramai hamba2 Allah yang sedang menunggu waktu untuk menyembah Yang Maha Kuasa."
Saya katakan pada badan, "Wahai badan, keletihan ini tidak berguna kalau bukan kerana Yang Maha Kuasa. Kunjugilah rumahNya, di sana badanmu akan kembali segar"
Saya katakan pada hati, "Wahai hati, bersihkanlah dirimu dari segala dosa, kerana rumah Allah yang bakal kau kunjungi tidak punya tempat untuk orang yang berjiwa kotor."
Bergerak ke masjid dengan melupakan segala urusan kerja dan menyerah diri sepenuhnya padaNya. Kata ulama' pahala orang yang solat di masjid umpama bintang2 yang bergemerlapan. Mereka yang sempat takbir bersama imam ibarat bulan purnama. Tetapi mereka yang datang ke masjid dan menunggu waktu solat ibarat matahari yang menerangi alam.
"Oh Tuhan aku hanya insan kerdil yang tidak mampu melakukan apa2 tanpa izinMu. Janganlah biarkan aku bersendirian walau sesaat tanpa penjagaanMu. Kurniakanlah aku kesabaran yang tinggi dalam segala ujian yang Kau berikan. Amin ya rabbal 'alamin"
Teringat cerita arwah nenek,"Masa kecil dulu kamu besar di masjid. Bila beduk berbunyi waktu zohor kamu cepat2 berlari mencari nenek untuk ikut ke masjid. Belum habis solat kamu dah tertidur sebelah tiang masjid dan nenek akan tunggu kamu sampai waktu asar. Bila penat nenek akan dukung balik ke rumah. Antara maghrib dan Isyak kamu belajar mengaji di masjid. Waktu subuh nenek akan pimpin kamu jalan dalam gelap ke masjid."
Nenek, insan istimewa, sebelah matanya cacat sejak lahir tetapi doanya agar mata yang tinggal sebelah itu jangan dirabunkan supaya boleh membaca AlQuran dimakbulkan Tuhan sampai keakhir hayat membaca tanpa perlu cermin mata, diusia 90 tahun. Sepanjang hidupnya dipenuhi dengan ibadah, tidak pandai mengumpat apa lagi menyakiti hati orang. Dalam keadaan yang sudah bongkok nenek tetap istiqomah solat 5 waktu di masjid. Setiap hari, setengah jam sebelum azan subuh beliau sudah keluar ke masjid dan menjadi orang yang terawal menunggu waktu solat. Sejak muda sampai ke tua beliau akan duduk dan bersolat di tempat yang sama berhampiran tiang tengah masjid yang berukir indah.