Mahasiswa yang tidak dayus?


posted by Martinelli Hashim

1 comment



بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

Di balik jubah ada akal dan budi yg matang
Dahulu mereka yang belajar di universiti digelar mahasiswa. Kini mereka disebut pelajar, istilah yang sama digunakan untuk mereka yang belajar di sekolah menengah malah sama dengan mereka yang belajar di sekolah rendah.


Dahulu mereka yang masuk universiti dikagumi kerana dianggap orang bijak.Satu kampung akan mengiring  keberangkatan mereka ke kampus untuk mendaftar. Saudara-mara akan turut merasa bertuah ada ahli keluarga yang masuk  universiti.




Sekarang masuk  universiti seolah-olah hanya masuk ke sekolah dan tidak siapa yang hairan. Keluar universiti pun tidak siapa yang mengkagumi kecuali diri sendiri yang hairan "kini aku adalah graduan" lalu bergambarlah dengan berbagai aksi di setiap sudut universiti.

Memang benar graduan universiti sudah bersepah disebabkan peluang yang luas untuk siapa saja masuk  universiti. Apakah kerana keadaan yang bersepah ini membuat dunia akademia membiarkan saja nilai-nilai kemahsiswaan yang agung duturuntarafkan menjadi pelajar yang nilainya tidak lebih dari 2 sen?


Kualiti apa yang ada pada mahasiswa hari ini?


Bukan untuk kembali ke zaman lampau dan memaksa suasana itu diulangtayang. Dalam memacu kemajuan pendidikan negara,  kemampuan kita menerapkan nilai kemahasiswaan dan keinsanan kepada anak didik kita di pusat pengajiantinggi menjadi persoalan.


Kerana mereka mahasiswa, mereka bukan sekadar belajar di bilik kuliyyah tetapi turun ke lapangan menjadi jurubicara ummah.


Gelaran mahasiswa bukan sebarang gelaran. Di dalamnya tersembunyi nilai akal yang  tinggi dan nilai budi yang  insani. Dengan akal yang tajam mereka dapat menilai menggunakan hikmah dan dengan lidah yang mahir mereka dapat berbicara bahasa ummah. 

Dengan tenaga yang kuat dan jiwa yang mantap mereka mampu turun ke masyarakat bersama merasa denyut nadi anak bangsa.


Mereka adalah mahasiswa bukan pelajar sekolah. Mereka harus mampu menganalisa secara kritikal dan merancang secara strategik.


Universiti adalah medan untuk belajar dan gelanggang untuk mencuba kemahiran. Sekurangnya ada 7 kemahiran yang perlu ditimba:
  1. kemahiran berfikir secara kritikal
  2. kemahiran berkomunikasi secara berkesan
  3. kemahiran bekerja secara berpasukan
  4. kemahiran meneroka ilmu dan maklumat 
  5. kemahiran mengurus
  6. kemahiran kepengikutan dan kepimpinan
  7. kemahiran menyampaikan ilmu (berdakwah)
Mahasiswakah itu, kalau segala-galanya masih diuruskan oleh ibubapa? Mahasiswakah namanya apabila  masih meminta ibubapa melobi authoriti universiti untuk menukar bilik asrama kerana asrama yang diberi tidak mengikut citarasa sendiri.


Mahasiswakah kita apabila melihat kemungkaran di depan mata,   kita bukan setakat berdiam diri tetapi masih tersenyum tanda redha ?


Itu  mahasiwa dayus  namanya.


Bukan mahasiswa  namanya kalau hanya berani mengkritik tetapi tidak mampu memberi penyelesaian.


Bukan mahasiswa juga kalau diri tidak punya prinsip untuk dipegang.


Seorang mahasiswa  tahu meletakkan dirinya di tempat yang sepatutnya. Dia tidak dibawa arus tetapi mencipta arus agar  orang sekelilinginya merasa selesa dan damai.


Seorang mahasiswa kehidupannya dibahagiakan mengikut keutamaan kerana dia sedar dirinya adalah milik masyarakat dan  orang lain juga ada hak atas dirinya. Ia  menghadiri kuliyyah dan membuat tugasan pengajian tetapi masih ada waktu untuk aktiviti mengisi tanggungjawab sosial.


  • Perbincangan ilmiah tentang agama, masyarakat, politik dll  bersama rakan-rakan sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk menajamkan minda (berusrah)
  • Menghadiri forum, ceramah, bengkel bagi menambah pengetahuan dan maklumat.
  • solat berjemaah di surau atau masjid
  • membaca buku selain buku subjek akademik.
  • Menulis untuk disebarkan
  • menjadi ahli persatuan yang aktif
  • mendekati masyarakat
  • menggunakan facebook untuk berkongsi maklumat bernilai
  • mementingkan "ketampanan sosial" dari ketampanan fizikal
  • mereka tidak sibuk mengkritik tetapi berusaha mencari penyelesaian
Tetapi kenapa aktiviti ini yang mendominasi kehidupan mahasiswa kita?
  • perbincangan tentang bola, futsal, camping, wayang, trend-trend terbaru dll
  • menghadiri konsert, temujanji dengan pasangan (dating)
  • solat bersendirian di bilik setiap hari 365 hari setahun
  • membaca bahan hiburan
  • menghafal lirik-lirik lagu
  • tidak mahu masuk persatuan tetapi aktif lepak dengan kawan-kawan
  • Tidak ada minat untuk mendekati masyarakat
  • menggunakan facebook untuk sekadar berseronok.
  • mementingkan ketampanan fizikal dan mengambil tahu apa itu "ketampanan sosial"
  • mereka sibuk mengkritik tetapi tidak pernah cuba membantu menyelesaikannya.
Di zaman materialistik ini mereka yang bersifat 'mahasiswa' akan diajuk sebagai "skema" atau "nerd". Mereka akan dipinggirkan dari kelompok kerana mdianggap membosankan.

Maka berterusanlah anak-anak muda lena dibuai mimpi  tanpa rasa tanggungjawab .... mereka hanyalah bertaraf "pelajar" bukan " mahasiswa" dan bersepahlah mereka di sana sini menjadi bebanan masyarakat.

Dengan  rasa tidak bersalah, mereka akan terus hidup nafsi-nafsi, tidak merasa ada tanggungjawab dan amanah berat yang sedang menanti.


Bila lapar ada wang PTPTN dalam saku. Bila ingin bergembira ada konsert dan panggung wayang merata-rata. Sekurang-kurangnya ada youtube yang menyediakan apa saja yang ingin ditonton.


Adakah anda seorang mahasiswa atau pelajar? Adakah anda sudah memnunaikan tanggungjawab ummatic yang diberikan?


Cuba tanyakan lagi diri anda dengan soalan-soalan berikut:
  • Bagaimanakah anda memulakan hari anda setiap pagi? Solat di awal waktu? Solat berjemaah dimasjid?Membaca Qur'an/zikir?
  • Aktivit yang paling banyak anda lakukan apakah aktiviti sebagai mahasiswa ataukah aktiviti sebagai pelajar biasa?
  • Berapa kalikah anda turun ke lapangan membantu masyarakat sejak belajar di universiti?
  • Siapakah sahabat-sahabat yang mengelilingi anda dalam kebanyakan ketika, mereka yang melalaikan atau mereka yang mengingatkan tanggungjawab ? 
  • Apakah topik yang paling banyak dibicarakan setiap hari, hal dunia atau hal akhirat?
  • Bilakah kali terakhir anda bercakap kepada khalayak dengan keyakinan yang tinggi?
Jika jawapan postif yang banyak maka layaklah anda bergelar mahasiswa. Jika sebaliknya, anda hanyalah seorang pelajar yang tidak ada bezanya dengan mereka yang berada di sekolah rendah atau menengah.

Bangunlah, masa yang pendek dikampus terlalu tinggi nilainya. Usah persiakannya kerana ia tidak akan kembali lagi setelah berlalu pergi.

Garaplah setiap peluang yang ada dengan penuh rasa tanggungjawab. Jangan biarkan diri anda hanya bertaraf pelajar sekolah.  Jadilah mahasiswa luar biasa bukan mahasiswa biasa-biasa.

Buktikanlah anda bukan mahasiswa dayus yang membiarkan diri sekadar dipinggiran

1 comment

  1. Anonymous

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai