Malam Perpisahan


posted by Martinelli Hashim

No comments








Bergetar rasanya lutut sewaktu melangkah anak tangga masjid UIA Gombak. Rasa sendu yang mencengkam atas sebuah perpisahan. Seluruh alam  bersedih kecuali hati-hati yang tidak mampu menilai nikmat kasih Ilahi.

Malam ini malam terakhir solat tarawih......malam ke 29 Ramadhan. Masih ramai yang datang untuk beri'tiqaf.

Terasa cemburu melihat anak-anak muda yang begitu gigih membaca Al-Qur'an setiap hari di masjid ini walaupun mereka banyak pilihan untuk melakukan seribu keseronokan di luar sana seperti kebiasaan anak muda yang lain.

Azan Isya' berkumandang.....Ya Allah begitu cepat masa berlalu. Malam ini buat kali terakhir menghayati malam di sini. Biarpun suasana hingar bingar dengan suara kanak-kanak yang dibawa oleh ibu bapa mereka yang datang untuk beri'tiqaf sepanjang 10 terakhir Ramadhan, namun ia tetap menciptakan kesyahduan bermunajat kepada yang Maha Esa.

Sebuah kepiluan yang tidak terucap. Kalaulah boleh, ingin saja menahan waktu dari terus berjalan dan malam ini diperpanjangkan..

Malam ini imam membacakan Juz 30, juz terakhir  penuh sayu dalam solat tarawih. Bacaan imam yang cukup indah tetapi penuh kehibaan. Ayat-ayat yang dibacakan seolah kapas-kapas salji yang jatuh dari langit mengisi setiap inci ruang masjid. Subhanallah.....Terasa kesejukan yang menusuk ke tulang. Perasaan yang dibuai dengan ayat-ayat yang silih berganti sehingga berakhir dengan surah AnNas. Isak  tangis para makmum dalam solat meruntun perasaan. Saat perpisahan semakin hampir. Air mata para jemaah berguguran membasahi lantai rumah Allah yang mulia ini.

Jam 5 pagi solat tahajjud berjemaah berakhir. Perjalanan pulang bersama anak-anak penuh kesedihan. Dalam rayuan doa kepada Ilahi agar  diizinkan lagi menemi Ramadhan di tahun-tahun yang akan datang dengan ibadah yang lebih baik dan sempurna. Azan subuh berkumandang tanda berakhirnya malam terakhir Ramadhan..

Teringat kata-kata ustaz sebelum Ramadhan, "Usah terjadi penyesalan dihujung Ramadhan apabila tanpa disedari malam-malamnya kita biarkan berlalu tanpa diisi  dan kita terlepas hadiah yang amat agung dari Allah."
Kata-kata itu pemberi semangat di waktu-waktu malas membalut diri....

Kembali menyoroti ibadah sepanjang Ramadhan.........seolah-olah ada suara yang berbisik, "Bukanlah bilangan berapa kali kamu khatam Al-Qur'an atau bilangan rakaat solat tahajjud di sepertiga malam atau bilangan ringgit yang disedekahkan atau sekuat mana esak tangismu dalam sujud   sepanjang Ramadhan ini yang menjadi penentu kepada tingkatan iman kamu . Sejauh mana amalan itu sudah berjaya mentarbiyyahkan pemikiran kamu dan sejauh mana pula amalan itu diterima Allah Rabbul Jalil adalah lebih penting dari semua itu.

Apakah amalan itu mampu membersihkan hati dan menjinakkan jiwa untuk merasakan Allah itu amat dekat sekali. Hati yang dekat dengan Khaliqnya adalah


  • Hati yang sudah dicuci dengan amalan yang penuh ikhlas. 
  • Hati yang  mampu menghindarkan tuannya dari menyakiti orang lain. 
  • Hati yang menahan tuannya dari cemburu dengan kelebihan orang lain. 
  • Hati yang membiasakan tuannya agar redha dengan apa saja yang datang yang tidak disukainya
  • Hati yang tunduk patuh kepada Penciptanya
  • Hati yang cinta dan kasihnya tertumpu kepada Allah

Hati inilah yang membina taqwa dalam diri tuannya. Ia sebagai penentu samada amalnya akan diterima oleh Khaliqnya. Tidak ada amalan yang diterima oleh Allah kecuali  amalan yang dilakukan oleh orang bertaqwa.


إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ

“Sesungguhnya Allah hanya menerima (amalan) dari orang-orang yang bertakwa.” (Qs. Al Ma-idah: 27)”

Layakkah diri ini tergolong ke dalam orang yang bertaqwa? Jika tidak maka sia-sialah segala amalan yang dikerjakan.

Teringat kata-kata Rabiatul Adawaiyah, "Tingkat iman yang tinggi adalah apabila Ibadah yang dilakukan bukanlah kerana hendak masuk syurga Allah dan bukan juga kerana takutkan neraka Allah tetapi adalah semata-mata kerana kasih yang tidak berbelah bagi kepada Allah."

Esok tidak ada lagi tarawih, tidak akan kedengaran lagi isak tangis mereka yang bertahajjud di masjid UIA, masjid istimewa yang mengumpulkan manusia dari pelbagai pelusuk dunia di malam-malam Ramadhan demi Tuhan mereka Yang Maha Esa. Taqabalallahu minnaa wa minkum. ..... biarlah perpisahan ini perpisahan sementara dan kami ditemukan lagi di Ramadhan yang akan datang.

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai