Sebatang rotan, secawan Milo


posted by Martinelli Hashim

2 comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
“Betul ke Hanif tak pergi solat Jumaat tadi?”
Tiada jawapan.
“Kenapa Hanif tak pergi?”
Masih tiada jawapan.
Zaap…..zaap….zaap. Hinggaplah rotan sebanyak 3 kali di kaki anak bungsu petang itu. Dalam perjalanan pulang dari pejabat sebelum itu, menantu saya memberitahu saya yang si adik tidak mahu dikejutkan dari tidur untuk ke masjid solat jumaat.
Selalunya petang Jumaat adalah hari yang menyeronokkan kerana membayangkan anak-anak yang di asrama akan pulang ke rumah dan rumah akan riuh rendah dengan suara mereka. Dikelilingi  anak-anak  adalah antara saat-saat yang paling manis yang saya selalu tunggu-tunggu. Tetapi petang ini perasaan itu hilang bertukar kepada rasa kecewa bercampur takut.
Merotan adalah jalan terakhir saya berhadapan dengan masalah  anak-anak . Itupun apabila keadaan sangat memerlukan.
Si anak yang sedang meniarap berbaring atas sofa terkejut. Mungkin kerana sudah lama tidak menerima habuan seperti ini. Selesai sesi merotan seperti biasa akan diikuti sesi pemulauan. Dia tidak dibenarkan membuka internet selama 5 hari. Saya berlalu senyap membisu dan tidak mahu memandangnya. Saya yakin sakit kerana rotan tidak seberapa berbanding sakit kerana kemarahan ibu dan sakit tidak dapat berinternet. Namun biarlah dia sakit sekarang asalkan hati kita tidak sakit dikemudian hari nanti.
Malam itu terdengar suara si anak teresak2 menangis. Rupanya suami menambah lagi 2 rotan di kakinya atas kesalahan yang sama. Rasa simpati mula menyelubungi diri ini. Lima rotan rasanya sudah cukup berat baginya. Tentunya dua kali rotan ayah itu lebih kuat dari 3 rotan ibu. Ayahnya amat jarang memarahi anak, apalagi merotan. 
Sampai masanya untuk sesi kaunseling pula. Saya mendekatinya perlahan2 dan menarik bantal yang menutupi mukanya. Saya mengusap kepalanya dengan lembut.
“Ibu dan abah masih boleh maafkan kalau Hanif tak pergi sekolah. Tapi tak pergi solat Jumaat itu kesalahan yang ibu tak boleh terima. Ibu amat kecewa dengan Hanif. Dua hari lepas baru ibu beritahu Hanif macamana bangganya ibu punya anak macam Hanif. Hanif anak ibu, ibu berdosa kalau tak rotan Hanif. Ibu rotan sebab ibu sayangkan Hanif. Ibu yang jahat saja yang nak membiarkan anak dia buat jahat tanpa dihukum. Ibu masukkan Hanif ke Sekolah Sri Al Huda dan ibu bayar setiap bulan supaya Hanif jadi anak soleh.…….”
Kata orang menasihati anak lelaki jangan terlalu panjang. Saya hentikan dengan kata-kata, “Ibu tahu Hanif anak yang baik. Ibu tahu Hanif sayang ibu. Hanif takkan buat lagi, kan?. Jom bangun solat insya’ dulu, nanti ibu buatkan milo, kita minum sama2” Suatu kelemahan saya, apabila dalam situasi begini airmata saya turut mengalir. Namun biarlah saya menangis sekarang, jangan menangis dikemudian hari nanti.
Dia bangun memeluk saya dan saya mengiringinya ke bilik air. Selesai solat kami minum sambil meneruskan sesi motivasi. Sebelum tidur saya menyuruhnya membaca artikel dalam blog ini yang bertajuk Kasih Ayah Seluas Lautan. Selesai membaca dia berkata, “Kesiannya, ibu!!”
Saya katakan padanya, “Ibu kuat sebab ibu melalui hidup yang sangat susah. Ibu tak mahu Hanif lemah sebab melalui hidup yang mewah dan dapat segala-galanya.”
Apabila saya merenung kembali selama 25 tahun mendidik anak, kadang-kadang tidak percaya melihat hasil yang Allah anugerahkan. Masa berjalan begitu pantas. Taktik menghukum dan memuji mungkin berjaya saya gunakan dalam mendidik 5 orang anak sebelum ini. Tetapi saya masih cemas mencari taktik terbaik mendidik anak bongsu yang jauh jaraknya dari abang2 dan kakak-kakaknya
Semasa  anak-anak  saya masih kecil, dengan kesibukan tugas mendidik anak UIA, seorang sahabat yang juga seorang Dekan pernah menasihati saya, “Neli, sudahlah tu bekerja dengan student. You sibuk jaga anak orang lain,  anak-anak  you macam mana. Ada orang kisah ke nak tolong  anak-anak  you nanti?.”
Saya tersentap sekejap dengan kata-katanya. Bab anak bagi saya amat sensitif. Ibu mana yang tidak sayangkan anak. Kerja yang saya lakukan di UIA adalah kerja-kerja mendidik pelajar berdakwah. Saya menarik nafas panjang agar tambah yakin Allah akan menolong orang yang menolong agamaNya. Saya katakan pada diri sendiri, "Tiada seorang ibupun yang mampu menjaga anaknya. Yang mampu itu hanya Allah."
Saya cuma mampu berusaha membantu mereka dan berdoa agar Allah memberikan yang terbaik. Yang memastikan apa hasilnya hanyalah Allah. Setiap malam saya adalah guru untuk semua subjek mereka dari matematik hingga tajwid. Suami yang pakar matematik pun mengalah kerana tidak mampu mengajar  anak-anak  sendiri subjek matematik seperti saya. Saya menghafal silibus dari darjah satu hingga tingkatan 5. Suatu yang membuat saya terharu ialah, atas rahmat Allah adakalanya apabila saya terpaksa balik lewat malam, mereka akan akan akur apabila disuruh tidur awal dan besok paginya bangun seawal 5 pagi untuk belajar dengan ibu. Saya lakukan supaya tidak diburu rasa bersalah apabila tidak dapat membantu membuat kerja sekolah anak waktu malam. Perasaan bersalah apabila gagal memperuntukakan waktu bersama anak semasa mereka mengulangkaji pelajaran lebih sakit daripada gagal dapat naik pangkat.
Menggendong anak kecil sambil mengajar  anak-anak  yang besar setiap malam adalah kenangan yang amat manis. Susah tetapi sangat berbaloi dengan kesusahan itu. Meja makan saya potong kakinya menjadi meja Jepun agar  anak-anak  selesa duduk belajar ramai-ramai dan saya akan bergerak dari seorang anak ke seorang anak keliling meja melihat mereka membuat kerja sekolah. Kadang-kadang mereka berebut siapa dulu patut dapat bantuan ibu. Selesai belajar kami sama2 minum Milo.
Sebatang rotan untuk menghukum anak apabila perlu rupanya banyak kebaikannya. Anak kedua saya, Hanafi, adalah yang paling banyak menerima rotan waktu kecil kerana kenakalannya, dan sekarang dalam usia 23 tahun dialah yang paling mengambil berat urusan keluarga. Anak ke 4, Hasif, tidak pernah dirotan tetapi paling banyak mendapat dugaan waktu kecil, sekarang dalam usia 18 tahun paling prihatin dan berhati-hati untuk tidak mengecilkan hati orang lain.
Anak ketiga, Hazim, paling kerap dimarahi kerana malas belajar waktu sekolah dulu, kini paling tenggelam dalam studio KAED kerana obsess dengan study yang diminatinya.
Anak ke 5, Syakirah yang paling kerap saya bawa dalam kerja-kerja kemanusiaan dapat menghayati kesusahan orang lain dan bercita-cita membuat sebuah rumah anak yatim bila besar nanti.
Sebatang rotan untuk menghukum kesalahan dan secawan Milo waktu malam sebagai token atas kebaikan mereka amatlah berkesan mendidik  anak-anak . Apalagi kalau menggunakan sebiji cawan untuk dikongsi ramai-ramai dengan  anak-anak . Kata orang bekas bibir pada cawan apabila minum bersama ibu bapa itu akan mengeratkan lagi hubungan keluarga.

2 comments

  1. Anonymous

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai