Budi terakhir buat sahabat


posted by Martinelli Hashim

2 comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

Dalam isak tangis sahabat2  melepaskan jenazah Ikhwan ke Kedah, 3 orang sahabat setia yang sangat rapat dengan Allahyarham iaitu  Izudin, Razali dan Mahfoz menawarkan diri untuk ikut serta menaiki van jenazah. Ketiga-tiga mereka mempunyai ikatan persahabatan yang sangat kuat dengan Allahyarham.  Ketiga-tiganya duduk menghadap jenazah sepanjang perjalanan yang memakan masa  selama 7 jam.

Mahfoz adalah teman Ikhwan dalam AKHI, orang yang terakhir bersama Ikhwan sebelum Ikhwan menghembuskan nafas terakhir. Malam itu Ikhwan bersama alumni AKHI membuat reunion di Restoran Nelayan.  Ikhwan menghantar Mahfoz ke rumah  sebelum pulang ke UIA. Dalam perjalanan malam seorang diri, Ikhwan mungkin tidak dapat menahan mengantuk ditambah dengan keletihan selepas bertugas sepanjang hari.

Izudin teman sebilik adalah orang yang terakhir bercakap dengan Ikhwan melalui telepon bimbit. Kata Izudin entah macam mana malam itu beliau tergerak hati untuk meminta Ikhwan membeli MACDEE . Jururawat mendail nombor Izudin yang ada dalam telepon bimbit Ikhwan untuk memberitahu tragedi itu.

Razali juga teman sebilik, yang mengambil alih jawatan Presiden CENSERVE Team dari Ikhwan sudah tentu berkongsi denyut nadi yang sama untuk menggerakkan CENSERVE Team.  Ikhwan mewariskan CENSERVE Team kepada Razali dengan pelbagai perancangan bagi memantapkan lagi misi ummah.

Tidak dapat dibayangkan perasaan ketiga-tiga sahabat ini dengan kehilangan teman seperjuangan yang tidak ada tolok bandingnya. Mereka sajalah yang tahu bagaimana perasaan mengadap jenazah ikhwan, teman yang sebelum ini penuh ceria dan senyum tidak pernah kering dibibir sekarang tebujur kaku dalam keranda dihadapan mereka. Mereka menghadap jasad Ikhwan selama 7 jam meredah hujan lebat sebelum sampai ke kampung Ikhwan untuk disemadikan.

Jenazah  dikebumikan malam itu juga. Mereka pulang menaiki van jenazah yang sama ke UIA. Namun kesabaran mereka diuji Allah apabila van rosak di tengah jalan dalam gelap gulita.

Demi seorang sahabat, mereka meredhakannya. Belum lagi hilang penat Razali dan Izudin selepas membantu mangsa banjir di Johor selama 3 hari. Malam ini Izudin ada mid-term. Apalah ada pada sebuah kepenatan dan test berbanding dengan nilai persahabatan.

Sudah tentu pengalaman menemani sahabat dalam perjalanan terakhirnya penuh bermakna bagi mereka. 

Buat mereka bertiga….sekalung penghargaan. Moga Allah membalas budi yang dicurahkan. Budi terakhir buat teman tersayang.


2 comments

  1. Anonymous

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai