Hati ibu


posted by Martinelli Hashim

3 comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
Kasih ibu setinggi gunung seluas lautan tanpa syarat tanpa imbuhan itu benar.

Sedih ibu melihat anak sedih itu benar.

Gembira ibu melihat anak gembira juga benar.

Susah ibu melihat anak susah juga benar...tidak tipu melainkan benar.

Cuma ... tidak semua boleh diucapkan dengan kata2 oleh semua ibu pada setiap ketika. Kebanyakannya hanya diucapkan dalam hati tanpa bicara.

Gelisah ibu selalunya tidak difahami anak2 sebagaimana mereka tidak dapat menganggarkan ukuran kasih yang dicurahkan. Dalam tersinggung dia masih ada kasih yang mendalam. Masih bersujud pada Allah agar anaknya jangan dihukum atas perbuatan yang mengguris hatinya. Biar dia yang sakit, biar dia yang letih, jangan anaknya.

Dalam kecewa dia masih ada rindu yang tidak berpenghujung, tidak mahu hati anaknya jauh walau seinci darinya.

Kalau boleh dia masih mahu mengayun buaian untuk anaknya sampai bila-bila, mendakap buah hatinya selamanya-lamanya. Disebabkan rasa malu atau takut anaknya tidak sudi menjadi penghalang buat ibu untuk melakukannya. Anak tidak akan tahu perasaan yang ada disudut hati ibu.

Anak tidak pernah tahu kehilangan yang dirasa oleh ibu saat-saat anaknya menunjukkan tanda rasa rimas dengan belaian ibu sebagai tanda dia sudah mula remaja. Kehilangan itu sudah tentu sangat hebat dirasakannya saat-saat anak pergi untuk kehidupan baru.

Perasaan itu ditutup rapat-rapat supaya anak tidak tahu kerana apa-apa pun setiap ibu terpaksa menerima hakikat bahawa anaknya tidak boleh dimilikki sepenuhnya buat selama-lamanya. Ia akan punya kehidupan dan punya impian yang tidak mungkin sama dengan kehidupan dan impian ibu.

Kasihnya dan bayangan terhadap anaknya tidak akan pernah berubah. Yang berubah hanya kasih anak dan bayangan anak terhadap ibu. Kasih anak akan terbelah-belah dan satu belahan kecil saja untuk ibu.

Bayangan anak terhadap ibu akan berubah apabila  anak semakin kurang bergantung kepada ibu.

Anak melihat masa depannya dengan mata hati yang memandang hanya kepada satu penjuru. Ibu melihat masa depan anaknya kepada seribu penjuru lagi yang tidak dapat dilihat oleh anak kerana mata hati ibu itu bukan satu tetapi ada seribu. Dan seribu mata itu hanya melihat masa depan anak kerana masa depannya di dunia ini sudah tidak penting lagi.

Rasulullah saw. berkata kepada Fatimah, “Doa ibu itu lebih makbul kerana kasih sayangnya lebih besar. Orang yang kaya dengan kasih sayang lebih mustajab doanya.”

Syurga di bawah tapak kaki ibu itu bukan mudah untuk dipikul. Keramat seorang ibu bukan kuasa untuk dibanggakan. Tersilap menggunakannya akan membawa ibu dan anak sama-sama ke neraka. Tanggungjawab ini hanya dipikul oleh ibu dan ibu itu hanyalah makhluk yang bernama  wanita yang tidak punya kekuatan fizikal seperti seorang ayah. Kekuatan yang ada padanya hanyalah semangat dan jiwa yang kental membimbing anak-anaknya ke mercu kejayaan. Tiada upah, tiada imbuhan yang diminta. 

Bagi seorang ibu, mengawal hati sendiri supaya tidak mudah terguris adalah lebih berat dari mengangkat seguni beras........ Dia takut sekelumit hatinya terguris,  anaknya akan dicop anak derhaka yang tidak akan mencium bau syurga. Biar dirinya menderita asalkan anaknya dapat ke syurga.

Terimalah ibu kita seadanya kerana kasihnya adalah nikmat Allah yang sangat besar yang perlu disyukuri. Bersabarlah kalau hati kita masih tidak mampu mengerti apa yang dia rasa, kerana sememangnya kasihnya yang seluas lautan itu tidak mampu kita renangi.

Kasih ibu itu lembut dan menyegarkan. Kelembutannya akan hanya dapat dirasa selepas ibu tiada lagi di sisi. Bicaranya mungkin adakalanya tidak disenangi atau mungkin ada yang menyakitkan, namun ingatlah bicara ibu datang dari hati yang suci yang tidak dikotori oleh sebutir debupun demi untuk anak yang disayangi.

Sudah dijanjikan Allah swt, orang yang menjaga hati ibunya hidupnya akan penuh barakah dan rahmah ... kerana doa dan restu ibu sebenarnya kunci untuk semua itu. Usah menyakiti ibu walau apapun alasan kita.
Ibu yang solehah tidak ada tolok bandingnya di dunia. Hangat kasihnya ibarat gebar di saat kedinginan. Kental jiwanya sanggup berkorban nyawa untuk anak tanpa batasan.  Putih hatinya lebih putih dari mutiara di dasar lautan.........

3 comments

  1. Anonymous
  2. Anonymous

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai