Anak dijaga ibu dibiar.


posted by Martinelli Hashim

No comments



"Saya dah buat segalanya. Tapi anak saya gagal juga." Keluh Pn Azimah (bukan nama sebenar), seorang ibu yang begitu kecewa dengan pencapaian SPM anak bujangnya.

Beribu-ribu ringgit sudah dihabiskan untuk membiayai persekolahan anak. Belajar di pusat tusyen yang mahal, malah ada juga guru tusyen yang datang ke rumah mengajar si anak supaya dapat tumpuan yang lebih. Entah berapa kali menghantar anak ke Program khemah motivasi sejak anak itu di sekolah rendah lagi. Bermacam-macam buku tambahan dibelikan. Namun anak yang diharapkan semakin mengecewakan. Anak berkawan dengan budak nakal. Gaya remaja masa kini yang dipengaruhi budaya tidak sihat semakin ketara. Rambut belang dan berceracak. Kerenahnya semakin hari semakin  merisaukan ibubapanya.

Sampai bilakah anak mahu mengikut arahan ibubapanya?

Sekuat manakah ibubapa mampu bertahan apabila anak tidak lagi mengendahkan teguran?

Berapakah harga yang perlu dibayar untuk memastikan kejayaan anak?

Waktu kecil kita masukkan mereka ke TADIKA Islam. Semasa di sekolah rendah, kita masukkan juga belajar di sekolah agama atau KAFA malah ada yang dimasukkan ke sekolah swasta Islam. Kita hadir setiap kali ada penyerahan buku laporan. Semuanya dilakukan agar anak kita berakhlak baik.

Tetapi kenapa apabila anak itu remaja dia tidak seperti yang diharapkan. Perlakuannya setiap hari meruntun perasaan ibubapa?


Mungkin saja itu adalah ujian dari Allah. Tetapi adalah baik juga kalau kita meneliti kembali cara hidup kita seharian .

  1. Duit yang kita gunakan untuk mengisi perut anak, membayar pelajaran anak adakah dari hasil yang benar-benar bersih? Kalau duit itu hasil pendapatan si ibu, apakah pekerjaan ibu benar-benar atas redha suami?
  2. Semasa berbelanja makanan mewah-mewah untuk anak-anak, pernahkah kita membayangkan anak-anak orang lain yang kelaparan?
  3. Semasa menghantar anak ke pusat tusyen, pernahkah kita bertanya pada diri sendiri apakah kita sudah menggunakan sepenuhnya kemampuan kita mengajar sendiri anak di rumah?
  4. Apakah usaha yang dilakukan benar-benar ikhlas kerana Allah atau apakah ada ria' agar anak kita dipandang hebat?
  5. Kalau kita mampu mengorbankan wang ringgit untuk membiayai pelajaran anak, sudahkah kita membuktikan juga yang kita mampu membuat pengorbanan masa, tenaga, keselesaan atau apa saja semaksimanya agar anak-anak mendapat perhatian kita cukup dan sempurna? Sebesar mana kita sanggup berkorban sebesar itu pula akan kita lihat hasilnya.
  6. Kalau kita bersungguh-sungguh menjaga keperluan anak, Apakah kita cukup bersungguh-sungguh dan  berhati-hati dalam menjaga hati ibubapa sendiri atau ibubapa mertua?
  7. Apakah kita cukup berhati-hati dalam berhubung dengan manusia lain agar tidak menyakiti atau mengambil hak mereka tanpa redha  mereka?
  8. Apakah kita cukup berhati-hati dalam menyempurnakan hak Allah? Ingatlah kejayaan yang kita harapkan itu hanya saja Allah yang boleh memberikannya. Kegagalan memenuhi perkara 1 - 6 akan menghalang doa dari termakbul. 
Pn Azimah adalah seorang wanita yang berkerjaya yang sering tidak ada di rumah. Beliau ada ibu yang jarang diendahkan. Ibunya sudah faham dengan kerenah anaknya yang keras hati, oleh itu hanya memendam rasa apabila anaknya bersuara tinggi. Beliau juga sangat kasar dengan ibu mertuanya. Dia lupa ibu mertua ada hak untuk dhormati dan dijaga hatinya dengan baik. Dia terlupa kisah Akramah yang hampir kafir semata-mata kerana ibunya merasa kecil hati dengan menantunya.

Pn. Azimah ada 3 orang lagi anak. Kemungkinan anak-anaknya yang lain mengikut jejak langkah abangnya amat besar. Kalau anda rakan Pn Azimah apakah yang harus anda lakukan? 

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai