Apa Ertinya Saya Sebagai Pelajar UIA?


posted by Martinelli Hashim on

31 comments

Penyerahan amanah ummah
بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ


"Saya masuk UIA bukan saya minta pun. UPU yang pilih. Masa sekolah dulu bila kawan-kawan sibuk nak masuk UIA saya selalu kata pada mereka.....alaaaa, apa barang masuk UIA. Tapi sekarang dah di penghujung ni, saya syukur jadi student UIA." Kata Ismail Jaafar.

"Ayah saya dulu polis. Selepas tamat pengajian UIA, dia buat keputusan berhenti jadi polis kerana UIA mengubah pandangan hidupnya. Ayah bertekad supaya semua anaknya masuk sekolah agama kemudian masuk UIA. " Kata Raziq.

"Saya dulu dari sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Penang. Masuk UIA tanpa ilmu agama yang cukup. Saya minat muzik dan pandai main piano. Bila masuk UIA rasa asing sangat. Entah macam mana masa menyanyi  Asma’ ul Husna ramai-ramai dalam Taaruf Week, saya rasa sayu sangat-sangat, ada sesuatu yg cukup menyentuh hati saya..........it was so beautiful" Kata Dr. Aldila Ishak.

Di atas adalah sebahagian dari kenyataan-kenyataan yang saya dengar dari mulut beberapa orang bekas pelajar UIA yang cemerlang sejak zaman pelajar sehinggalah sekarang dalam dunia karier masing-masing.

Mereka mewakili kumpulan graduan yang bukan saja  cemerlang dalam akademik tetapi tetap aktif dalam aktiviti daawah dan kemanusiaan. Pelajar-pelajar ini dapat menerapkan misi ummatik dalam diri mereka setelah melalui tarbiyyah uia selama 3,4, 5 atau 6 tahun di UIA. 

Kalau UKM tertubuh selepas desakan anak-anak muda Melayu yang mahu memartabatkan Bahasa Melayu, UIA pula tertubuh selepas desakan anak-anak muda Melayu yang ingin memartabatkan ilmu Islam. 

Bicara untuk menubuhkan sebuah universiti sudah bermula sejak zaman Pendita Zaaba lagi. Ia berterusan dengan bicara-bicara pelajar pondok dan mereka yang memang mengimpikan kemunculannya. Pada tahun 1971 sekumpulan anak-anak muda Melayu dari Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia ( PKPIM) mengadakan seminar membicarakan perlunya sebuah universiti Islam di Malaysia. Ungku Omar membentangkan kertas konsep, Selepas itu desakan demi desakan dilakukan agar kerajaan menubuhkan universiti tersebut. Kumpulan-kumpulan seperti Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya, ABIM dan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia adalah kumpulan yang konsisten memperjuangkannya. Desakan juga datang dari World Association of Muslim Youth (WAMY), Tokoh tempatan seperti Anwar Ibrahim mendesak melalui ABIM. Tokoh gerakan Islam antarabangsa  Ismail Farouqi pula sangat giat memujuk Perdana Menteri Dr. Mahathir. 


Bengkel Da'wah  di CENSERVE oleh pelajar 
Sejarah ini tidak tertulis dengan sempurna. Sayang sekali sejarah UIA yang rasmi hanya bermula selepas persidangan Mekah. Alangkah baiknya kalau ia digali semula sementara mereka yang pernah terlibat dalam perjuangan itu masih  hidup. 

Saya masih terbayang pidato berapi-api di dewan kuliah UKM Lembah Pantai  oleh para  mahasiswa dan saya waktu itu hanyalah seorang pelajar sekolah menengah berusia 15 tahun yang cuba menumpang dengar dan akhirnya ikut terbakar semangat. Semangat itulah yang saya bawa hingga hari ini. Sebuah perjuangan suci membawa misi ummatik.



Kesediaan  Dr. Mahathir menerima cadangan penubuhan sebuah universitI Islam dan kemudian dibentangkan di persidangan Mekah adalah kemuncak kepada perjuangan kumpulan anak-anak muda itu. UIA dibuka juga akhirnya pada tahun 1983. Tarikh rasmi penubuhan UIA adalah 2 hari sebelum hamba dan suami diakadnikahkan. Tercatatlah satu sejarah yang amat besar ertinya dalam dunia Islam masa kini. Sejarah amat bermakna buat hamba secara peribadi.

Maka ramailah mereka yang pernah terlibat memperjuangkan penubuhan UIA memohon  menjadi  tenaga pengajar dan pentadbir di universiti tercinta. Idealisma suci yang mereka terapkan ialah untuk mendidik pelajar-pelajar bagi menghasilkan graduan yang berjiwa Islam pembawa obor kecemerlangan ummah. Para pelajar dididik melalui proses tarbiyyah yang dirangka khas untuk mereka bagi membina peribadi unggul.

Berda'wah di pedalaman Phnom Pehn
Mereka bukan di menara gading tetapi di menara ilmu. Oleh itu tidak ada masa untuk bermanja dengan dunia.  Kalau pengajian di UIA itu dikatakan susah, memang benar susah dan sangat banyak jam kredit untuk dilalui. UIA tidak akan mengubahnya kerana itu saja yang akan menjamin mutu produknya, produk yang ada tanggungjawab berat untuk dipikul. Tidak ada jalan pintas untuk berjaya.



Mereka milik ummah, kepada ummahlah mereka harus berbakti. Amanah itu besar dan tanggungjawabnya berat, maka mereka perlu  dididik dengan sempurna supaya amanah dapat dipikul dengan sempurna.Satu proses tarbiyyah yang terancang perlu mereka lalui.

Aktiviti Qiyammmulail, Asma ulhusna, Usrah dan Alma'thurat (QAUM) adalah amalan yang diyakini dapat membantu proses tersebut. Pelajar dipanggil 'brother/sister', entah siapa yang memulakannya. Ungkapan itu amat unik yang menjadi 'trademark' kepada UIA hingga hari ini.

Dalam aktiviti pelajar ditanamkan semangat perjuangan. Mereka disedarkan bahawa mereka adalah anak muda yang punya tanggungjawab yang besar membangunkan ummah.


Jadilah semua ini sebagai sebahagian dari budaya UIA yang harmonis. Ungkapan seperti 'we are the agents of change' selalu disebut-sebut
.
Semua ini menjadikan mereka memahami erti kenapa mereka menjadi pelajar UIA.

Mereka yang tahu apa ertinya menjadi pelajar UIA akan merasa bangga menjadi sebahagian dari  sejarah pembangunan ummah melalui misi universiti ini. Anjakan paradigma berlaku pada pelajar apabila mereka merelakan diri mereka melalui proses 'penyucian minda' yang menjadi budaya UIA. Graduan yang terserlah peribadi 'ke uia annya' biasanya adalah di kalangan mereka yang sedia  melalui tahap penyucian yang unik ini sepanjang berada di UIA. 

Saya sering mengatakan kepada mereka tentang budya QAUM di UIA:

Q - qiyammualail sebagai sabun pembersih
A - Asma' Ul Husna sebagai minyak wangi
U - usrah sebagai air cucian
M - Al Maathurat sebagai pakaian indah

"Dimandikan dengan usrah, disabun dengan Qiyamullail, disaluti dengan pakaian AlMaathurat dan diharumkan dengan alunan Asma'Ul Husna, maka terhasillah satu produk yang indah akhlaq dan tajam mindanya. "

Proses itu membantu mereka menerapkan sifat amanah, sidiq, tabligh dan fathonah. Proses QAUM yang amat penting membina bakal pemimpin ummah.

Mereka yang bersungguh-sungguh merelakan dirinya melalui proses itu, InsyaAllah peribadi mereka tidak akan diragui.  Mereka bersih menyebabkan orang suka mengambil mereka bekerja. Mereka wangi menyebabkan orang suka mendekati mereka untuk diletakkan di hadapan sebagai pemimpin dan imam. Mereka indah kerana punya peribadi mulia. Lebih indah lagi apabila mereka membiasakan diri dengan solat 5 waktu di masjid SHAS yang sengaja dibina di tengah-tengah UIA supaya mudah didatangi oleh semua warganya.

Hujung minggu mereka dihabiskan dengan aktiviti da'awah dan kerja-kerja membantu masyarakat yang memerlukan. Tidak ada siapa yang memaksa mereka. Tetapi jiwa mereka sudah terdidik untuk menyumbang tenaga untuk ummah.
Menyumbang bakti untuk masyarakat

Inilah yang sepatutnya dilalui oleh semua pelajar-pelajar UIA. Mereka yang lebih banyak melalui proses-proses ini akan terserlah lah aura 'UIA' nya menjadi jurubicara ummah dan sebagai ejen perubah masyarakat. Mereka akan berjaya di mana saja mereka berada. "Jika dicampak ke laut, terapung menjadi pulau, tenggalam menjadi mutiara."

Memang ada yang liat untuk melakukannya tetapi walau macam mana liatnya mereka masih mendapat sedikit sebanyak tempias dari budaya ini untuk mencuci peribadi.

Penyerahan skrol dalam majlis konvokesyen adalah simbol penyerahan obor buat bakal pemimpin ummah. Apakah mereka mengerti dengan simbol tersebut?

Sering dilihat graduan mengambil gambar beramai-ramai sambil membuang skrol ke udara......tercampakkah obor bersama skrol itu dan ia tidak lagi dipegang erat-erat?

Masa berlalu begitu pantas, suasana berubah, tidak semua pelajar mahu melalui proses pentarbiyyahan dan mempraktikkan Q.A.U.M  lagi. Ramai pensyarah dan pentadbir yang punya semangat juang yang kental sudah pun bersara atau keluar dari UIA atau mereka masih ada tetapi kekentalan semangat sudah sehebat dulu. Dunia menukar segalanya..

Bagi yang masih tinggal, sewaktu pelajar taat menjalani sesi usrah wajib, di manakah mereka?

Ramai yang hanya bersungut dan mengeluh. Apakah sungutan dan keluhan mampu memperbaiki keadaan?

Sesekala terfikir juga soalan berikut di benak kita :

·       Apakah UIA masih mampu menghasilkan graduan   hebat pembawa obor ummah ?

·       Berapa ramaikah pelajar UIA yang tahu ertinya mereka sebagai pelajar UIA?


·      Bagi mereka yang tahu berapa ramaikah yang mampu melaksanaka tanggunjawab   ummatik ini?


·     Sebesar manalah agaknya impak graduan kita dalam pentadbiran negara setelah ribuan  graduan dilahirkan oleh UIA?


·      Sejauh manakah agaknya penglibatan graduan UIA dalam menangani perpecahan  ummah? Ataukah mereka juga sebahagian dari pemecah ummah?

·       Sudah berjayakah UIA dalam 'Islamization of knowledge'?

·     Sudah berapa banyakkah buku yang terhasil sebagai penanda aras kejayaan  'Islamization   of knowledge' UIA? 


   Kepada anak-anak didik UIA fahamilah, apa ertinya anda sebagai pelajar UIA? Anda milik ummah dan kepada ummahlah harus berbakti. Anda pembawa amanah, amanah itu amat berat, usah dikhianati. 

Masa usah ditunggu kerana masa tidak pernah menunggu kita. Tenaga muda usah dipersia kerana ia tidak akan datang buat kali kedua. Kita penyatu  bukan pemecah-belah ummah. Berlapang dadalah dengan perbezaan pendapat kerana kita sudah disatukan oleh aqidah. Usah berbalah atas perkara remeh kerana ia kan menjadi barah yang menyakitkan.


Artilkel lain:

SAYANG UIA SAYANG

TOWARDS WORLD CLASS UNIVERSITY

IMAM MUDA HASAN ADLI

Mana Mak?
KEBENARAN INI
Malu Kita Dengan Orang Jepun










31 comments

  1. WF
  2. Anonymous
  3. Anonymous
  4. Anonymous
  5. Anonymous
  6. Anonymous
  7. Zakuan Azizi
  8. Anonymous
  9. Anonymous

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai