Sedikit catatan untuk anak-anak yang membaca entri ini.
Tahniah, berkat usaha gigih kalian semasa belajar di UIA membawa misiummatik yang suci ini telah dibalas dengan rezeki yang melimpah apabila Allah melembutkan hati majikan mengambil anda bekerja.
Kepada anakanda semua teruskan dengan pembinaan sifat sidiq, amanah, tabligh dan fathonah yang menjadi teras pembinaan insan. Jangan lupa diri, ibubapa, guru-guru dan mereka yang pernah berjasa mendidik kalian.
Jadikanlah pengalaman dan pendidikan di UIA tempat yang pernah kalian bertapak satu ketika dulu sebagai pemangkin semangat meneruskan perjuangan memartabatkan ummat. Pada waktu-waktu anda berada di atas jangan lupa melihat ke bawah sekali-sekala kerana dibawah ini sangat banyak pengajaran tentang hidup.
Sebahagian kalian mungkin pernah mendengar pesan ibu melalui kisah si pensel yang berbunyi begini.....
Kita umpama sebatang pensel.
Pensel yang terbaik ialah apabila ia dapat meninggalkan bekas melalui tulisan yang berguna untuk dibaca oleh manusia. Bekas itu dihasilkan oleh isi pensel yang terang dan tidak mudah patah. Walau secantik manapun sebatang pensel itu, yang penting adalah isinya. Ia hanya boleh menghasilkan tulisan yang cantik apabila ia sentiasa tajam. Pensel akan hanya tajam apabila ia selalu diasah atau diraut dengan pisau yang tajam... ianya amat menyakitkan!! Pensel yang rupanya tidak sehebat mana, namun ia boleh menjadi lebih hebat dari pedang yang tajam. Pensel tidak pernah meminta untuk dipuja walaupun ia banyak berjasa. Namun yang paling penting ialahp pensel boleh berfungsi dengan baik hanya apabila ia berada dalam genggaman tuannya.
Kita ibarat sebatang pensel.
Insan yang baik adalah apabila ia meninggalkan bekas yang memberi faedah pada orang lain. Kita akan meninggalkan bekas yang baik di mana saja kita berada hanya apabila kita memiliki hati yang baik dan tidak mudah patah. Secantik manapun seseorang itu, yang penting hanyalah hatinya. Hati yang baik dan kukuh itu terbina dari proses kehidupan yang selalunya menyakitkan. Kehebatan kita tidak terletak pada wajah, tetapi kepada apa yang kita sumbangkan. Orang yang baik tidak mengharapkan dirinya dipuja. Namun yang paling penting ... letakkan dirimu sentiasa dalam genggaman tuanmu yang sebenar iaitu Allah swt.Kisah ini biasanya ibu sampaikan kepada pelajar-pelajar yang mengunjungi ibu buat kali terakhir sebelum mereka meninggalkan UIA dipenghujung pengajian. Ibu sampaikan sebagai amanat yang mungkin berguna sepanjang penerokaan dunia kehidupan di luar sana.
"From IIUM To The Hearts of The Ummah"