Pengalaman Pahit Itu Mahal Harganya


posted by Martinelli Hashim

2 comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
Rasanya seolah-olah baru semalam dipimpin ibu berjalan di permatang sawah sambil membacakan seayat demi seayat surah-surah lazim untuk saya hafal. Setiap hari saya menemani ibu menjaga padi dari dimakan burung. Sehinggalah suatu hari, sedang asyik bermain-main dalam bendang, kedengaran panggilan ibu, “Li, cepat balik. Kita nak bertolak petang ni. Kenderaan dah dapat”

Saya tidak menyangka itulah kali terakhir saya merasa nikmat bebas bermain di sawah padi dengan teman-teman sekampung. Selepas itu bermulalah perjalanan kami bertiga, ibu, kakak dan saya mencari ayah yang tidak pernah saya temui.

Ibu sering menceritakan kisah sedihnya saat melahirkan saya tanpa kehadiran ayah . Waktu itu kakak kedua saya yang baru berumur 4 tahun pula sedang sakit tenat. Sehari selepas saya lahir, kakak meninggal dalam pangkuan nenek. Kata ibu, semasa melihat jari-jari tangan kakak yang sedang memeluk leher nenek sudah menjadi biru tanda-tanda dia dalam nazak, ibu mendekatinya dan sempat berbisik ke telinga kakak, “Hanim, Mak relakan Hanim pergi. Tunggu mak dan abah di syurga nanti,ye” Selepas itu kakak terus menarik nafas terakhir. Ibu berusaha keras menahan perasaan kehilangan anak yang sedang lincah dan comel tanpa suami untuk berkongsi.

Hanya 9 tahun selepas itu ibu berusaha keras mencari ayah atas desakan adiknya yang tidak sanggup melihat kakaknya hidup terpisah dari suami. Jasa Om Lukman, bapa saudara saya itu amat besar sekali.

Kami memulakan jejak kasih mencari ayah dengan menumpang sebuah lori sayur. Saya masih ingat ibu membawa bekal telur rebus kesukaan saya supaya tidak lapar dalam perjalanan yang entah berapa lama akan sampai. Kami dibantu oleh seorang sepupu yang katanya boleh membantu mencari ayah. Selepas hampir seminggu, berpandukan maklumat-maklumat kabur akhirnya kami bertemu jua dengan ayah. Bayangan seorang anak kampung seperti saya tentang ayah ialah ayah saya tinggal di kota raya Kuala Lumpur tentunya hidup mewah. Namun bayangan itu akhirnya semuanya meleset. Ayah yang kami temui amat dhoif sekali dengan baju pagoda berlubang-lubang. Tetapi keseronokan mempunyai ayah di depan mata mengatasi segalanya.

Ibu membisikkan pada saya, “Kita akan terus tinggal di sini dengan abak.” Kata-kata itu memulakan kehidupan kami di tengah kota Kuala Lumpur dan selepas itu kami tdak pernah pulang ke kampung selama 23 tahun. Kata-kata itulah juga memulakan perubahan kehidupan ibu seorang wanita kampung yang tidak pernah tinggal dibandar. Ibu terpaksa hidup berjimat sejimat-jimatnya.

Apa yang saya lihat setiap hari biasanya menimbulkan pertanyaan dalam hati tentang erti kehidupan.

Makan malam berlaukkan telur rebus

Sewaktu ibu membelah sebiji telur rebus untuk dikongsi dengan ayah, ibu dan kakak sebagai lauk makan malam, saya bertanya dalam hati macam mana agaknya rasanya makan nasi dengan lauk pauk yang melimpah dan makan sepuasnya. Kami hanya mampu makan lauk yang terpaksa dijimatkan. Kalau ada rezeki adalah ikan bilis sebagai lauk tambahan. Hanya seekor ikan bilis untuk satu suap.

Kereta hanya milik orang kaya

Semasa memandang kawankawan dihantar ayah mereka ke sekolah menaiki kereta sedangkan saya kadang-kadang terpaksa berjalan kaki sejauh 5 km untuk menjimatkan belanja, saya berkata dalam hati alangkah enaknya jadi anak orang yang punya kereta. Kalau saya ada kereta saya akan duduk dan tidur dalam kereta itu menikmati keenakannya.

Suatu hari seorang saudara mengajak saya bersamanya pergi jalan-jalan melihat kapalterbang di Subang Airport menaiki kereta Mercedes anaknya yang baru dibeli. Kerana rasa teruja untuk jalan-jalan, ibu memakaikan saya baju merah kesukaan saya dan dengan sabar menanti ketibaan kereta Mercedes yang dijanjikan. Sebaik saja saya membuka pintu kereta dan duduk, terdengar suara isteri empunya kereta menjerit “Hei, mana boleh naik ramai-ramai ni. Berat sangat, nanti rosak kereta ni!!”

Dengan rasa malu saya berundur sambil berkata dalam hati ”Kereta mercedes tu tak boleh bawa saya sebab saya orang miskin. Orang miskin ni berat.”

Saya berlari masuk ke rumah menangis kerana malu dihalau di depan orang. Baju merah yang menyalut badan saya yang kurus melidi itu basah dengan airmata.

Menumpang menonton tv di rumah jiran

Ayah tidak mampu membeli radio atau tv. Untuk melihat jam pun pun terpaksa meninjau jam dinding jiran. Sekali seminggu ayah membenarkan saya menumpang menonton cerita melayu di tv rumah jiran, Itupun sekadar mengintai dari luar pintu rumah jiran itu. Menonton sambil berdiri sampai cerita selesai. Usah ditanya betapa siksanya berdiri sambil dihurung nyamuk. Kalau hujan, ibu menyuruh saya pakai payung. Masa itu saya berangan-angan alangkah enaknya kalau ada tv di rumah sendiri dan menonton sambil berbaring dan ada kipas bertiup.

Bantuan Baitulmal Wilayah.

Suatu ketika saya menerima bantuan baju sekolah dari Baitulmal. Saya membelek-belek baju itu. Kainnya tebal dan kasar tidak sama dengan baju kawan-kawan lain. Sedang asyik membelek baju, cikgu memberitahu, “Martinelli, nama kamu tersenarai untuk pergi ke Masjid Negara minggu depan kerana ada jamuan untuk kanak-kanak miskin.”

Saya berangan-angan sendiri, bagaimana agaknya rasanya punya duit yang banyak dan membelikan semua orang baju cantik dan menjamu mereka tanpa menyebut ‘jamuan untuk anak-anak miskin’.
Semasa ibu terlantar sakit hampir setahun, ayah begitu sabar melayan ibu. Waktu itulah saya berusaha sendiri mencari rezeki dengan kerja tangan yang dijual di Pasar Minggu. Ibu selalu berpesan kalau susah jangan minta pada siapapun. Saya tidak mahu ibu susah hati takut ibu tambah sakit. Oleh itu setiap kali mendapat hasil jualan saya akan tunjukkan pada ibu.

Suatu hari, semasa ayah sibuk mengurskan ibu yang sakit di hospital, seorang lelaki yang menyamar sebagai kawan ayah datang meminta saya memberikan semua lukisan ayah. Katanya ayah yang suruh. Dia menyapuh bersih semua lukisan ayah. Bila ayah pulang beliau terduduk kesedihan dengan nasib malang yang datang menimpa satu-persatu. Ayah mengusap kepala saya dan dari raut wajahnya dapat saya rasa betapa sedihnya ayah.

Dalam hati hanya mampu mengeluh, “Kenapalah ada orang yang sanggup menipu orang susah seperti kami?”
Monolog-monolog mencari erti hidup sering berlegar dalam kepala saya tanpa suara. Kadang-kadang ia menjadi angan-angan, kadang-kadang menjadi dendam menggenngam tekad. 

Mungkin berkast latihan dari ibu supaya jangan mengharapkan bantuan orang dan berusaha sendiri untuk hidup membuat saya menjadi cepat matang. Monolog-monolog itu jugalah yang kerap saya ingat sampai sekarang kerana ia benar-benar menjadi pengajaran yang amat mahal harganya.

Pengalaman pahit mengajar saya:
  1. Hormati orang lain termasuk anak kecil kerana kita tidak tahu apa yang kita ucap atau lakukan kepada mereka mungkin akan terlekat di hati mereka selamanya.
  2.  Dalam kita berpesta makanan sehingga melimpah-limpah, ingatlah ramai lagi yang kebuluruan.
  3.  Kalau memberi sedekah, berikanlah juga kasih sayang dengan memberikan barang yang baik bukan barang yang buruk atau terlalu rendah kualitinya.
  4. Berhati-hatilah dengan ungkapan yang boleh menghina orang yang kita bantu seperti memberi nama acara 'bersama anak Miskin'. 'Orang-orang Cacat penglihatan'
  5. Usah kedekut. Kalau ada orang ingin merasa sedikit nikmat yang kita dapat dari Allah, ajaklah mereka berkongsi sedikit nikmat itu. Nikmat yang kita terima hanya pinjaman dari Allah dan akan diambilNya kembali bila Dia mahu.
Sabda Rsulullah saw. 
Tegaknya tiang dunia dengan 4 perkara. 
i. Dengan ilmu para ulama' 
ii. Dengan adilnya para pemerinta 
iii.Dengan kemurahan hati orang2 kaya 
iv. Dengan doa sekalian orang fakir miskin 
Maka sekiranya tidak adanya ulama nescaya binasalah sekalian orang yang jahil. Sekiranya pemerintah tidak adil nescaya (ibarat) manusia memakan manusia lain sebagaimana harimau memakan kambing. Sekiranya tidak ada kemurahan hati orang-orang kaya, nesacaya binasalah sekalian fakir miskin dan sekiranya tiada doa fakir miskin, nescaya runthlah langit dan bumi.

Maaf saya tidak dapat sumber perawi hadith itu.

Pasar Minggu Kampung Baru, tempat saya dibesarkan dalam pahit maung kehidupan ..... di situ juga berputik sebuah kasih suci dalam diri seekor semut yang melata tumpang melihat keindahan sinaran bintang-bintang. Kerana kerdilnya dia, mengangkat muka pun tidak berani. Kasih suci yang kekal tersimpan dalam lipatan sejarah.  

2 comments

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai