Pakaian mereka seperti kebiasaan pelancong yang datang ke negara tropika. Si lelaki memakai baju kemeja berbunga lengan pendek dan seluar pendek. Si wanita berbaju tube bertali halus mendedahkan bahu dan skirt paras lutut. Kulit mereka merah mungkin sudah dibakar panas tropika.
Kalaulah mereka mengetahui kehebatan solat dan zikir dalam Islam sudah tentu mereka akan masuk Islam kerana mereka akan dapat lebih dari apa yang mereka dapat dari meditasi itu. Solat, berzikir, dan bertasbih jauh lebih hebat dari bermeditasi dengan syarat dilakukan dengan khusyu' dan tawadhu'.
Saya kembali melihat diri.... pasangan itu baru bertemu cara menenangkan diri melalui meditasi.
Tetapi meditasi melalui solat dan zikir kita tidak kecapaian kerana fikiran kerap menerawang bersama nafsu duniawi. Kedua2 lelaki dan wanita itu melatih fikiran mereka fokus kepada meditasi dan berterusan berlatih dan berlatih. Kita pula menjadikan solat dan zikir sebagai rutin harian yang tidak disemak untuk diperbaiki. Mereka bermeditasi untuk mencari ketenangan tetapi kita bersolat kerana takut masuk neraka.
Sampai di Tawau. Melihat seorang ibu memimpin anak kecilnya yang lasak. Ibu berjalan ke depan, si anak berpusing ke sana kemari melihat permainan yang ada di sekeliling. Begitu sukar si ibu menjinakkannya supaya berjalan lurus ke depan menunju destinasi
Saya katakan pada diri.... beginilah kita semasa menghadap Allah dalam beribadah. Hati itu ibarat anak yang lasak. Puas kita menumpukan fikiran pada Allah namun si hati masih berpusing ke sana kemari membayangkan nafsu dunia. Begitu sukar bagi kita menjinakkan hati supaya ditumpukan menghadap kepadNya agar perjalanan ruhani lurus ke atas menuju Allah yang Maha Esa.
Pulang ke rumah...... anak saya berkata, "Ibu jom tengok cerita Ketika Cinta Bertasbih."
Saya hanya senyum..... bolehkah selepas menonton semua orang akan bertasbih? atau kah selepas itu semua hati akan berbunga2 dengan cinta?
Tasbih mengucapkan kalimah syahdu mengakui kesucian Allah. Tasbih menanamkan cinta pada Allah. Tasbih sebagai penenang jiwa yang resah. Tasbih dibalas dengan tanaman disyurga untuk pengucapnya. Tasbih hanya untukNya...... subhanaLlahi wabihamdik.
Cinta hanyalah perasaan tanda kita manusia. Ia amat mudah untuk diselewengkan oleh nafsu lalu menjadikannya sesuatu yang nista dan keji. Cinta terkawal dengan memperbanyakkan tasbih.
Ketika Cinta Bertasbih..... bertasbihlah untuk menikmati cinta Ilahi. Bertasbih mengakui sucinya Allah dari segala kekurangan. Bertasbih sebagai latihan jiwa.
Coretan ini sekadar renungan sewaktu bermusafir. Dalam beberapa hari lagi, InsyaAllah saya bermusafir pula ke Jakarta dan Bandung...... Doakan saya selamat ......sampai jumpa lagi.