Prof. Abdullah Hassan pernah menyebut kepada saya, "Kawan yang benar-benar tulin adalah kawan-kawan yang kita kenali semasa kita tidak punya apa-apa, Tidak ada pangkat, kuasa atau kekayaan. Dia berkawan dengan kita dan kita berkawan dengannya tanpa apa-apa kepentingan. Mereka adalah kwan-kawan semasa kita kecil atau kawan-kawan semasa kita masih belajar. Jagalah kawan-kawan lama kerana persahabatan mereka ikhlas."
Semalam buat kali pertama selepas lebih 30 tahun saya menghadiri reunion Pelajar-pelajar Lepasan Asasi Sains Universiti Malaya 78/80 (PLAS UM 7880). Kami merupakan kumpulan kedua Pusat Asasi Sains UM (PASUM) yang ditubuhkan tahun 1977. PASUM adalah cetusan idea Prof Ungku Aziz (Pak Ungku) untuk menghasilkan cendikiawan Melayu dalam bidang sains, kejuruteraan, kedoktoran dan pergiigian pada waktu itu. Pada masa itu kami dikatakan anak emas Universiti Malaya kerana masuk menggunakan SPM/MCE sedangkan orang lain menggunakan STP/HSC.
Dikumpulkan di kolej ke 5 semasa orientasi, masih terdengar-dengar usikan pelajar lain dengan nyanyian, "Cepatlah besar anakku sayang. Minumlah susu Cap Junjung."
Kenangan mengusik jiwa.
Dipunghujung pengajian Asasi masing-masing meneruskan kuliah di pelbagai fakulti. Di fakulti dipisahkan pula mengikut jabatan . Pada tahun 84/85 semua menamatkan pengajian dan mengikut halatuju profesion masing-masing. Saya mendapat ijazah dalam Genetiks tetapi bekerja dalam bidang lain. Dalam tempoh yang begitu panjang itu ada yang terus maju dan ada yang tercicir di tengah pengajian. Ada juga yang tersungkur dan bangun kembali memecut langkah mencapai obor kejayaan. Malah sudah beberapa orang yang sudah dijemput oleh Allah swt.
Kini Pak Ungku bolehlah tersenyum bangga kerana ribuan cendikiawan dan profesional Melayu sudah berjaya dihasilkan menyumbang kembali buat anak bangsa tercinta.
Melihat deretan nama-nama dalam senarai yang mendaftar, membuat saya bernostalgik seketika. Apa tidaknya mereka yang sudah hebat-hebat itu adalah teman-teman yang saya kenali sewaktu berumur 18 tahun. Lawak-lawak dan usikan zaman remaja kembali terbayang. Kini semuanya sudah melepasi umur setengah abad. Kulit sudah kendur dan rambut sudah memutih. Agak sukar mengecam wajah-wajah yang pernah suatu ketika dulu beriringan membawa beg biru menuju dewan kuliah 6 di Fakulti Undang-undang atau bertutorial di Fakulti Kejuruteraan 33 tahun dahulu.
Terbayang juga Bed (Dr. Zabedah) menyanyi2 kecil, "Hitam manis, hitam manis. Yang hitam manis...." apabila En Dayaniti masuk dewan.
Pn Rio, Puan Akmar tutor yang dedikasi. Mereka adalah guru-guru yang bertanggungjawab membantu menjadikan kami seperti hari ini.
Waktu itu tidak ada tanggungjawab lain. Tidak ada hutang untuk difikirkan, tidak ada anak merengek minta belikan itu, ini. Semester baru semua ceria, hujung semester tunduk membaca penuh stress. Apabila keputusan keluar berpusu-pusu ke papan kenyataan... makin stres kalau ada R tertulis dalam senarai keputusan.
Teman-teman dahulu yang tidak punya apa-apa kecuali semangat dan harapan menggenggam ijazah, kini sudah punya kedudukan dan tambahan gelaran di depan atau di hujung nama masing-masing. Dahulu berambut panjang, kini berambut pendek dan rambut ada yang sudah jarang-jarang menampakkan kulit kepala tanda ilmu sudah lebih banyak dari rambut. Dahulu berjalan kaki dari kolej ke 5 dan kadang-kadang berlari mengelak hujan, kini dibawa oleh pemandu kereta berjenama.
Mereka adalah teman-teman yang kini bertemu kembali dalam suasana yang berbeza. Bertemu bukan untuk apa-apa kecuali untuk membina semula sebuah persahabatan yang sudah lama terpinggir. Disebabkan persahabatan itu bermula semasa semuanya tidak punya apa-apa maka pertemuan ini cukup manis dan indah. Kalau dahulu semuanya berdarah muda, tetapi kini masa telah mematangkan diri. Yang dulu pendiam, sekarang tidak lagi....yelah sekarang sudah berstatus nenek dan atuk gelaran dari cucu-cucu.
Disebabkan wajah yang sudah banyak berubah, teman-teman lama ini tidak mungkin saya kenali lagi kalau bukan perjumpaan ini. Pertemuan kerana Allah dalam mencari ilmu kini juga kerana Allah mempertaut ukhwah.
Subhanallah. Engkaulah yang Maha Berkuasa. Berkatilah kehidupan kami. Curahkanlah rahmat kepada mereka yang telah berusaha menemukan kami kembali.
Assalamualaikum,
Seronok dapat bertemu kawan lamakan.
Wa'alaikum salam.
Seronok...rasa muda balik
....a beautiful coretan from the heart...i like.
Alhamdulillah.....amat cantik ungkaian yg dikarangkan....dgn keikhlasan.
SAYA sangat teruja mengenal blog ini. kawan-kawan pusat asasi sains..