Kasih ayah seluas lautan


posted by Martinelli Hashim

2 comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
Waktu berumur 11 tahun saya pernah bertanya pada ayah yang saya panggil Abak (panggilan orang Minang), "Abak, kenapa kita tak ada rumah macam orang lain?"
Ayah tidak menjawab soalan saya secara langsung. Beliau cuma berkata, "Li, belajarlah rajin2 supaya masuk universiti. Abak tak ada harta untuk ditinggalkan."

Kesedihan di wajah ayah hanya ditutup dengan hirupan air kopi panas sambil meneruskan lukisannya. Ayah saya seorang pelukis kecil-kecilan. Dengan hasil jualan lukisan ayahlah dapat mengalas perut kami sekeluarga.

Di hatinya Allah saja yang tahu bagaimana inginnya beliau membahagiakan kedua-dua anaknya dengan rumah yang sempurna tetapi tiada kemampuan.

Kesakitan yang ditanggung beliau akibat terpaksa berpisah dengan isteri dan anak-anak selama hampir 10 tahun sudah cukup berat. Kata ibu Ayah meninggalkan ibu sejak saya dua bulan dalam kandungan lagi. Dengan rahmat Allah usaha keras ibu melakukan 'jejak kasih' akhirnya kami ditemukan dengan ayah yang berada dalam keadaan susah. Pelukan ayah sewaktu pertama kali bertemu bersama linangan air mata masih terasa hangatnya. Itulah pertemuan pertama dengan ayah sejak saya lahir ke dunia.

Dengan suara terisak-isak masa itu ayah berkata, "Lepas ini kita takkan berpisah lagi. Susah senang kita akan hidup bersama. Di sini tempat abak, kita tinggal saja di sini."

Ayah terkenal dengan sifat penyayangnya kepada kanak-kanak. 

Bermulalah kehidupan kami di Kg. Baru, Kuala Lumpur. Saya menyaksikan peritnya ibu dan ayah membina semula kehidupan keluarga dengan pendapatan yang kecil di tengah-tengah kota. Miskin di kampung sekurang-kurangnya ada pucuk paku yang boleh dipetik, tetapi miskin di bandar semuanya bersandar pada wang.

Di sini saya dibesarkan tetapi lebih uzur dari yg ini
Kami menumpang tinggal di sebuah kedai milik Bandaraya. Tiada bilik, tiada bilik air. Loteng kedai ditebuk menjadi tempat tidur beralaskan papan yang disusun menjadi lantai. Ia sangat panas waktu siang kerana bumbung zing yang dibakar matahari secara langsung tanpa ada apa-apa lapisan penahan panas. Tidur hanya boleh selepas malam berlabuh atas papan tidak bertilam dan waktu pagi apbila matahari sudah naik perlu cepat-cepat turun sebelum kepanasan.

Sekitar kawasan kediaman kami yang berhimpit-himpit itu dipenuhi sampah sarap termasuk jarum-jarum suntikan penagih dadah yang berselerakan di sana-sini. Waktu kecil pernah saya mengambil salah satu darinya untuk dijadikan mainan ‘doktor-doktor’ tanpa mengetahui jarum apa sebenarnya.
pondok kami diceruk paling belakang

Tidak ada paip air tersedia apalagi bilik air dalam rumah seperti orang lain. Air keperluan memasak terpaksa diambil dengan baldi dari bilik air awam yang dikongsi dengan berpuluh-puluh keluarga lain. Usah ditanya bagaimana rupanya bilik air awam ditengah kediaman setinggan yang tidak ada penjagaan. Demi mencari ‘privacy’, maka waktu malamlah jadi pilihan ibu untuk menguruskan diri dan mencuci pakaian di bilik air itu.

Semasa melatih diri di zaman awal remaja untuk solat tahajjud saya membawa air dan disimpan baik-baik untuk wudhu tengah malam. Dalam kepala terbayang betapa senangnya orang kaya untuk bertahajjud dengan adanya bilik air sendiri.

Pada waktu itu dalam pandangan anak kecil ini orang yang ada rumah itu adalah orang kaya. Orang yang ada radio itu orang kaya. Orang yang ada tv lagi kaya dan orang yang ada kereta itu teramat kaya kerana kami tidak memilikki semua itu.

Sehingga ke hari ini saya masih menyesal menanyakan soalan itu pada ayah. Sejak itu saya berjanji dalam hati tidak akan menanyakan soalan itu lagi dan bertekad akan membeli sendiri rumah dan membawa ibu dan ayah tinggal bersama apabila saya besar nanti.

Saya akan pastikan ayah dan ibu tidak perlu lagi pergi ke bilik air awam atau mengangkat air pulang dengan baldi setiap hari. Mereka akan mandi sepuas-puasnya bila-bila masa mereka suka tanpa memikirkan waktu siang atau malam dan ‘privacy’ mereka terjamin tanpa gangguan. Ibu tidak perlu membawa air ke rumah untuk wudhu’ solat tahajjud.

Bunga dari kulit kerang, bunga dari beg plastik

Biasanya selepas pulang sekolah dan selesai solat zohor saya akan duduk memotong beg-beg plastik dan menggubahnya menjadi bunga untuk dijual. Orang membeli mungkin kerana kasihan melihat tangan kecil saya menyusun bunga-bunga itu.

Dalam hati saya kadang-kadang bertanya bagaimanakah agaknya rasanya pulang sekolah dapat bermain sepuas-puasnya tanpa perlu mencari duit untuk membantu keluarga.

Di celah2 kedai ada kulit kerang yg dibuang.
Sewaktu ayah terbongkok-bongkok mengutip kulit kerang yang dibuang di belakang restoran, orang memandang hairan apalah yang dilakukan ayah. Kulit kerang itu juga menjadi sumber pendapatan kami. Saya dan ayah mencuci kulit kerang kemudian dikeringkan, dicat dan saya menggubahnya menjadi bunga untuk dijual di pasar malam. Kata ayah saya ada tangan seni macam beliau.

Hidup dalam banjir

Setiap kali hujan turun kediaman kami akan dilanda banjir kilat. Saya akan disuruh ayah duduk di atas meja menyiapkan kerja sekolah sedangkan ayah dan ibu bertungkus-lumus membersihkan tempat tinggal kami dari air banjir. Pada tahun 1971, banjir besar melanda Kuala Lumpur, tempat tinggal kami tenggelam hingga tinggal bumbung. Semasa air masih pada paras dada, Ayah mengikat beberapa papan dijadikan rakit untuk menyelamatkan kami. Dengan penuh kasih sayang ayah mengharung banjir menolak rakit yang saya naiki dengan ibu sehingga ke tempat selamat. Masih terbayang bagaimana ayah menggigil kesejukan demi keluarga tercinta. Seluruh lukisan dan barang-barang jualannya habis dihanyutkan banjir dan kami hanya tinggal sehelai sepinggang selepas itu.

Ramai orang datang melihat kami mangsa banjir seperti melihat bahan pameran. Mereka cuma berkata "Kasihannya".

Dalam hati saya berkata kalaulah saya kaya macam mereka saya tidak akan menyebut "kasihannya" di depan orang miskin macam kami.

Masa berlalu dengan pantas. Kegigihan ayah memastikan saya belajar dengan baik supaya berjaya masuk ke universiti tidak dapat saya gambarkan dengan tulisan. Masih terbayang bagaimana airmata gembira ayah berguguran melihat keputusan MCE saya. Dia sendiri yang pergi mengambilnya di sekolah. Sebulan kemudian airmatanya berguguran lagi ketika saya mendapat tawaran belajar ke luar negara. 

Ayah kelihatan susah hati dengan tawaran itu. Demi kasih pada ayah saya katakan pada ayah saya akan belajar di Malaysia saja, di Universiti Malaya seperti kakak. Saya tahu ayah tidak sanggup berpisah dengan anaknya lagi. Ayah tersenyum. Senyuman bangga seorang ayah yang bertungkus-lumus menyelamatkan kehidupan anaknya ditengah-tengah masyarakat Kampung Baru yang bergelumang dengan najis dadah akhirnya berjaya mencapai impiannya.

Saya terus meniti kehidupan dengan restu ayah dan bonda. Di tengah-tengah pentas pengajian mencapaikan hajat ayah untuk anaknya menjadi doktor, tiba-tiba ribut melanda...tiada lagi upaya. Pertembungan cinta, cita-cita dan kekecewaan menyelubungi kehidupan anak gadis yang masih belajar tentang kehidupan.  Harapan ayah kecundang. Saya hanya mampu menjadi graduan dalam genetik. Maafkan anakmu, ayah. 

Ayah tetap dengan kasih sayangnya mengunjungi saya di kampus kalau saya tidak pulang ke rumah. Ibu akan membekalkan tempe goreng kegemaran saya.

Tibalah pula masa anaknya mendapat jodoh. Saya masih ingat perubahan wajah ayah selepas saya dinikahkan, wajah yang gemibira tetapi cemas kehilangan kasih anak kesayangannya. Syukurlah suami akur dan setuju dengan syarat yang saya berikan semasa menerima lamarannya untuk mengizinkan saya menjaga kedua ibubapa saya buat selamanya.

Selepas beberapa tahun impian saya  menjadi kenyataan dan tekad saya sudah mencapai puncaknya. Sebuah rumah yang ada bilik khas untuk kedua mereka sebagaimana yang saya impikan sudahpun terbina. Tapi sayangnya ayah menemui Allah lebih awal sebelum beliau sempat melabuhkan tapak kakinya di rumah itu.

Sudah lapan belas tahun Ayah hilang dari mata, namun pengajaran hidup bersama beliau tidak mungkin hilang buat selamanya.

Ayah dan ibu mengajar saya tentang erti setia dan kasih sayang tidak bersyarat yang perlu ada dalam keluarga.
Ayah mengajar saya erti sabar dalam kekurangan, menghargai nikmat Allah walau sekecil apapun.
Ayah mengajar saya bahawa impian yang benar itu tidak mustahil dicapai.
Ayah mengajar saya jangan lupa diri kerana semua yang ada itu hanya milik Allah.
Ayah mengajar saya bahawa nasib malang itu bukan untuk ditangisi berhiba-hiba tetapi untuk dijadikan pemangkin bagi mencapai kejayaan yang lebih bermakna.
Ayah dan ibu meyakinkan saya di setiap kesulitan itu pasti ada kesenangan.
Peritnya kehidupan mengajar saya
yang miskin jangan dihina yang kaya usah disanjung, yang berkuasa usah dijulang.
Kisah suka-duka bersama ayah mengingatkan saya jangan biarkan masa berlalu tanpa berbakti pada orang tua, takut nanti tidak sempat melakukannya dan Allah memanggilnya ditengah kelalaian kita.

2 comments

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai