Bezanya, menantu saya mempunyai suara yang merdu dan seorang hafiz. Setiap petang sambil menunggu waktu untuk ke surau, Aufa akan didudukkan di ribanya. Tangan kiri si ayah memeluk Aufa dan tangan kanan memegang Qur'an. Aufa duduk dengan tenang sambil meraba2 Quran kecil yang dipegang ayahnya. Apabila azan berkumandang, Aufa akan beralih kepada uminya kerana ayahnya akan ke surau mengimami jemaah Taman Permai Jaya. Sejak dalam kandungan lagi Aufa mendengar alunan Qur'an dari ayahnya sendiri.
Sebutan yang sering saya bisikkan ke telinga anak sewaktu mereka masih bayi ialah kalimah "Lailahaillallah" dan "Bismillahirahmanirrahim".
Kedua-dua kalimah itu adalah kalimah istimewa. Di dalamnya tersimpan sumber kekuatan jiwa yang sangat hebat kesannya.
Walaupun si anak masih belum mengerti, namun ibubapa meletakkan harapan agar dengan hatinya yang sebersih kain putih itu dapat merasakan dia ada Tuhan bernama Allah. Tuhannya penuh dengan kasih sayang sentiasa memperhatikannya di mana saja dia berada.
Kalimah2 suci anugerah Allah itu diulang2 sewaktu mendakapnya dengan harapan bahawa dia tahu Allah juga mengurniakannya ibubapa yang dibekalkan oleh Tuhannya dengan kasih sayang. Kasih sayang itulah membuat dia merasa aman dan terlindung.
Apabila anak belajar bercakap pertanyaan yang pertama saya ajarkan ialah, "Siapa nama Tuhan?"
Si anak menjawab, "Allah."
"Bagus anak ibu.....muah, muah.!! " Anak dipeluk lagi dengan kucupan sayang dan doa agar ia menjadi anak yang soleh atau solehah.
Apabila dia mula pandai menyanyi diajar pula lagu
Satu-satu adik sayang Allah
Dua-dua sayang Rasulullah
Tiga-tiga sayang ibu abah
Satu dua tiga sayang semuanya
Nyanyian dan zikir2 itu menjadi halwa telinga anak sepanjang masa.
Tiga perkara penting mendidik anak ialah untuk menanamkan
1. Jiwa ber Tuhan
2. Jiwa bermasyarakat
3. Jiwa berkeluarga
Walaupun rasa ada Tuhan adalah fitrah semulajadi setiap manusia, namun semakin anak dewasa ia boleh saja tenggelam sekiranya tidak disuburkan. Jiwa berTuhan itulah menentukan baik atau tidak baiknya dia apabila dewasa nanti. Anak yang tahu Tuhan itu tempat berlindung, Tuhan itu penyayang dan akan memberi apabila diminta dan Tuhan juga akan menghukum apabila manusia berbuat jahat akan merasa bahawa setiap perbuatannya akan menerima balasan atau ganjaran dari Tuhan.
Tugas ibubapalah yang mengajar anak itu bahawa Tuhan itu adalah Allah dan Allah sentiasa mendengar dan melihat penuh kasih sayang kepada kita. Ibubapalah yang memberitahu anak segala yang disuruh dan dilarang oleh Tuhan.
Rata2 kaum ibu berusaha sepenuhnya untuk memberi yang terbaik untuk anak. Sudah menjadi kebiasaan orang Melayu membacakan ayat Al-Qur'an ke dalam air minum anak ..... home-made oleh ibu yang menyayanginya. Kita yakin bahawa doa dan usaha ibu yang mengandungkan si anak akan lebih dimakbulkan Allah.
Namun setelah anak itu mula remaja, hati kita mula mudah terusik apabila si anak mula menunjukkan cita rasanya sendiri yang kadangkala bertentangan dengan citarsa kita. Hati siibu akan mudah terguris. Kalau masa dia kecil dulu, walaupun air kencingnya terpercik ke muka kita, sedikitpun kita tidak merasa marah. Tetapi kenapa setelah anak itu mula besar, kita terlalu mudah menyimpan gurisan hati dan sukar memaafkan si anak. Akhirnya tanpa kita sedari, usaha kita semasa dia kecil dulu terhenti dan kasih sayang ditukar dengan dendam, seolah2 kita lupa bahawa itu adalah anak yang pernah kita belai dahulu.
Saya dapati banyak masalah hubungan antara ibu dan anak berlaku apabila proses menanamkan jiwa beragama kepada anak terhenti disebabkan perubahan sikap anak yang mula mencari identitinya. Jurang komunikasi mula terbina. Kebiasaan orang Melayu, mereka berhenti memeluk dan membelai anak apabila anak mula membesar.
Kalau masa dia kecil dahulu kita menyebut namanya dengan penuh kelembutan apabila bercakap. Tetapi apabila dia membesar ia ditukar kepada 'engkau' dan 'kamu' yang agak kasar bunyinya.
Kenapa perlu merasa janggal membelai anak yang sedang tidur dengan zikir seperti masa mereka bayi dahulu?
Kenapa kita keberatan membacakan ayat2 suci ke ubunnya2 agar jiwa berTuhan itu terus subur dalam dirinya?
Kebiasaan orang Melayu juga melepaskan tanggungjawab mendidik anak kepada guru2 dan ustaz2 tanpa mengetahui bahawa ibubapa sebenarnya mempunyai kekuatan yang lebih hebat untuk membawa anak ke jalan yang benar asal saja mereka sedia berkorban.
Berkorban masa, tenaga, waktu, wang ringgit dan kesenangan demi untuk mencari ilmu dan kemahiran mendidik anak secara berkesan.
Kalau kita selidik kembali sejauh mana sebenarnya usaha kita untuk menanamkan jiwa beragama kepada anak, kita akan dapati banyak yang patut kita lakukan untuk anak, tetapi kita gagal melakukannya sehinggalah adakalanya kita menyedari bahawa segalanya sudah terlambat.