Archive for October 2011

Bibik oh Bibik


posted by Martinelli Hashim

No comments


Sering kita mendengar rungutan begini, "Sudah hampir 20 orang pembantu rumah yang saya dah ambil. Tidak seorang pun yang boleh diharapkan. Semuanya menyakitkan hati."
Rungutan biasa kaum ibu yang mengambil pembantu rumah. Isu yang tidak berkesudahan tetapi perlu dihadapi. 
Isu ini terlalu jarang dibincangkan secara bernas mungkin kerana yang boleh berbincang secara bernas itu hanyalah majikan sedangkan pembantu cuma mampu bersungut sesama mereka.
Sedikit perkongsian peribadi yang mungkin boleh dibincangkan lagi.
Pertama kali saya mengambil pembantu rumah adalah 25 tahun yang lalu sewaktu anak saya masih 2 orang. Suprana seorang wanita yang sudah agak berumur, punya suami di Malang, Indonesia, bekerja dengan saya tanpa kemahiran memasak atau berkemas mengikut selera kita. Sifat wara'nya membuat saya yakin dia boleh menjaga anak-anak saya dengan baik. Saya memanggilnya Kak Ana dan dia memanggil saya Dik Neli. Beliau minta berhenti apabila mendapat berita suaminya meninggal di kampung. Dia menangis terisak-isak semasa berpisah kerana sedih meninggalkan kami.
Kemudian saya mendapat Kak Zarah, juga sudah berumur, punya cucu, merasakan dirinya bukan pembantu malah boleh memarahi saya apabila tidak betul menjaga badan semasa dalam pantang. Kebersihan dan kemahiran memasaknya membuat saya suka dengannya. Beliau berhenti selepas 10 tahun berkhidmat kerana sudah makin uzur dan ingin menjaga cucu sendiri.
Sekarang saya punya pembantu bernama Ati yang juga sudah punya 3 cucu dan suami di Indonesia. Sudah 14 tahun berkhidmat dengan kami. Memandangkan sudah terlalu lama bekerja, saya  menasihatkannya supaya berhenti dan menguruskan suaminya yang semakin tua di kampung. Namun dia merayu  terus bekerja.


Kalau disenaraikan perkara yang tidak saya sukai tentang mereka, rasanya sama saja dengan orang lain, sangat banyak dan tidak tertuliskan. 


Kesemua pembantu saya akan pulang berhari raya selama sebulan setiap tahun. Mereka bebas berjalan ke bandar atau bershopping apabila perlu. 


Saya rasakan kita punya 3 pilihan samada untuk 


1.  membantu mereka berubah atau 
 2. membiarkan saja sikap mereka ataupun
3.  memberhentikan mereka dan mencari yang lain. 


Meninjau cara-cara Rasulullah (saw)  melayan pembantunya.


Rasulullah saw membuat pilihan membantu pembantu berubah melalui bimbingan baginda yang mulia sehingga kesemua pembantu baginda menjadi ahli hadiths. Baginda tidak membuat pilihan kedua atau ketiga.


1. Abdullah bin Mas'ud
Abdullah bin Mas’ud yang dikenal sering membawakan sandal Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam. Jika beliau hendak pergi Abdullah membantu mengenakannya, bila beliau duduk Abdullah memegang di tangannya hingga beliau akan beranjak pergi. Walaupun sebagai pembawa sandal, tetapi Rasullah melatihnya menjadi pakar hadith.


2. Anas bin Malik


Berkata Anas bin Malik RA:
"Saya telah menjadi khadam Rasulullah SAW 10 tahun lamanya. Maka tidak pernah baginda berkata atas barang yang saya kerjakan: "Mengapa engkau kerjakan?" Mengapa tidak engkau kerjakan?". Tidak pernah pula baginda berkata pada barang yang tidak ada: "Alangkah baiknya kalau barang itu ada". Kalau pada suatu ketika terjadi perselisihan saya dengan ahlinya, dia berkata kepada ahlinya itu. "Biarlah sebab apa yang telah ditakdirkan Allah mesti terjadi."


Apabila difikirkan, banyak perkara yang boleh dijadikan pertimbangan tentang kerenah pembantu rumah 
  • Mereka dari kampung yang sangat 'hulu', tidak pernah diberi latihan pengurusan rumah, tidak berpelajaran tinggi, mempunyai pergaulan dan minda yang terbatas, maka sudah tentu tidak mampu memenuhi semua yang kita mahu.
  • Kedatangan mereka ke Malaysia meninggalkan suami dan anak-anak, sudah tentu sedikit sebanyak mempunyai tekanan perasan tersendiri melihat kita hidup bekeluarga dengan sempurna.
  • Mereka adalah wanita biasa, punya keinginan untuk memiliki barang-barang sudah tentu ingin merasa membeli-belah mengikut kehendak sendiri.
  • Mereka adalah manusia biasa inginkan kebebasan dan punya teman-teman, maka membiarkan mereka terkurung di rumah terlalu lama akan memberi tekanan yang membahayakan
  • Mereka punya sifat memberontak samada dalam diam atau dinyatakan, sudah tentu kita perlu membantunya menyalurkan rasa tidak puas hati secara yang benar.
  • Sebagaimana mereka, kita bukanlah manusia sempurna tanpa ada cacat dan cela. Mengakui kesalahan dan kekurangan diri di depan pembantu dan memohon maaf kepadanya sudah tentu mencalar ego. Sedangkan itu mungkin saja tauladan yang baik untuk mereka.

Mereka sentiasa untung kita yang selalu rugi


posted by Martinelli Hashim

No comments



Amat mengkagumkan, di Malaysia orang bukan Islam amat mudah bersatu. Hanya dengan satu isu bukan Melayu boleh bersatu mencapai apa yang mereka mahu.

Isu sebuah perkataan yang tidak disukai kaum India di dalam buku sekolah membuat semua kaum India dari pelbagai parti bangun bersatu mendesak kerajaan untuk bertindak dan mereka berjaya mendapat apa yang mereka mahu.

Isu  ectasy di kalangan belia Cina, semua orang Cina bersatu membenterasnya sehingga mereka berjaya dalam masa yang pendek untuk menyelamatkan anak muda mereka.

Mereka sentiasa untung. Kita sentiasa rugi. Bagi mereka setiap isu adalah kesempatan untuk mendapat lebih lagi. Bagi kita setiap isu adalah kesempatan untuk membunuh saudara sendiri.

Bilalah lagi orang Melayu akan untung seperti mereka. Setiap kali timbul isu akan ada yang bakal hilang dari kita kerana orang lain cekap mengambil kesempatan.

Apa saja isu yang timbul hatta isu agama yang sepatutnya kita bersatu tetapi kita akan bertelagah dan masing-masing berebut menjadi juara. Sahabat seagama menjadi musuh untuk dikutuk, dicaci dan difitnah. Kita lupa pesan Rasulullah saw bahawa ummat Islam umpama satu badan, kalau satu anggota sakit maka seluruh badan akan merasa sakit.

Setiap kali perhimpunan agung parti politik Melayu akan kutuk mengutuk. Setiap kali pilihanraya Melayu akan tikam-menikam. Kita bukan ramai pun di bumi Malaysia ini. Tidak kasihankah kita suatu ketika nanti anak-anak kita tidak punya tempat yang selamat lagi untuk mereka hidup? Wahai pemimpin bersatulah.

Ayah jual saya


posted by Martinelli Hashim

3 comments


Entah kenapa bagai ada magnet, hati saya seolah-olah ditarik-tarik untuk mendekati anak kecil itu. Wajahnya cukup ceria. Tidak ada siapa yang dapat meneka kepahitan yang telah dilaluinya sejak lahir sehingga sekarang dalam usia 11 tahun.

Selesai menyatakan namanya, saya bertanya, "....bin?"

"Saya tak ada ayah. Orang kata ayah saya lari lepas jual saya masa saya umur 2 bulan. Mak angkat saya yang selamatkan saya. Mak saya dah meninggal." Patah-patah kata yang menggegarkan perasaan.

Amirul, remaja kecil yang sangat tabah walaupun hidup di rumah anak yatim tanpa ibubapa. Dia tidak bersekolah kerana tiada surat beranak dan kad pengenalan.

Matanya bersinar-sinar apabila bercakap, membayangkan dia seorang yang sangat cerdik. Kalaulah rumah anak yatim ini mampu mendidiknya dengan baik, insyaAllah akan lahirlah seorang pakar atau cendikiawan.

Namun di rumah anak yatim yang serba doif ini seolah-olah tidak memungkinkan dia mempunyai peluang untuk itu.

Amirul bukan saja tidak punya ibubapa tetapi dia juga tidak punya negara. Berada di Malaysia sebagai pelarian dan esok belum ada apa-apa kepastian untuknya.

Saya mengusap kepalanya sambil membisikkan, "Amirul budak yang hebat. Selalu minta pada Allah....Allah akan bagi yang terbaik untuk Amirul."

Saya senyum dalam kesayuan melihat Amirul berlari mendapatkan kawan-kawanya yang sedang bermain dengan gembira.


Kehebatan Ayat Kursiy


posted by Martinelli Hashim

No comments



Ayat Kursi.jpg



Sejenak mencari penawar hati di saat embun menitis.....bertemu dengan link ini tentang kehebatan Ayat Kursiy. Mari kongsi bersama.


Mahfum ayat:
Allah, tidak ada yang benar disembah hanya Dia yang Hidup dan Maha Kaya, tidak pernah ditimpa mengantuk dan tidak pernah tidor, bagin Nya sesuatu yang ada di langit dan di bumi, tidak ada yag boleh membri syafaat kecuali denga izin Nya. Ia maha mengetahui segala apa yang terjadi di hadapan mereka dan dibelakang mereka. Tidaklah mereka meliputi ilmunya sedikit jua kecuali yang dikehendakki Nya. Lebih luas kerusinya darilangit dam bumi. Tidak susah bagi Nya memelihara keduanya. Ia maha Tinggi dan maha Besar.


SEJARAH TURUNNYA AYAT
Ayat Kursi diturunkan pada suatu malam selepas Hijrah. Menurut riwayat, ketika ayat kursi diturunkan disertai dengan beribu-ribu malaikat sebagai penghantarnya, kerana kebesaran dan kemuliaannya.
Syaitan dan Iblis menjadi gempar kerana adanya suatu alamat yang menjadi perintang dalam perjuangan nya.
Rasulallah s.a.w segera memerintah kepada penulis alQuran iaitu Zaid bin Thabit agar segera menulisnya dan menyebarkannya.
Ada terdapat sembilan puluh lima buah hadis yang menjelaskan fazilat ayat kursi. Sebabnya ayat ini disebut ayat KURSI kerana di dalam nya terdapat perkataan KURSI, ertinya tempat duduk yang megah lagi yang mempunyai martabat.
Perlu di ingat, bukan yang di maksudkan dengan KURSI ini tempat duduk tuhan, tetapi adalah KURSI itu syiar atas kebesaran Tuhan.
Khasiat Ayat Kursi:
  1. Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan istikamah setiap kali selesai sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali masuk kerumah atau kepasar, setiap kali masuk ke tempat tidur dan musafir, insyaallah akan diamankan dari godaan syaitan dan kejahatan raja-raja (pemerintah) yang kejam, diselamatkan dari kejahatan manusia dan kejahatan binatang yang memudharatkan. Terpelihara dirinya dann keluarganya, anak-anak nya, hartanya, rumahnya dari kecurian, kebakaran dan kekaraman.
  2. Terdapat keterangan dalam kitab Assarul Mufidah, barang siapa yang mengamalkan membaca ayat kursi, setiap kali membaca sebanyak 18 kali, inyaallah ia akan hidup berjiwa tauhid, dibukakan dada dengan berbagai hikmat, dimudahkan rezekinya, dinaikkan martabatnya, diberikan kepadanya pengaruh sehingga orang selalu segan kepadanya, diperlihara dari segala bencana dengan izin Allah s.w.t.
  3. Salah seorang ulama Hindi mendengar dari salah seorang guru besarnya dari Abi Lababah r.a, membaca ayat Kursi sebanyak anggota sujud (7 kali) setiap hari ada benteng pertahanan Rasulallah s.a.w.
  4. Syeikh Abul ‘Abas alBunni menerangkan: “Sesiapa membaca ayat Kursi sebanyak hitungan kata-katanya (50 kali), di tiupkan pada air hujan kemudian diminumnya, maka inysyaallah tuhan mencerdaskan akalnya dan memudahkan faham pada pelajaran yang dipelajari.
  5. Sesiapa yang membaca ayat Kursi selepas sembahyang fardhu, Tuhan akan mengampunkan dosanya. Sesiapa yang membacanya ketika hendak tidur, terpelihara dari gangguan syaitan, dan sesiapa yang membacanya ketika ia marah, maka akan hilang rasa marahnya.
  6. Syeikh alBuni menerangkan: Sesiapa yang membaca ayat Kursi sebanyak hitungan hurufnya (170 huruf), maka insyaallah, Tuhan akan memberi pertolongan dalam segala hal dan menunaikan segala hajatnya, dam melapangkan fikiranyan, diluluskan rezekinya, dihilangkan kedukaannya dan diberikan apa yang dituntutnya.
  7. Barang siapa membaca ayat Kursi ketika hendak tidur, maka Tuhan mewakilkan dua malaikat yang menjaga selama tidurnya sampai pagi.
  8. Abdurahman bin Auf menerangkan bahawa, ia apabila masuk kerumahnya dibaca ayat Kursi pada empat penjuru rumahnya dan mengharapkan dengan itu menjadi penjaga dan pelindung syaitan.
  9. Syeikh Buni menerangkan: sesiapa yang takut terhadap serangan musuh hendaklah ia membuat garis lingkaran denga nisyarat nafas sambil membaca ayat Kuris. Kemudian ia masuk bersama jamaahnya kedalam garis lingkaran tersebut menghadap kearah musuh, sambil membaca ayat Kursi sebayak 50 kali, atau sebanayk 170 kali, insyaallah musuh tidak akan melihatnya dan tidak akan memudharatkannya.
  10. Syeikul Kabir Muhyiddin Ibnul Arabi menerangkan bahawa; sesiapa yang membaca ayat Kursi sebayak 1000 kali dalam sehari semalam selama 40 hari, maka demi Allah, demi Rasul, demi alQuran yang mulia, Tuhan akan membukakan baginya pandangan rohani, dihasilkan yang dimaksud dan diberi pengaruh kepada manusia. (dari kitab Khawasul Qur’an)

Di medan jihad ini


posted by Martinelli Hashim

2 comments


Rasa terharu melihat masih ramai mahasiswa berjiwa emas, sanggup mengorbankan masa untuk melakukan kerja-kerja kebajikan dan dakwah. MasyaAllah.

Dalam sesi bersama sekumpulan mahasiswa  dari Kelab JKQ malam tadi, saya katakan kepada mereka,
·  Lakukan yang terbaik apabila menerima amanah. Usah sia-siakan amanah sebagai pelajar dan usah sia-siakan amanah sebagai ummat Muhammad saw. Bantu mereka yang memerlukan kerana mereka juga ada hak atas kita. 

· Medan jihad kita adalah di sini dan ketika ini. Medan juang mempertahankan  aqidah nak-anak muda di luar sana yang sedang berada diambang kehancuran. Turunlah ke medan ini dan selamatkan mereka. Kalau bukan kita siapa lagi. 

·        Usah terkilan melihat mereka yang sibuk berseronok menikmati habuan dunia sedangkan kita sibuk meniti keperitan membanting tulang membantu orang lain. Pengorbanan masa, tenaga dan nikmat dunia demi agama bukan sedikit ganjarannya dari Allah. Di padang masyar nanti akan ada sekumpulan manusia yang sedang bersenang-lenang pada saat orang lain  sibuk mencari perlindungan dari huru-hara masyar. Mereka adalah orang-orang yang semasa di dunia sibuk  membantu orang lain  pada masa orang lain sibuk mencari nikmat dunia. Moga kita layak berada dalam kumpulan itu. 

·   Ummah memerlukan pemuda yang punya semangat tinggi untuk jadi jurubicara mereka dan membawa obor perubahan.  

·        Masa untuk menabur budi adalah pada semasa badan masih sihat, tenaga masih kuat, masa masih lapang.....masa itu adalah sekarang, bukan besok atau lusa menunggu ilmu penuh di dada atau masa yang lebih lapang. 

·     Orang paling banyak masa adalah orang yang paling sibuk melakukan kerja-kerja kebajikan. Usah menunggu masa lapang datang menggolek kerana masa itu terus berlari dan kita tidak akan mampu mengejarnya. Sedikit masa lapang yang singgah dalam hidup kita pergunakan sebaiknya supaya dia singgah lagi lebih kerap. 

·        Waktu kita lahir kita diazan/diiqamatkan. Apabila mati kita disolatkan. Hidup kita hanyalah sependek antara azan/iqamat dan solat. Begitu pendek untuk disia-siakan sedangkan tempoh masa yang pendek di dunia inilah penentu nasib kita di akhirat yang masanya tidak berpenghujung. 

·        Jagalah solat kerana itu adalah sebaik disiplin diri dalam menguruskan masa dan diri. Solat adalah kunci kepada kejayaan yang punya barakah. Solat penguat jiwa dan badan orang berjuang. Orang yang solat diawal waktu akan merasa nikmat seolah-olah diberi tambahan masa oleh Allah. 

·     Jagalah al-Quran sementara semasa kita masih memilikinya. Al-quran milik Allah yang dipinjamkan. Sampai masanya ia akan diangkat ke langit dan kita tidak mampu menariknya semula. Tanamkan kitab suci ini di dada anak-anak muda kerana ia adalah benteng paling kukuh bagi mempertahankan dari keganasan dunia."
Sesi berakhir selepas 11 mlm dan diteruskan dengan perbincangan merangka projek baru...."QUR'ANIC MENTORING" oleh kelab JKQ untuk remaja di perumahan guru dan perumahan polis. Doakan mereka berjaya.

Sebagai mujahid mereka akur,  medan ini tidak menjanjikan jalan yang mudah atau ganjaran dunia. Medan ini hanya layak untuk mereka yang meletakkan diri mereka sentiasa dalam genggaman Allah. Mereka punya hati dan jiwa yang bersih dari sebarang penyakit yang merendahkan martabat insani. Tiada tamak, tiada dengki dan tiada iri hati. Yang dibangun adalah ummatic victory , yang dicari adalah redha Ilahi. Bukan kepentingan peribadi, bukan pula untuk kumpulan sendiri. Tidak takut dan tidak taasub kepada sesiapa kerana mereka tahu itu bukan yang diajar Rasulullah saw.

Di medan jihad ini adakalanya mereka akan kesunyian dari kawan-kawan. Adakalanya rakan-rakan seperjuangan mengundur diri meninggalkan mereka terkapai-kapai di tengah jalan. Mereka akur itu adalah proses tarbiyyah yang tinggi nilainya. Kesunyian dari manusia adalah untuk memberi ruang buat mujahid mendekatkan diri  kepada Rabbujalil, Kekasih yang sangat agung cintaNya.

Di medan ini kita akan merasa nikmat yang tidak terucap dengan kata-kata. Badan mungkin letih, saku mungkin tipis, namun di hujungnya nanti mujahid akan tersenyum bangga melihat tapak-tapak yang sudah ditinggalkan dan budi yang sudah ditaburkan. Tiada sijil tiada anugerah. Yang pasti semua akan tercatit di buku agung yang bakal diserahkan sebagai bukti di Mahkamah Allah nanti.