بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
|
Tempat yg saya sayangi, Masjid UIA |
Pada siangnya dalam khutbah sudah disebutkan malam nanti akan diadakan Qiyamulail perdana di masjid UIA Gombak. Khutbah yang padat tentang beban amanah setiap mukmin yang sedang dipikul menuju ke destinasi abadi untuk dipersembahkan kepada Yang Maha Adil nanti. Khatib yang saya sukai, Dr. Akmal Khuzairy.
Malam bermula dengan solat maghrib, disambung dengan tazkirah dan isya’ bersama, melupakan seketika tugas rasmi di universiti tercinta. Pangkat dan kuasa diletakkan di kaki ... setiap yang datang hanya menghadapkan diri kepada Ilahi. .......... terasa hening seketika apabila lampu dipadam dan al-Qur’an dibacakan.
Ucapan dari Datuk Seri Rektor, “ .....let’s improve from better to the best.....inculcate the spirit of caring for the less fortunates... see the sufferings of others....” Kata-kata dari lubuk hati seorang ketua yang penuh dengan kesungguhan dalam mewujudkan budaya UIA sebagai ‘the caring community’.
Saya meletakkan sanjungan tersendiri ke atas Rektor. Seorang yang amat sederhana tidak retorik, tidak banyak berbicara, tidak disanjung-sanjung, tidak ditaksubi oleh sesiapa, dan tidak membuat pegawai yang tidak ada Dr. di depan nama merasa terpinggir atau direndahkan.
Jam 4 pagi para jamaah yang beri’tiqaf sejak senja, dialunkan dengan zikir merdu pegawai masjid. Solat tahajjud berjamaah dengan bacaan ayat yang panjang dalam setiap rakaat. Ayat2 dari surah al-Rahman yang dialunkan pada rakaat kedua mengetuk pintu hati, mengalirkan air jernih di pipi para jamaah....
فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ
”Maka nikmat Allah yang manakah yang kamu hendak nafikan lagi........”
Hati menjawab, “Tidak ada, ya Allah, tidak mampu kami menafikan walau sebesar zarah.”
Selesai salam, al-Qur’an ditadabburkan. Keheningan yang mencengkam. Para jemaah tunduk terpaku.
Dalam witir doa untuk ummat yang terancam tidak dilupakan,
Suasana indah begini tersedia buat warga UIA. Budaya menghidupkan malam, budaya yang semakin berkurangan ini cuba dikembalikan. Masih ramai yang belum mengambil peluang dan saf yang ada tidak mencapai sasaran.
Dalam hati saya terlintas, alangkah hebatnya UIA sekiranya majlis seperti ini dihadiri oleh warganya memenuhi seluruh ruang masjid yang boleh mengisi 9000 orang ini. Alangkah besarnya kesan keatas universiti apabila majlis begini dijadikan sebagai pentas penghayatan ibadah, pembersihan jiwa dan penyatuan hati-hati membina ukhwah. Sekiranya ia berlaku tidak akan timbul lagi tuduh menuduh antara ahli kademik dan pentadbir, antara jabatan dan jabatan, atau antara ketua dengan kakitangan. Tidak berpuak-puak dan bekerja dengan tenang dan sabar.
UIA tidak mungkin mampu mencapai misinya....misi yang begitu hebat kecuali kalau warganya kuat beribadah dan sanggup meletakkan ke tepi kepentingan peribadi atau kumpulan sendiri bagi membina ukhwah yang kukuh.
Dalam hening subuh saya bertanya sendiri,
“Kalau bukan pembesar UIA, para kakitangan dan pelajar menghidupkan budaya ini, siapa lagi yang kita harapkan..?”
“Kalau bukan budaya ini yang diagungkan, budaya apa lagi yang dapat membina generasi rabbani?”
“Kalau bukan kita yang bekerja keras menjadikan UIA gagah dan Islamic, siapa lagi ?”
“Kalau bukan UIA yang menjadi model universiti penghasil jurubicara ummah, siapa lagi?”
“Kalau bukan warga UIA yang menjadi model kekuatan ukhwah, membuang sengketa, menyatu bicara, siapa lagi?”
“Ya Allah. Kami memikul amanah yang berat ini. Kurniakanlah kami hati-hati yang teguh bersatu tanpa sengketa. Bekerja seikhlasnya. Kurniakan kami pemimpin yang soleh dan bijaksana membawa universiti ini ke puncak jaya. Teguhkanlah iman kami dan tingkatkanlah ibadah kami agar kami menjadi insan-insan soleh dan solehah yang berjuang menyelamatkan ummah.
Ya Allah, bantulah kami agar kami mampu mendidik dengan sempurna. Jadikanlah anak-anak didik lami menjadi insan soleh dan solehah yang penuh berilmu dan berpekerti mulia.Bantulah kami menarik saudara-saudara kami mendekatkan diri padaMu ya Rabbi.Selamatkan diri kami, keluarga kami, saudara kami dari fitnah dunia dan bencana yang tidak mampu kami menanggungnya.....AMIN....AMIN ...PERKENANKANLAH YA ALLAH RABUL ‘ALAMIN.”
Selesai tazkirah subuh......bersama-sama berjalan kaki mengelilingi tasik .....dalam pakaian solat menikmati keindahan alam ciptaan Allah yang dikurniakan pada UIA.....SUBHANALLAH.”
Alhamdulillah ..... syukur atas kurniaan Allah yang memberi kita peluang berada dalam kelompok ini.
Bukan sedikit di antara kita sedar dan merasa wajah suci dan budaya murni UIA perlu dipertahankan demi ummah. Namun bukan sedikit pula di kalangan kita yang memilih untuk berada sekadar di pinggiran.
Bukan terlalu besar sumbangan yang diperlukan dan bukan terlalu banyak masa perlu dikorbankan. Sedikit sumbangan tenaga boleh menggerakkan segunung kekuatan. Sedikit sumbangan fikiran akan melonjakkan selangit kejyaan. Sedikit sumbangan masa akan mengundang seribu keberkatan.
Kalau bukan kita, warga universiti tercinta ini melakukannya, siapa lagi?
Pandangan peribadi
alhamdulillah