Laungan Azan di Rumah Panjang


posted by Martinelli Hashim

No comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ   



Daawah ke Simunji, Sarawak
Laungan azan oleh ustaz Sabri dalam kesejukan pagi di rumah panjang pagi itu cukup syahdu apabila ia diterjemahkan di dalam hati. Allah Maha Besar. Aku naik saksi tiada tuhan melainkan Allah.........

Saya mengambil lampu pelita untuk pergi mengambil wudhu di luar rumah panjang. Hampir saja saya terjatuh ke dalam parit dalam samar2 lampu yang separuh terang itu.

Selesai solat, ustaz mengajak jemaah yang terdiri dari saudara baru kaum Iban yang tinggal di rumah panjang dan pelajar2 UIA untuk sama2 melagukan zikir memuji Allah. Kata orang hati orang2 di kepulauan Melayu ini adalah lembut, oleh itu pendekatan da'wah secara lembut sebegini amat berkesan.

Sewaktu bersalaman dengan kaum wanita Iban selepas solat, saya dapat melihat wajah2 bersih mereka yang penuh dengan senyuman. Sambil bersalam kami berdakapan bagi mengeratkan lagi rasa persaudaraan. Kami dimaklumkan mereka amatlah pemalu dengan orang luar. Kita perlu menunjukkan kemesraan yang terbaik untuk mendekati mereka. Kami juga dimaklumkan mereka juga punya banyak pantang larang dan akan tersinggung kalau tidak berhati2 dalam setiap langkah. Demi misi suci ini kami mengikut saja.

Saya bersama 20 orang pelajar dari Kelab MISI UIA sedang menggerakkan aktiviti da'wah ke masayarakat Iban di kawasan Simunjan Sarawak dengan bantuan Urusetia Saudara Kita, USK, sebuah NGO yang aktif berdakwah ke kawasan peadalaman. Bersama saya juga ustaz Zunaidin atau yang dikenali sebagai 'Yang Mulia' yang turut mengiringi pelajar sepanjang program dan sdr Faris dari PTS Publication yang sedang mengusahakan terjemahan Al-Qur'an ke bahasa Iban.

Perjalanan ke Kg. Gayau, Simunjan, Sarawak amatlah mencabar. Ia berada jauh di pedalaman yang tidak boleh dimasukki menggunakan kenderaan biasa kecuali pacuan 4 roda. Jalan yang berbukit2 membuatkan kami merasa seperti menaiki kuda.

Ustaz Sabri memberikan saya buah tunjuk langit untuk dimakan bagi menambah ketahanan badan. Alhamdulillah, pengalaman lasak dalam CENSERVE selama ini banyak membantu saya. Terkenang kembali peristiwa tercampak di jurang semasa menyertai aktiviti 'white water rafting' di Sg Sedim 5 tahun lepas. Pernah juga merasa dilambung ombak menaiki bot di Selat Melaka sewaktu tsunami melanda.

Kami menyeberangi sungai melintasi jembatan kayu. Dikatakan sungai ini kadang2 ada buaya. ....berdebar juga rasa hati.

Bermalam di rumah panjang suku Iban buat pertama kali, kenangan yang tidak akan dilupakan. Ada 8 keluarga saudara baru mendudukinya. Mereka gembira dalam agama ini kerana kata mereka ajarannya lebih mudah. Mereka memerlukan tunjuk ajar agama. Selama tiga hari di kampung ini, pelajar2 UIA dari kelab MISI akan membantu mereka dengan aktiviti yang sudah dirancang dengan harapan keimanan mereka akan semakin kukuh. Selepas 3 hari, para pelajar ini akan dipecahkan pula ke dua buah lagi kampung untuk tujuan yang sama .

Seramai 20 orang ahli Kelab Misi, CENSERVE, berjaya melaksanakan perancangan mereka untuk berdakwah kepada masyarakat Iban selepas kejayaan mereka berdakwah di Pulau Mabul sebelum ini. Saya kagumi usaha mereka dan berdoa usaha itu tidak akan terhenti di situ saja.

Kampung Gayau terpaksa saya tinggalkan untuk pulang ke Semenanjung bagi meneruskan tugas2 yang sedang menanti. Dalam perjalanan pulang, ditakdirkan air sungai tinggi dan deras. Jembatan untuk menyeberang sudah tenggelam. Sebuah lori membawa muatan besi terperangkap di tengah jembatan. Kami solat dua rakaat memohon kepada Allah satunya2 pergantungan kami di saat cemas begini. Doa kami dimakbulkan Allah. Selepas beberapa jam kemudian air mula surut dan lori dapat dikeluarkan. Dengan penuh tawakal pemandu pacuan roda kami merempuh air yang masih menenggelamkan jambatan dan kami selamat ke seberang. Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga.

Saya tidak dapat bayangkan bagaimana agaknya para da'ie dari USK menempuh semua ini sepanjang masa. Ratusan kampung y mereka ziarahi mengembangkan ajaran suci tanpa penat dan jemu. Hampir kesemua mereka adalah saudara baru yang merasa nikmat Islam ini perlu disebarkan dengan gigih. Mereka menempuh segala kepayahan dalam berda'wah. Sedangkan kita yang lahir dari keluarga Islam hanya mampu melihat dari jauh. Kita punya kehidupan, mereka juga punya kehidupan. Kita punya keluaraga, mereka juga punya keluarga. Bezanya antara mereka dan kita adalah mereka punya tawakal yang tinggi, meletakkan segalanya pada Allah dan mengenepikan kemewahan duniawi.

Saya merasa terharu melihat bagaimana mereka disambut mesra oleh penduduk rumah panjang tanda sayang mereka kepada para da'ie ini yang selalu memberi mereka perangsang tentang hidup beriman.

Penghormatan sangat tinggi kepada Puan Nurul dan Puan Rasyidah dua orang wanita bersemangat waja dari suku kaum Bidayuh dan Iban yang memeluk Islam semasa di Universiti. Setelah tamat pengajian terus berkecimpung di bidang da'wah. Ustaz Sabri dari Terengganu meninggalkan jawatan dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) dan menetap di Sarawak untuk berda'wah. Merekalah tunjang utama USK yang meletakkan dunia di kaki dan Islam di puncaknya. Mereka menginfakkan tenaga masa dan wang menjadi da'ie sepenuh masa. Beratus-ratus kampung yang mereka jaga pengIslaman masyarakatnya.

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai