Semakin berilmu semakin tawadhu'


posted by Martinelli Hashim

No comments


"Humanity is the basic element when we deal with other people." Kata saya kepada anak remaja saya sewaktu dia berhadapan dengan masalah salah faham.

"Orang yang ada jiwa keinsanan saja yang boleh beralah dan mengutamakan orang lain. Fahami orang lain dahulu sebelum kita mengharapkan mereka memahami kita.Beralah tidak semestinya kita kalah. " Sambung saya.

"Saya nak minta tukar ke tempat lain. Ada 3 bos atas saya. Mereka tidak pernah pun cuba memahami kesusahan saya. Semua kerja saya yang buat dan mereka hanya mengarah. Kalau gagal program saya yang kena. Kalau berjaya mereka yang dapat nama. Alasan mereka cuma 'mereka adalah academic administrator  dan kita kena serve mereka'. Kerja mereka asyik mengumpat dan mencari salah orang admin. Bagi mereka orang admin tak ada 'brains' sebab tak belajar setinggi mereka, so layak buat kerja-kerja remeh saja. Setiap kali orang-orang ini berkumpul topik utama adalah ceirta tak puas hati dengan admin. Promotion saya terbatas bergantung kepada kekosongan tapi mereka boleh capai setinggi mana pun. Kerja kuat dapatlah naik. Tapi saya kerja bagai nak rak pun bertahun-tahun masih pegawai biasa.  Sampai bila saya nak jadi hamba orang-orang yang tak berhati perut ini. " Seorang pegawai  bercerita sambil menangis.

"Saya geram sangat bila saya minta orang admin buat kerja, mereka soal balik saya." Kata seorang pensyarah yang tidak puas hati dengan pegawainya.

Isu salah faham antara pentadbir dan ahli akademik berlaku di mana-mana universiti. Terutama di kalangan mereka yang masih muda. Orang akademik tidak mahu dibebankan dan orang admin tidak mahu dibuli. Masing-masing cuba mempertahankan status dan melupakan hakikat bahawa status, kedudukan, pengaruh dan jawatan adalah amanah. Kita lupa bahawa kelebihan yang kita miliki hanyalah buat sementara.

Merendahkan dan membuli orang lain sudah tentu mencacatkan status iman. Merasa diri kita lebih dari orang lain sudah pasti petanda orang riya' dan nerakalah tempatnya.

Semakin kita berilmu sudah seharusnya kita semakin tawadhu'.

"Bekerjalah dengan saya bukan untuk saya." Kata Pak Lah.

"Ketua yang baik adalah ketua yang menjaga solatnya." Kata sahabat saya, Khairulzain, yang kaya dengan pengalaman bekerja dengan berbagai kerenah manusia. Kata-kata yang memotivasikan saya untuk lebih menjaga solat agar saya mampu menjadi ketua yang baik itu.

Menyayangi dan menghormati orang lain tidak perlu sebarang bayaran. Merendahkan diri kepada orang lain tidak mengurangkan sesen pun harta kita. Mendengar kesusahan orang lain tidak menuntut apa-apa modal. Menangguhkan marah tidak mengurangkan sedikitpun rezeki kita. Satu-satunya yang diperlukan adalah jiwa yang bersih yang meletakkan Allah di atas segalanya.

Jiwa yang bersih akan kaya dengan sifat penyayang kepada orang lain. Jiwa yang bersih tidak akan sanggup melihat orang lain sengsara apatah lagi menyakiti secara sengaja. Jiwa yang bersih tidak mengejar pangkat dan jawatan dengan  memijak orang lain. Jiwa yang bersih membantu orang lain untuk naik bersama. Jiwa yang bersih dapat merasa denyut nadi orang lain yang tidak diperlakukan secara adil.

Ketua adalah imam. Imam membawa makmum mendekati syurga. Ketua yang merasakan dirinya imam akan malu dengan Allah setiap masa sehingga tidak ada lagi rasa besar diri dan riya'dalam dirinya. Ketua yang baik tidak akan sanggup melihat anak buahmya menderita menerima bebanan kerja. Sesuai dengan lebihan gaji yang diterima, ketua adalah pekerja sebenar dan orang bawahannya hanyalah membantu.

Kita perlu mengikut fahaman barat yang mengatakan 'The boss is always right' sehingga kita lupa konsep Islam sebenar tentang amanah besar yang dipikul oleh seorang ketua.

Memang benar, jiwa yang sempurna bersih hanyalah milik orang yang menjaga solatnya. Ketua yang sempurna adalah ketua yang menjaga solatnya kerana barakah solat itu akan melembutkan jiwa yang keras, tamak dan berlagak, penyaki yang menyebabkan hancurnya rasa keinsanan dalam diri kita.

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai