Bibik oh Bibik


posted by Martinelli Hashim

No comments


Sering kita mendengar rungutan begini, "Sudah hampir 20 orang pembantu rumah yang saya dah ambil. Tidak seorang pun yang boleh diharapkan. Semuanya menyakitkan hati."
Rungutan biasa kaum ibu yang mengambil pembantu rumah. Isu yang tidak berkesudahan tetapi perlu dihadapi. 
Isu ini terlalu jarang dibincangkan secara bernas mungkin kerana yang boleh berbincang secara bernas itu hanyalah majikan sedangkan pembantu cuma mampu bersungut sesama mereka.
Sedikit perkongsian peribadi yang mungkin boleh dibincangkan lagi.
Pertama kali saya mengambil pembantu rumah adalah 25 tahun yang lalu sewaktu anak saya masih 2 orang. Suprana seorang wanita yang sudah agak berumur, punya suami di Malang, Indonesia, bekerja dengan saya tanpa kemahiran memasak atau berkemas mengikut selera kita. Sifat wara'nya membuat saya yakin dia boleh menjaga anak-anak saya dengan baik. Saya memanggilnya Kak Ana dan dia memanggil saya Dik Neli. Beliau minta berhenti apabila mendapat berita suaminya meninggal di kampung. Dia menangis terisak-isak semasa berpisah kerana sedih meninggalkan kami.
Kemudian saya mendapat Kak Zarah, juga sudah berumur, punya cucu, merasakan dirinya bukan pembantu malah boleh memarahi saya apabila tidak betul menjaga badan semasa dalam pantang. Kebersihan dan kemahiran memasaknya membuat saya suka dengannya. Beliau berhenti selepas 10 tahun berkhidmat kerana sudah makin uzur dan ingin menjaga cucu sendiri.
Sekarang saya punya pembantu bernama Ati yang juga sudah punya 3 cucu dan suami di Indonesia. Sudah 14 tahun berkhidmat dengan kami. Memandangkan sudah terlalu lama bekerja, saya  menasihatkannya supaya berhenti dan menguruskan suaminya yang semakin tua di kampung. Namun dia merayu  terus bekerja.


Kalau disenaraikan perkara yang tidak saya sukai tentang mereka, rasanya sama saja dengan orang lain, sangat banyak dan tidak tertuliskan. 


Kesemua pembantu saya akan pulang berhari raya selama sebulan setiap tahun. Mereka bebas berjalan ke bandar atau bershopping apabila perlu. 


Saya rasakan kita punya 3 pilihan samada untuk 


1.  membantu mereka berubah atau 
 2. membiarkan saja sikap mereka ataupun
3.  memberhentikan mereka dan mencari yang lain. 


Meninjau cara-cara Rasulullah (saw)  melayan pembantunya.


Rasulullah saw membuat pilihan membantu pembantu berubah melalui bimbingan baginda yang mulia sehingga kesemua pembantu baginda menjadi ahli hadiths. Baginda tidak membuat pilihan kedua atau ketiga.


1. Abdullah bin Mas'ud
Abdullah bin Mas’ud yang dikenal sering membawakan sandal Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam. Jika beliau hendak pergi Abdullah membantu mengenakannya, bila beliau duduk Abdullah memegang di tangannya hingga beliau akan beranjak pergi. Walaupun sebagai pembawa sandal, tetapi Rasullah melatihnya menjadi pakar hadith.


2. Anas bin Malik


Berkata Anas bin Malik RA:
"Saya telah menjadi khadam Rasulullah SAW 10 tahun lamanya. Maka tidak pernah baginda berkata atas barang yang saya kerjakan: "Mengapa engkau kerjakan?" Mengapa tidak engkau kerjakan?". Tidak pernah pula baginda berkata pada barang yang tidak ada: "Alangkah baiknya kalau barang itu ada". Kalau pada suatu ketika terjadi perselisihan saya dengan ahlinya, dia berkata kepada ahlinya itu. "Biarlah sebab apa yang telah ditakdirkan Allah mesti terjadi."


Apabila difikirkan, banyak perkara yang boleh dijadikan pertimbangan tentang kerenah pembantu rumah 
  • Mereka dari kampung yang sangat 'hulu', tidak pernah diberi latihan pengurusan rumah, tidak berpelajaran tinggi, mempunyai pergaulan dan minda yang terbatas, maka sudah tentu tidak mampu memenuhi semua yang kita mahu.
  • Kedatangan mereka ke Malaysia meninggalkan suami dan anak-anak, sudah tentu sedikit sebanyak mempunyai tekanan perasan tersendiri melihat kita hidup bekeluarga dengan sempurna.
  • Mereka adalah wanita biasa, punya keinginan untuk memiliki barang-barang sudah tentu ingin merasa membeli-belah mengikut kehendak sendiri.
  • Mereka adalah manusia biasa inginkan kebebasan dan punya teman-teman, maka membiarkan mereka terkurung di rumah terlalu lama akan memberi tekanan yang membahayakan
  • Mereka punya sifat memberontak samada dalam diam atau dinyatakan, sudah tentu kita perlu membantunya menyalurkan rasa tidak puas hati secara yang benar.
  • Sebagaimana mereka, kita bukanlah manusia sempurna tanpa ada cacat dan cela. Mengakui kesalahan dan kekurangan diri di depan pembantu dan memohon maaf kepadanya sudah tentu mencalar ego. Sedangkan itu mungkin saja tauladan yang baik untuk mereka.

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai