BUANG BAYI ?!.... moh wadon, kata wali songo!!!


posted by Martinelli Hashim

No comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
Menghadiri sidang meja bulat di Kementerian bersama beberapa wakil NGO. Suatu usaha yang baik bagi mendapatkan pandangan rakyat. Hanya segelintir NGO Islam yg hadir. Saya hadir tanpa diundang semata2 ingin mengetahui keadaan sebenar. Topik perbincangan ..isu buang bayi, isu yg mengerikan. Statistik yg dibentangkan oleh PDRM menambahkan lagi kengeriaan itu. Apakah negara kita sedang menerima bala? .... astaghfirullahil 'azim.

Ada yang mencadangkan usah dihukum mereka yg datang membuat laporan, sebab akan menambah kes. Perlu diajar pendidikan seks supaya mereka tahu. Sediakan tempat meletakkan bayi yg selamat. pengharaman pornografi perlu dilakukan dengan lebih keras. Ada yang menyokong ada yang menolak berdasarkan fakta2 tertentu.

Institusi kekeluargaan perlu diperkemas supaya anak2 rapat dengan ibu tetapi apa, siapa , bagaimana ia boleh dilakukan?

Pelbagai hujah dikemukakan menambah sesak fikiran. Yang mana satu yg perlu didahulukan. Keadaan kini seolah2 orang memakai selimut pendek, ditarik ke atas, terbuka kaki, ditarik ke bawah terbuka badan.....DAN dipenghujungnya, seperti biasa....... jom buat pelancaran kempen besar-besaran di IPT!!!!!!!

Saya tidak lagi mampu tersenyum. Semua kita tahu akarnya, dasarnya dan asasnya adalah nilai agama. Analisanya adalah ilmu. Perancangannya adalah muafakat. Pelaksanaannya adalah komitmen dan tanggunjawabnya adalah pada kita semua.

Apabila rasa bertuhan gersang dari hati, si gadis mengikut saja ajakan si teruna yang punya nafsu tetapi akal tidak terbimbing dengan sempurna.

Jiwa bertuhan kering di hati ibubapa, hubungan dengan Allah terhijab dan doa tidak kesampaian.
Jiwa bertuhan hilang dari masyarakat, kita meninggalkan hukum agama yang sudah sedia jelas dan mencari hukum lain untuk mencari penyelesaian.

Teringat saya cerita sdr. Ahmad Azam dalam tazkirahnya tentang kisah Sunan Ampel salah seorang Wali Songo yang menasihatkan raja Majapahit, Prabu Sri Kertawijaya yang beragama Hindu. Sang raja gelisah dengan masalah rakyatnya yang kucar-kacir dan mengeluh kepada permaisurinya, Ratu Darawati. Sang Ratu mencadangkan agar raja meminta nasihat Sunan Ampel bagaimana harus menyelesaikannya. Sunan Ampel atau Raden Rahmat yang merupakan seorang ulama dan pendakwah Islam lalu menyarankan falsafahnya yang terkenal, "moh limo" atau jauhi 5 perkara yang tercela.

1. moh main (tidak mau judi),
2. moh ngombe (tidak mau mabuk),
3. moh maling (tidak mau mencuri),
4. moh madat (tidak mau mengisap candu), dan
5. moh wadon (tidak mau berzina).

Sang raja mengikut saja nasihat Sunan dan akhirnya ternyata nasihat tersebut berjaya mengamankan negara. Aktiviti meyabung ayam diharamkan dan sesiapa yang melakukannya akan dibawa menghadap raja lalu dihukum. Rakyat dilarang membuat tuak. Pencuri dihukum seadil-adilnya. Daun ganja, madat dan candu dimusnahkan. Sesiapa yang melakukan madon (zina) diberikan hukuman berat.

Raja akur dengan pendapat orang yang berilmu, rakyat akur dengan perintah raja, tentera menjalankan tugas di setiap penjuru negara. Akhirnya rakyat hidup bahagia. Para petani gembira dengan hasil titik peluh mereka, peniaga bertambah untung, kaum wanita terjaga dan kanak-kanak selamat membesar dalam pangkuan keluarga.

Walaupun raja menolak untuk masuk Islam, namun baginda tidak menghalang rakyatnya mengikuti ajaran Sunan Ampel kerana kagumnya baginda dengan pendekatan sang wali yang penuh hikmah itu. Tiada paksaan tiada kekerasan. Rakyat masih terus bermain gamelan dan kesenian lain yang sudah sebati dengan kehidupan mereka. Jiwa bertuhankan Allah yang satu tidak ada anak, tiada ibubapa dan keindahan wajahNya tidak boleh diukir dengan patung akhirnya menusuk ke dalam hati masyarakat dengan lembut.

Apakah Malaysia perlukan Sunan Ampel untuk menyelesaikan masalah keruntuhan moral hari ini? Tidak, pemimpin kita adalah Islam bukan Hindu, Ulama' kita ada beribu, rakyat 60% beragama Islam dan tahu dosa dan pahala.
Yang perlu ialah
Tanamkan jiwa bertuhan di setiap hati insan yang masih bernyawa. Letakkan Tuhan di hati agar kita sentiasa sedar akan kehadiranNya.
Buatlah apa saja untuk menanamkan jiwa bertuhan di hati anak muda, apa saja yang mampu kita lakukan tanpa bertangguh, tanpa alasan.
Usah diulang cerita bangau oh bangau kerana mereka menanti huluran tangan kita yang gigih bukan mulut kita yang banyak dalih.
Sampaikan nasihat kepada sesiapa saja kerana "Agama Itu Adalah Nasihat," kata Rasulullah salallahu 'alaihi wassalam.

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai