Memuji


posted by Martinelli Hashim

No comments

Kata-kata ustaz Zunaidin, "Kalau memuji orang, mulakan dengan memuji Allah dulu supaya orang yang dipuji terhindar dari bala atau bencana."

Teguran itu diberi selepas saya menjawab pertanyaan beliau, "Apa khabar menantu puan?"

Beliau memang kenal baik dengan menantu saya.

Biasanya saya menjawab,"Alhamdulillah. Baik".

Tetapi kali ini disebabkan oleh beberapa peristiwa yang baru berlaku ke atas anak dan menantu saya membuatkan saya mengkagumi ketabahan beliau, saya pun menjawab,"Saya mengkagumi dia, ustaz. Luar biasa sabar......."

Selesai saya bercakap, dengan baik beliau mencelah mengingatkan saya keadah memuji. Teguran yang membahagiakan.

Ustaz Zunaidin, sahabat dalam bidang da'wah, memberi teguran yang sering melekat dijiwa.

Tidak mudah mendapat sahabat yang selesa menegur dalam apa saja keadaan. Alhamdulillah saya mempunyai sahabat-sahabat seperti itu bagi menyelamatkan diri dari kesesatan dunia. Alangkah bahagianya kalau semua yang mengenali kita sudi menegur seperti itu.

Kita sering memuji orang, biasanya pujian yang benar kepada yang memang layak menerimanya. Kadang-kadang memuji untuk memberi motivasi dan galakkan walaupun penerima belum layak dipuji. Selalunya demi menambah kemesraan. Sesakali kita memaksa diri untuk memuji untuk mengambil hati orang lain.....pujian yang kurang ikhlas yang biasa disebut pujian politik.

Sering juga orang memuji kita untuk memarangkap. Pujian yang menyakitkan hati adalah pujian untuk menyindir.

Sewaktu menyentuh budak kecil, sebutlah, "MasyaAllah." sebelum mengatakan comelnya dia. Ia akan menghindarkan si kecil itu dari demam atau bencana lain.

Arwah nenek saya selalu berkata jangan puji2 budak kecil nanti dia demam. Orang Minang di Indonesia akan memuji budak kecil dengan menyebut, "Buruknya budak ni." dengan mengharapkan sebaliknya. Sudah tentu cara ini tidak tepat kerana ia akan menjadi doa dan ibubapa mana yang inginkan bayinya buruk..Tetapi ia sudah kebiasaan dalam masyarakat Minang yang mungkin aneh bagi orang lain.

Apa pun niat semasa memuji ia akan tertapis dengan baik apabila didahului dengan kalimah Allah.

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai