Ucapan suci yang menusuk hati setiap orang yang menuju Makkatul mukarramah untuk haji atau umrah.
Zam zam tower |
Walaupun baru 2 tahun saya tinggalkan, Mekah sudah berubah wajah. Hotel2 kecil disekeliling Masjidil Haram dahulu kini sudah ditukar dengan hotel2 mewah 5 bintang atau lebih. Menjejak kaki di pintu Abraj tempat terletaknya hotel mewah Zam zam tower seolah2 melangkah masuk ke KLCC. Sewa bilik saja lebih RM1000 semalam. Bilik yang luas yang jendelanya menghadap Kaabah, dengan 2 katil kingsize adalah sangat membazir untuk diduduki oleh 2 insan kerdil seperti saya dan suami. Makanan penuh di meja yang mungkin hanya terbuang kerana terlalu banyak.
Kalaulah bukan kerana pemergian kami ditaja sepenuhnya, tak mungkin kami di sini. Mungkin begitu jugalah agaknya hotel2 lainnya yang mengelilingi Masjidil Haram. Orang kurang duit dipaksa tinggal jauh2. Semakin kurang duit, semakin jauhlah tempat tinggal jemaah. Ada jemaah yang tinggal berhimpit2 di bilik kecil atau mungkin tidur saja di tepi jalan tanpa bayaran.
Kalaulah Rasulullah saw masih hidup, di mana agaknya baginda akan menginap? Akan adakah jurang kehidupan seperti ini?
Sudah sepatutnya kami malu pada Allah dengan kemewahan ini. Tetapi ini orang yang beri, bukan kami yang mencari.
Sebelum kami bertolak, seorang sahabat saya pernah berkata pengalaman dia mengerjakan haji atas jemputan kerjaan Saudi yang penuh dengan kemewahan menyebabkan hilangnya zuk dan nikmat ibadah tidak seperti sewaktu dia pergi sendiri sama dengan jemaah lain. Benar apa yang dikatakannya.
Manisnya nikmat ibadah umrah lebih terasa apabila kita bersusah payah mencarinya. Tidak hairan rupanya sebahagian orang kaya2 Arab sendiri pun sanggup menaiki bumbung bas pada musim haji untuk ke Mina dan Muzhdalifah bagi merasai sendiri nikmat disebalik kesusahan itu.
Dalam himpunan ummat yang berasak2 di Masjidil Haram Mekah dan Masjid Nabawi, berbagai warna kulit yang ada. Wajah2 Melayu, Arab, Pakistan, Turkey, Iran dll. namum terlalu kurang wajah Afrika kecuali yang menjual di tempat orang lalu atau meminta sedekah.
Wanita2 yang ada berjemaah kebanyakan yang berisi badannya, mungkin kerana budaya sudah begitu atau mungkinkah mereka yang datang ini adalah orang yang kenyang makan seperti kami dan rezeki yang lebihnya digunakan untuk datang ke sini mengerjakan umrah. Sedangkan saudara kita di Afrika rata2 mereka dihimpit kemiskinan.
Sedang saya berfikir2 tentang suana kurangnya bilangan saudara seIslam dari Afrika, tiba2 tv dalam bilik hotel menayangkan dokumentari di Sudan. Anak2 yang kurus kering dan ibu2 berwajah cengkung tidak bermaya mendokong bayi adalah saudara kita yang tidak sempat pun bermimpi untuk melepaskan rindu pada Kaabah......Oh Tuhan, mereka di sana dihimpit kemiskinan. Jangankan untuk datang ke sini, untuk mendapat sesuap makanan pun mereka tak mampu. Kemudian ditunjukkan pula dokumentari penderitaan rakyat Palestin. AstaghfiruLlah..... kasihani mereka ya Allah. Mungkin dokumentari ini ditujukan Allah kepada saya menyuruh saya lebih menginsafi diri.
Ya Allah, berikanlah kami peluang lagi untuk ke sana. Rindu kami tidakkan putus. Berikanlah juga peluang kepada saudara2 kami ke sana kerana di hati mereka juga ada rindu untuk bersujud di bumi sucimu.