Doktor muda luar biasa.


posted by Martinelli Hashim on

2 comments


Pengalaman sepetang di wad kecemasan HUKM membawa anak yang tercedera kaki semasa main bola.

InsyaAllah bakal doktor pemegang amanah ummah dari KMB
Setelah pemeriksaan tapisan pertama kami menunggu pemeriksaan selanjutnya. Mungkin keadaan anak saya tidak begitu serius kami menunggu agak lama supaya adil kepada yang lebih memerlukan. Tiba giliran kami. Seorang doktor muda menyambut  dengan penuh mesra.

"Maaf, puan terpaksa tunggu lama, ye? ....Puan dari mana?.....Gombak kat mana? ....oo kat situ ada....Adik sekolah kat mana?......."

Sambil membaca lampiran-lampiran dan memeriksa keadaan kaki anak saya, dia masih sempat bertanya soalan2 yang menenangkan perasaan pesakit. Budi bahasa yang amat sempurna dan raut wajah yang penuh senyuman membuatkan hilang rasa letih menunggu.

Pada masa itu beliau juga dikelilingi para pelajar perubatan. Mungkin beliau seorang tenaga pengajar juga. Saya dapat rasakan betap bertuahnya pelajar-pelajar itu mendapat tunjuk-ajar yang begitu baik. Sebelum ini sudah kerap saya melihat para pelajar diperlakukan secara kasar dihadapan pesakit.

Dia menerangkan segala-galanya tentang kedudukan tulang anak saya dengan baik dan apa yang perlu dilakukan.

Terkenang saya pengalaman tinggal di U.K selama 3 tahun, beginilah suasananya apabila pergi ke klinik. Para doktor sangat peramah. Suasana yang jauh berbeza di negara sendiri terutama di hospital kerajaan. Saya sudah terbiasa dirawat oleh doktor-doktor yang gersang dengan senyuman, jauh lagi dari sifat mesra pesakit.

Doktor muda ini membuktikan doktor Malaysia juga mampu berbudi bahasa.  Saya juga mengalami suasana begini apabila bertemu dengan Prof Raymond Abdullah yang sekarang menjawat jawatan Pengarah HUKM. Orangnya luar biasa hebat apabila merawat pesakit. Beliau selalu membuat saya hairan dari mana beliau mendapat semangat dan kesabaran yang luar biasa menangani kerenah pesakit dari budak kecil hinggalah ke orang berpangkat tinggi yang dilayan tanpa apa-apa perbezaan. MasyaAllah...mungkin doktor-doktor begini hati mereka sudah di'bedah' dahulu untuk membuang sifat-sifat buruk sebelum mereka membedah orang lain.

Setiap kali berpeluang berceramah kepada pelajar-pelajar Medic UIA, sering saya katakan. "Kalau jadi doktor nanti, jadilah doktor yang luar biasa, bukan yang biasa-biasa. Doktor luar biasa dapat dirasakan kebaikannya oleh pesakit dan waris mereka. Siapa tahu pesakit itu adalah insan yang dikasihi Allah yang doa mereka tidak terhijab. Usah bermegah, kerapkan bermuhassabah. Antara dosa dan pahala ada ruang tersedia untuk makhluk berfikir."

Sebelum keluar dari bilik rawatan itu saya sempat bertanya doktor itu lulusan dari universiti mana.

Beliau menjawab, "Saya dari UIA."

Masya Allah. Doa saya agar doktor muda ini serta teman-teman seperjuangannya hidup dalam curahan rahmat Allah dan terus berbakti kepada ummah sebagaimana janji mereka sebelum dilepaskan ke masyarakat dahulu.Mereka milik ummah dan kepada ummah harus berbakti.

2 comments

  1. Anonymous

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai