Demi Perjuangan!!!!


posted by Martinelli Hashim

No comments



بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

Kini cerita Gaza hampir dilupakan dunia. Yang tinggal hanya penderitaan yang seolah2 tiada berpenghujung. Peluru masih belum berhenti ditembakkan.



Hampir setahun yang lalu semasa akhbar-akhbar dipenuhi dengan cerita Obama yang sedang rancak berkempen, seorang kenalan bangsa Amerika yang sudah masuk Islam berkata kepada saya, "This is the man that we've been longing for to save us," sambil menunjukkan jarinya ke gambar Obama di sebuah akhbar.


Saya cuma tersenyum dengan kata-katanya. Pernahkah kita meletakkan harapan kepada sesiapa pun untuk menyelamatkan agama Islam?


Semasa perang Gaza sedang memuncak, anak-anak saya meminta diceritakan apa sebenarnya berlaku di Gaza. Kesibukan dengan kuliah membuatkan mereka tidak punya masa untuk membaca akhbar. Alasan biasa mahasiswa UIA.


Saya katakan, ”Janganlah rugikan diri dan ummat kerana setiap ummat Islam perlu menjadi orang yang berilmu dan berinformasi. Bacalah akhbar dan majalah. Kita tak mampu untuk tidak membaca semua itu kerana saudara kita sedang menderita. Cerita Gaza adalah satu tragedi ummah yang amat berat.. Ummat Islam berada pada tahap yang amat kritikal.”


Kita perlu membaca dan membaca apa saja untuk menajamkan minda dan membesarkan jiwa. Disebabkan minda yang kecil kita tidak akan berupaya berfikir semaksimanya. Disebabkan jiwa yang kecil kita mudah kecil hati dan menjauhkan diri dari tanggungjawab. Siapa yang paling mudah merajuk kalau bukan mereka yang berjiwa kecil. Ia berpunca dari kecetekan ilmu dan tidak punya kemahiran berkomunikasi secara berkesan.


Disebabkan kekurangan ilmu dan kemahiran kita tidak tahu bagaimana membezakan antara yang tertbaik, yang baik, yang kurang baik dan yang sangat tidak baik. Akibat dari kekurangan ilmu kita tidak dapat membezakan kepelbagaian hukum-hukum syariat dan juga hukum-hukum alam. Akibat tiada kemahiran berkomunikasi secara berkesan kita gagal untuk saling bertoleransi .....akhirnya berlaku perpecahan sesama sendiri.


Penindasan Yahudi terhadap orang Islam tiada hentinya. Sudah menjadi sumpah mereka untuk melakukan apa saja ke atas musuh kerana meyakini Yahudi adalah bangsa pilihan Tuhan dan bangsa lain adalah haiwan untuk ditunggang. Mereka mengguna dan mengembangkan ilmu untuk mencapai misi. Kerana kelemahan kita dan kerana kurangnya kebijaksanaan kita maka masyarakat Islam terus diratah melalui ilmu dan kemahiran yang ada pada mereka.....persaudaraan Islam berkecai dengan penggunaan taktik-taktik  psikolog yang mudah!!


Semasa presiden Jimmy Carter menjadi presiden Amerika, dia sama saja dengan presiden-presiden Amerika yang lain. Selepas turun tahta, dia melibatkan dirinya dengan menulis hampir 60 buah buku. Hasil kajian dan pengalaman tinggal di Palestin bersama isterinya, terbitlah sebuah buku yg dikarangnya sendiri bertajuk Palestine: Peace Not Apertheid yang dibaca oleh lebih sejuta orang. Buku itu turut mendedahkan ketidakadilan yang berlaku di Palestin. Tetapi Jimmy Carter melakukannya selepas dia tidak berkuasa lagi.


Sebuah rencana dalam NEWSWEEK beberapa minggu yang lalu dengan angkuhnya menceritakan tentang 'victory in Gaza'. Dituliskan bahawa kekalahan Israel di Lebanon sebelum ini dijadikan bahan kajian untuk persediaan yang lebih rapi dalam perang gaza. Dalam beberapa blog turut diceritakan taktik2 askar mereka memperdaya tentera HAMAS sehingga tertipu dan akhirnya dibelasah dengan kejam.


Biarlah mereka dengan perancangan mereka namun kita masih ada ruang untuk berusaha. Memerangi mereka dengan kuasa senjata dan kewangan mungkin masih jauh untuk dicapai. Berbagai alat perang sedang dicipta. Salah satu daripadanya ialah snipers yang dapat mengesan senjata sebaik saja senjata itu dipetik oleh askar Islam .


Soalan rakan saya itu saja jawab dalam hati sambil menarik nafas panjang. Apalah yang dapat kita harapkan pun daripada orang lain.. Mungkinkah dengan adanya sedikit unsur Islam dalam diri Obama yang mempunyai ayah dan ayah tiri beragama Islam dan pernah belajar di sekolah Islam semasa awal remaja, maka kita boleh berharap yang Obama ada sedikit rasa perikemanusiaan dan simpati pada Islam. 


Dalam satu dokumentari yang dibuat di beberapa buah negara Islam, soalan ini dijawab dengan gelengan kepala oleh kebanyakan mereka yang diwawancara.
Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardawi dalam bukunya menyatakan Orang Islam sepatutnya paling kuat kerana:

i. hasil bumi yang banyak seperti petroeum

ii. Kedudukan banyak negara-negara Islam terletak dilaluan perdagangan

iii. Penganut Islam paling ramai di dunia

iv. Dakwah Islam sentiasa digerakkan oleh kumpulan-kumpulan gerakan Islam

Namun kita masih lemah kerana misi ummah tidak dirancang dengan rapi melalui satu tindakan tersusun oleh para pemimpin Islam. Semuanya berpunca dari sikap kita yang tidak mementingkan ilmu dan kemahiran.

Teringat saya kepada tulisan Almarhum Dr. Muhammad Al-Ghazali dalam bukunya ’Berinteraksi Dengan Al-Quran’. Kehancuran kerajaan-kerajaan Islam semuanya berpunca dari perebutan kuasa sehingga perkembangan ilmu menjadi terpinggir. Para ulama sibuk dengan ilmu tertentu sahaja sehingga meninggalkan ilmu lain yang penting untuk menguasai dunia.


Melihat situasi semasa di Malaysia, saya merasa ngeri memikirkan kerana apa yang berlaku seolah-olah kita juga semakin menuju ke arah kehancuran itu. Dikatakan sekarang ramai yang menutup tv semasa siaran berita kerana tidak sanggup melihat isu-isu politik yang memualkan. Mereka yang rasional mungkin boleh mengalihkan fokus mereka kepada isu-isu lain yang berfaedah. Tetapi anak-anak muda yang kita harapkan untuk menjadi pewaris kepimpinan negara dan ummat... kemana lagi mereka hendak alihkan fokus mereka kalau bukan pada hiburan yang melemahkan daya fikir dan daya juang sebenar.


Daya juang anak muda sudah teralih kepada ’perjuangan ’ kabur yang diucapkan oleh artis seperti slogan-slogan yang menyebut
Kami akan meneruskan perjuangan memartabatkan lagu-lagu rock....yei, yei!!!!’”


Teruskan perjuangan anda dalam Akademi Fantasia..menuju puncak, pasti berjaya!!!”


Demi ’perjuangan’ kabur, mereka sanggup menghabiskan wang mengundi artis pujaan. ’Perjuangan’ mereka melibatkan jutaan ringgit yang dikaut oleh penerbit.
Kekeliruan ini akan menjadi bertambah parah apabila pemimpin tidak lagi mendidik kerana sibuk dengan percaturan poltik yang tidak berkesudahan. 


Selamatkah anak-cucu kita nanti apabila....


Ahli politk hanya berjuang untuk kuasa


Ahli akademik hanya berjuang untuk pengiktirafan


Ahli koporat hanya berjuang untuk wang


Para penghibur pula berjuang untuk melalaikan anak muda.


Tetapi Siapakah yang akan berjuang untuk menyatukan semua ini?


Setiap masa, rakyat marhain macam saya, hanya berdoa semoga Allah menyatukan hati-hati mereka yang dipanggil pemimpin dan kembali bersama dalam satu kesatuan yang kukuh dan kuat demi perjuangan bangsa dan ummah tercinta ini. Sayangilah anak-anak kita yang memerlukan masa depan negara yang aman untuk mereka berteduh.

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai