Semua orang senyap. Selesai iqamat dilaungkan, para jemaah bergerak penuh disiplin satu demi satu menyusup dari belakang ke depan bagi mengisi saf2 yang renggang. Saf yang lurus dan rapat terbentuk memenuhi masjid. Suatu pemandangan yang syahdu....saf yang lurus simbol hati ummah yang lurus. Saf yang rapat, simbol ukwah yang rapat.
"Allahu akbar" Suara imam memulakan solat.
Segala urusan dunia terhenti seketika bagi sama2 menyempurnakan wahdatul 'aqidah, tanpa sekelumit suara kecuali suara imam. Tangan rapat ke badan, mata tepat ke lantai penuh disiplin hamba2 Allah. Waktu dahi mencecah bumi kepala yang biasa paling teratas kini di tempat paling bawah merendah di depan Allah. Mata tidak dapat melihat apa2, hanya tempat sujud. Graviti bumi menarik badan ke bawah sebagai peringatan bahawa suatu waktu nanti diri yang degil ini akan turun ke bumi jua.
Gerakan imam diikuti dengan penuh setia. Imam sujud kita sujud, imam bangun, kita pun bangun. Imam berdoa kita aminkan.
Selesai solat segalanya berubah. Imam ke utara, makmum ke selatan, ke timur dan ke barat. Simbol kesatuan dan simbol hati yang lurus sudah tiada lagi. Wahdatul aqidah yang terbina dalam solat jemaah yang seharusnya menjana kepada wahdatul fikr kini berkecai memecah belah ummah. Apakah kerana kita mudah lupa dengan apa yang kita lakukan ketika menghadap Allah sebentar tadi?
Di dada akhbar dituliskan beberapa orang yang digelar ulama' sedang tuduh-menuduh dan saman-menyaman. Suatu tragedi yang cukup menghiris perasaan kerana semua mereka itu adalah tokoh2 yang hebat berceramah. Sedih yang teramat sedih kerana mereka adalah tempat ummat bergantung. Kalau ahli politik bergaduh kita boleh menolak mereka yang tidak kita sukai melalui kuasa undi. Kalau orang awam bergaduh kita boleh memilih untuk tidak perduli. Tapi kini apabila ulama' yang bergaduh....bayangkanlah besarnya kesannya pada imej masyarakat Islam. Ulama' mempunyai pengikut masing2 dan pengikut2 ini salah menyalahkan secara melulu demi mempertaankan ulama' yang diikutinya.
Di sudut berita lain dikatakan permohonan untuk menubukan Persatuan Melayu murtad sudah diluluskan. Di mana ulama' untuk mempertahankan akidah ummah?
Apabila 'group victory' menjadi lebih penting dari 'ummatic victory' terjadilah bencana yang menghambat perkembangan tamaddun.
Ummat yang berpuak2 dan saling bertuduhan tidak menghasilkan apa2 kecuali luka di hati dan dendam yang tidak berkesudahan. Orang yang dituduh merasa terhina dan yang menuduh merasa riak dan kedua2 itu merosakkan jiwa. Setiap pihak akan sibuk mencari bahan dan hujah untuk menentang lawan. Malangnya lawan itu adalah saudara seagama. Masa terbuang begitu saja sedangkan ia boleh digunakan untuk membangun ummah.
Kenapa masih mudahnya kita berpecah. Kita tidak berfikir panjang atas kesan dan akibatnya pada masa akan datang. Kita lupa betapa tingginya harga yang terpakasa dibayar kerana perpecahan ummat ini.
Perbalahan antara Iran dan Iraq dibayar dengan ribuan nyawa ummat yang tidak berdosa. Barat mengaut untung dengan jualan senjata.
Perbalahan antara puak di Iraq dibayar dengan kehancuran sebuah tammaddun. Ulama' pupus dan khazanah ilmu musnah tidak berbekas lagi.
Perbalahan antara puak di Afghanistan dibayar dengan kemiskinan yang tertinggi di dunia. Ratusan ribu tentera kafir menguasai ummat yang lemah tidak bermaya.
Kaum kafir bersatu berganding bahu tanpa perbalahan sesama mereka .Mereka mentertawakan kita sepuasnya2. Musuh mereka hanya satu, iaitu kita.
Kita satu ummat tetapi kita mencipta seribu musuh di kalangan kita juga dan melupakan musuh sebenar.
Kita berpecah kerana masyarakat kita mudah marah.
Kita mudah marah kerana daya toleransi kita lemah.
Daya toleransi kita lemah kerana kita ego.
Kita ego kerana dunia kita persempitkan.
Dunia kita sempit kerana kita tidak berani meneroka.
Kita tidak berani meneroka kerana kita kekurangan memahami erti taqwa.
Kurangnya takwa kerana kurangnya iman.
Kurangnya iman kerana kita tidak punya cukup ilmu,
Ilmu kita sedikit kerana kita tidak mahu belajar.
Bukan cerita bangau oh bangau tetapi adalah realliti ummah yang begitu lemah kerana ukhwah yang semakin rapuh hasil perbuatan tangan kita sendiri.
Bagaimana nasib anak2 muda kita yang meringkuk di lorong2 hitam yang menjadi isu utama ummat yang sepatutnya kita tangani? Sanggupkah kita berkata kita tak cukup masa dan tenaga untuk membantu mereka kerana masa kita dihabiskan bergaduh di mahkamah dan kutuk mengutuk dalam akhbar dan blog?
Dalam nikmat hidup penuh kesejahteraan di bumi Malaysia ini kenapa masih mencari persengketaan?
Saya sangat teruja dengan perbuatan seorang mualaf yang menyatakan sayangnya pada Islam dengan menghabiskan duit gajinya untuk mencetak bahan2 agama dan diedarkannya sendiri di Pasar Seni.
Katanya dia tidak mampu berceramah kerana dia bukan ulama'. Dia tidak mampu ke medan perang dan dia tidak mampu mengajar agama pada orang lain kerana dia tidak punya kemairan dan ilmu. Dia hanya mampu berjalan2 di tempat orang ramai seperti Pasar Seni dan mengedarkan bahan agama yang dirasakannya boleh memberi keinsafan kepada orang yang membacanya. Kalau tidak semua yang membaca, sekurangnya2 separuh. Kalau tidak separuh mungkin sebahagian kecil. Kalau tidak sebahagian kecilpun sekurangnya2 seorang dari ribuan orang itu akan membacanya hatta walau hanya seayat. Dia tidak peduli dengan perselisihan masyarakat tentang pemahaman masing2. Baginya sekali dia merasakan wujudnya Allah yang esa untuk disembah segala tumpuannya hanya untuk menjadi hambaNya yang baik. Maka dihabiskan masanya untuk memperbaiki diri dan membantu orang lain menjadi baik. Masya Allah.
Kalau setiap kita tingkatkan satu lagi saja kemahiran keinsanan dalam diri kita, iInsyaAllah akan mengubah dunia seluruhnya, iaitu kemahiran menangguhkan marah. Kurangkan marah, banyakkan kasih sayang. Antara marah dan berkasih sayang tidak mungkin bersatu sebagaimana air tidak mungkin bersatu dengan api.
Ahli CENSERVE membimbing kanak-kanak |
Jangan memaksa orang lain mengikut cara kita selagi mereka berpegang kepada agama Allah kerana tiada manusia suka dipaksa. Berkomunikasilah dengan penuh hikmah dan timbang rasa yang tinggi penuh berhati2 kerana sifat semula jadi manusia itu ialah suka dihormati.
Orang yang sibuk memikirkan perkara2 besar tidak akan ada masa memikirkan perkara2 remeh. Banyak perkara pokok yang kita ketepikan dan perkara furu' yang diutamakan. Akhirnya kita tenggelam dan menghabiskan masa dan tenaga untuk menghancurkan saudara kita sendiri. AstaghfiruLlahil 'azim.