50 sen untuk cikgu


posted by Martinelli Hashim

1 comment

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
"Tak payahlah bagi hadiah untuk cikgu kali ini." Kata ayah apabila saya memberitahunya bahawa kawan-kawan semua sudah ada hadiah untuk diberikan kepada cikgu kami pada hari terakhir sekolah.

 Ayah terus melukis tanpa memandang muka saya. Saya tidak menjawab. Saya faham, ayah tidak ada duit pada waktu itu.

Saya memandang duit 50 sen dalam genggaman. Itulah saja yang ada dalam simpan saya. Apalah yang boleh dibeli dengan duit sebanyak itu. Rasa sedih, malu, rendah diri, semua menyelubungi perasaan. Kalaulah saya kaya, saya akan belikan hadiah besar untuk cikgu. Tinggal 3 hari lagi jamuan perpisahan. Semua rakan-rakan dalamkelas sibuk bercerita tentang hadiah untuk cikgu. Ada yang membeli sendiri, ada yang berkongsi.

Semasa berjalan pulang dari sekolah dengan 2 orang rakan sekelas, tiba-tiba kedua-dua rakan itu masuk ke sebuah kedai di Pasar Minggu Kg. Baru berhampiran tempat tinggal saya. Saya menunggu saja di luar. Mereka membelek-belek kerongsang dalam kedai itu. Mereka berbisik berdua. Tiba-tiba salah seorang berkata, "Neli, awak nak kongsi beli hadiah, tak, untuk cikgu ?"

"Nak juga, tapi duit kita cuma ada 50sen." Jawab saya dengan lurus.

"Harga kerongsang ni 12 ringgit. Kita orang tak cukup duit. Kalau awak bagi duit 50 sen tu nanti kita tulislah nama awak juga pada hadiah tu." Kata-katanya membuat saya gembira.

Saya menyeluk kocek baju sekolah dan memberikan duit 50 sen kepada kawan itu.

Saya pulang ke rumah dengan rasa lega. Esok saya bukanlah satu-satunya anak murid yang tidak memberi hadiah kepada cikgu kelas. Biarlah cikgu tahu saya juga sayang dan menghargai jasanya.

Hari itu semasa kawan-kawan rancak bercerita tentang hadiah untuk cikgu, saya pun tidak rasa terasing lagi kerana sudah sama dengan mereka....."Kita pun dah ada hadiah untuk cikgu. "

Masa untuk murid-murid menyampaikan hadiah masing-masing sudah tiba. Cikgu menerima hadiah dari murid-murid sambil membacakan nama pemberinya. Apabila menerima hadiah kerongsang, cikgu hanya menyebut nama 2 orang rakan saya. Kedua-dua rakan itu menoleh kepada saya dan salah seorang berkata, "Awak cuma bagi 50sen, kami bagi 6 ringgit. Tak acilah nak tulis nama awak sama."

Sedih bukan kepalang. Benarlah seperti yang saya jangkakan, hari itu memang benar sayalah satu-satunya anak murid yang tidak memberi hadiah kepada cikgu. Duit 50 sen yang berikan untuk membeli hadiah cikgu rupanya tidak ada harga. Saya hanya menundukkan muka kerana malu dan sedih.

Semasa menghulur tangan untuk salam perpisahan dengan cikgu, airmata saya berlinang tetapi masih mampu berkata,

"Maafkan saya cikgu. Saya tak beri apa-apa pada cikgu. Saya janji akan belajar bersungguh sampai berjaya masuk universiti." Cikgu cuma senyum.

Rupanya itu memang benar-benar salam terakhir kami dan saya tidak pernah bertemu dengannya lagi. Cikgu tidak pernah tahu duit 50 sen untuk membeli kerongsang itu. Cikgu pun mungkin tidak pernah tahu apa yang saya capai selepas itu. Semuanya hasil rentetan pengalaman hidup sebagai pelajar miskin. Biarlah ia menjadi kenangan dan pengajaran yang bermakna.

Semasa saya menjadi guru, saya berpesan kepada anak-anak murid, "Jangan beli apaapa untuk cikgu. Cukuplah hadiahkan cikgu dengan doa dan usaha gigih kalian. Usaha gigih untuk cikgu, kejayaan adalah untuk kalian, puji-pujian adalah untuk ibubapa. "

Tetapi mereka masih memberi juga sehinggalah sekarang. Sudah berkotak-kotak hadiah kenangan dari murid-murid yang tidak ada tempat sempurna untuk diletakkan.

1 comment

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai