Pada hari pertama masuk darjah 5, Sekolah Rendah Kebangsaan Kg Baru, K.L.
"Siapa dapat periksa nombor satu?" Tanya cikgu Ramlah, guru kelas yang terkenal amat garang. Wan Jamaliah mengangkat tangan dengan bangga. Kawan2 senyum dan cikgu Ramlah pun tersenyum sambil berkata, "Bagus!"
"Siapa nombor corot?" Saya mengangkat tangan dengan jujur. Satu kelas ketawa, dan cikgupun ketawa juga. Ketawa teman2 sudah perkara biasa sejak saya pindah ke sekolah baru ini. Mereka ketawa sebab saya tidak pandai menyebut 'apple' dengan betul. Mereka ketawa mendengar loghat saya yang cuba menyebut patah2 perkataan bahasa K.L dengan betul.
Saya tinggalkan kampung sewaktu darjah dua. Setelah pindah ke bandar, saya terpaksa menunggu lama untuk dapat masuk sekolah. Disebabkan faktor umur, saya terpaksa masuk darjah 4. Itupun hanya 3 bulan saja lagi sebelum peperiksaan akhir tahun. Menulis pun masih merangkak2 sedangkan kawan2 lain sudah laju mengira dan menulis. Tetapi mereka kalah dalam subjek Bahasa Melayu mungkin disebabkan saya suka membaca. Subjek kerjatangan juga mendapat markah tinggi mungkin kerana kesusahan hidup yang saya lalui memaksa saya terpaksa pandai kerja tangan bagi membantu keluarga. Jahitan sulam saya atas alas meja kecil warna merah jambu dapat pujian dari cikgu.
Episod 2
Teacher Fatimah berwajah serius dengan rambut gaya Saloma, trend waktu itu, memanggil murid2 yang gagal dalam ujian Bahasa Inggeris untuk datang ke depan.
"Kenapa jawapan kamu semua salah?" Tanya Teacher Fatimah sambil mencampakkan buku ujian bulanan Bahasa Inggeris saya ke meja guru.
Belum sempat saya menjawab, tangannya sudah mencapai cuping telinga lalu menarik-nariknya dengan kuat sambil berkata, "Bodoh, bodoh, bodoh!"
"Saya tak pernah belajar bahasa inggeris, teacher" Jawab saya jujur kerana semasa di kampung saya memang tidak pernah belajar asing itu. Satunya2 ayat bahasa inggeris yang saya hafal ialah 'I love you Mr. Mahmood' , ayat dari sebuah lagu Hindustan yang popular masa itu. Itupun masa itu saya tidak tahu maknanya. Bila sudah tahu, sayu malu sendiri.
Deraian ketawa kawan2 sekelas masih terngiang2 sampai sekarang.
Kerana kedua2 peristiwa itu saya bertekad dalam hati untuk tidak ditertawakan lagi. Kata ibu saya tidak bodoh. Semasa setengah tahun dalam darjah satu dulu cikgu pernah menawarkan saya untuk lompat kelas tetapi ibu tidak mengizinkan.
"Cikgu Ramlah, saya takkan dapat nombor corot lagi!! Teacher Fatimah, saya akan dapat markah tertinggi periksa penggal akan datang!!! Kawan2, kamu takkan ketawakan saya lagi lepas ini!!!" Saya sekadar menjerit di dalam hati... tekad anak kecil yang tidak punya apa2 kecuali usaha gigih dan doa ibu ayah.
Tekad itu saya tanam dihati dalam-dalam dan saya paksa diri untuk mencapainya.
Saya pegang kata2 Cikgu Ainon, gurubesar, "Kalau kamu rasa kamu pandai, ingat, ada ramai orang lebih pandai dari kamu. Kalau kamu ingat kamu bodoh, ingat, ada ramai orang lebih bodoh dari kamu."
Katanya lagi,"Kamu kena rajin baca surat khabar."
Saya kata, "Ayah tak mampu nak beli surat khabar."
Katanya, "Kalau kamu beli nasi lemak, jangan buang terus surat khabar yang balut nasi lemak itu. Baca dulu kertas itu sebelum dibuang. Apa saja yang bertulis cuba baca."
Katanya2 yang terakhir itu amat bermakna bagi saya dalam saya meniti hari2 berikutnya. Bertemankan sebuah kamus dwi-bahasa kecil berkulit hijau yang sudah uzur, hadiah dari seorang pakcik, saya akan membaca apa saja bahan, terutama yang berbahasa Inggeris. Pakcik itu berpesan supaya saya cuba hafal perkataan bahasa Inggeris sebanyak mana yang mampu dari kamus itu. Kamus itu saya bawa kemana saja saya pergi. Ayah dan ibu tidak mampu mengajar apa pun subjek sekolah. Mereka hanya mampu berdoa dan memberi sokongan.
Selepas 3 bulan kena tarik telinga, tekad yang ditanam untuk mendapat markah B.I paling tinggi dalam darjah akhirnya tercapai jua. Ayat 'I love you Mr. Mahmood' bukan lagi satunya2 ayat yang saya tahu. Dari nombor corot melonjak nombor 17 dalam darjah.
"Syukur, ya Allah." Bisik saya dalam hati.
Kata2 ayah, "Li, belajarlah rajin2 sampai masuk universiti sebab ayah tak ada harta untuk ditinggalkan" menjadi pemangkin utama.
Episod 3
Hari itu saya menyambut ayah datang ke sekolah. Peluh bercucuran di dahinya. Hari itu Hari Penyampaian Hadiah. Ayah memang tidak pernah gagal untuk hadir dalam majlis penyampaian hadiah setiap tahun walaupun saya tidak dapat hadiah.
Tetapi kali ini ayah tidak akan pulang dengan tangan kosong. Kali ini ayah boleh senyum puas mendengar anaknya disebut mendapat markah tertinggi dalam 8 dari 9 subjek untuk peperiksaan terakhir Kelas Peralihan. Tiga tahun selepas Cikgu Ramlah tertawa melihat saya mengangkat tangan sebagai pelajar nombor corot, kini tekad yang ditanam selama ini tercapai jua. Saya menyerahkan sijil2 itu pada ayah dan kami pulang dari majlis penyampaian hadiah itu dengan menaiki bas Nombor 143.
Episod 4
Tujuh tahun kemudian, semasa saya berjalan dengan ayah di jalan T.A.R, kami terserempak dengan cikgu Ramlah. Saya menghulurkan tangan dan mencium tangannya.
"Wah berjaya juga awak masuk universiti." Cikgu Ramlah memegang bahu saya dengan senyum, tetapi bukan senyuman sinis kepada murid nombor corot seperti 7 tahun dahulu.
"Awak ambil kursus apa?" Tanya lagi.
"Ambil Sains Genetics, cikgu." Jawab saya.
Episod 5
Sudah hampir 40 tahun peristiwa itu berlalu, kini saya mempunyai anak2 sendiri. Saya beritahu anak2 saya,"Jangan sekali2 rasa lemah kalau dimarah cikgu sebab itu mungkin boleh jadi pengajaran yang menjadi tiket untuk mencapai kejayaan masa depan. Kalau memang kita salah, minta maaf dari guru yang mendidik kita. Kalau kita tidak salah, beritahu yang benar, dan serahkan saja apa2 pertimbangan yang bakal dibuatnya. Jangan sekali2 menghina guru."
Saya katakan juga pada anak2 saya. "Tidak ada sebab untuk tidak boleh berbahasa inggeris sebab sejak TADIKA sudah belajar. Enam tahun belajar B.I setiap hari sekolah rendah dan 5 tahun lagi di sekolah menengah. Berbagai buku dan surat khabar ada di depan mata, tanpa terkial2 membaca surat khabar pembungkus nasi lemak. Berbagai kamus tersedia tanpa perlu berusaha mengumpul duit membelinya. Ada tiusyen kalau perlu. Ada tv, ada vcd, ada internet, semua tersedia untuk digunakan untuk belajar."
Semasa menjadi guru suatu ketika dulu, pernah seorang murid tingkatan 2 berbangsa cina datang mendekati saya untuk memujuk saya supaya jangan berhenti. Dia berkata, "Cikgu, dulu saya benci subjek ni. Sejak cikgu ajar saya, saya dah suka. Saya dah mula dapat markah tinggi. Kalau cikgu berhenti habislah saya."
Saya cuba memujuknya, "Kamu suka subjek ni sebab kamu sayang cikgu. Kamu sayang cikgu sebab kamu tahu cikgu sayang kamu semua. Cikgu lain pun akan sayang kamu kalau kamu baik macam sekarang. Kita kena bina kasih sayang dengan semua orang supaya kita belajar dengan gembira."
Kerap saya katakan pada murid2 saya,"Kalau saya marah, saya marah dengan kasih sayang. Kalau saya sayang saya berinya tanpa syarat. Hormati mereka yang lebih tua, sayangi mereka yang lebih muda. Insya Allah, hidup kita akan rasa indah kerana sekeliling kita dipenuhi kasih sayang. "
Kalau anda seorang guru, sentiasalah memahami perasaan murid sebelum membuat sebarang tindakan. Jangan sekali2 menjatuhkan maruah mereka di depan murid lain kerana suatu hari mereka akan dewasa. Jadikan kasih sayang sebagai penawar semasa berhadapan dengan pelajar. Kita tidak akan rugi apapun apabila mencurahkan kasih sayang pada orang lain, apalagi kalau mereka adalah anak didik kita. Biarlah kita menjadi sebahagian dari arkitek yang membina mereka jadi dewasa dengan sempurna.
Kalau mereka berjaya kita akan mendpat pahala selama mana mereka mempraktikkan ajaran kita. Kalau anak2 murid sudi berdoa, maka sudi-sudikanlah pula berdoa untuk mereka sebelum mengajar. Pertembungan doa guru dan murid di atas sana alangkah hebatnya hasilnya.
Episod2 ini menjadi kenangan abadi. Ia adalah episod drama hati bukan drama tv. Yang nombor corot mungkin tidak akan corot selamanya. Kalau bukan kerana ditertawakan kawan2 dan tarikan cuping telinga oleh teacher Fatimah, episod2 kejayaan selanjutnya mungkin tidak terjadi. Kegagalan di awal perjalanan menjadi pembakar semangat untuk perjalanan seterusnya.