Bukan Belasan Tahun Lagi


posted by Martinelli Hashim

No comments

Kelahiran

“Biarlah kali ini dapat anak perempuan.” Harapan kami setelah pasti yang Muhammad Hasif akan dapat adik. 

Seperti anak-anak yang lain, kelahirannya kami rancang. Istilah merancang keluarga bagi kami adalah merancang untuk dapat anak yang hebat bukan untuk mengelak dari dapat anak. Kami menyediakan mereka dengan kasih sayang tidak bersyarat.

Sepanjang kehamilan, apa yang masuk ke perut dan apa yang keluar dari mulut saya jaga sebaik-baiknya. Biar yang lahir nanti adalah anak soleh, sihat, cantik dan bijak. Kismis, kurma dan badam jadi makanan penting. Ayat Qur’an jadi halwa telinga supaya misi tercapai.

Anak-anak tahu, tidur mereka diiringi, jaga mereka dirai. Tangis dan tawa mereka tidak sendirian, sentiasa ada kami yang bersedia untuk mendengar di setiap ketika di mana saja. Keluarga adalah segalanya.

Selalu lupa dia bukan bongsu
Dia lahir petang Rabu di Hospital Pusrawi Jalan Ipoh. Kami memilih nama Syakirah atas kesyukuran kami mendapat seorang lagi anak perempuan dengan harapan ia menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur. 

Saya yakini fakta bahawa pemberian susu ibu, perhatian penuh dan dakapan yang kerap boleh menjana otaknya jadi bijak. Maka dia menyusu badan selama dua setengah tahun dan menjadi ‘anak kangaroo’ kerana selalu menyorok dalam baju ibu dalam cuaca sejuk di New Castle. Kami mahu dia menjadi bijak. 

Aci-aci Buka Pintu

Membesar sejak berumur 2 bulan  di Bandaraya New Castle Upon Tyne, di utara England selama 3 tahun, dia selalu menarik perhatian orang apabila saya membawanya menaiki bas awam. Dia suka menyanyi lagu Aci-aci Buka Pintu dengan bunyi pelat, tanpa rasa takut. Penumpang lain akan tepuk tangan dan dia pun akan tepuk tangan.

Walau dapat kasih sayang penuh, namun sekali-sekala apabila dia nakal, cubit dan rotan hinggap juga di kaki. Apabila saya bertanya, “Garang, tak ibu?” Dia ketawa geli hati.

Dia membesar menjadi anak gadis yang dikelilingi kawan-kawan berbagai latar belakang. Kata orang tua menjaga lembu sekandang lebih mudah dari menjaga anak dara seorang. Kata Rasulullah saw mereka yang dapat mendidik anak perempuan dengan baik akan dijamin syurga. Saya mungkin meletakkan harapan tinggi agar dia menjadi anak yang mampu membawa obor kecemerlangan. Ada jiwa beragama, ada jiwa bermasyarakat, tindakan dibatasi syariat, akhlak terpimpin dengan akal yang sehat. 


Hari-hari yang dilalui membesarkan budak yang petah dan berani bercakap cukup mencabar.

Waktu pertama kali dia minta izin keluar bersama kawan-kawan sekolah, rasanya seolah-olah ingin saja kalau boleh dia tak usah besar. Berbagai soalan berlegar dalam kepala. Mampukah dia membawa apa yang sudah diajarkan? Tidak terlajak laku, tidak terlupa batas syariat. Bantuan dari abang-abangnya yang ketat mengewal sedikit melegakan.

Sentiasa dikawal abang-abang
Tiru gaya ibu

Walau sudah melalui pengalaman dengan anak pertama, Liyana, namun pengalaman membesarkan anak ke 5, Syakirah, memerlukan kemahiran lain. Kepetahannya berhujah membuat saya memerah otak untuk berdepan dengannya setiap kali ada persoalan. Dia mewarisi bakat ayahnya bercakap tetapi ayahnya akan menyerahkan kepada ibu kalau berhujjah dengan syakirah.

Pernah suatu malam apabila saya balik  lewat dari pejabat, dia menunggu di depan pintu. Masa itu dia baru berumur 9 tahun. Sambil menarik tangan saya ke bilik, dia berkata, “Ibu,Syakirah ada sesuatu nak bincang dengan ibu. Ibu duduk kat sini, Syakirah nak tutup pintu bilik ini.”

Dia meniru gaya saya apabila menasihatkan anak, membawa anak masuk ke bilik dan tutup pintu supaya anak-anak lain tidak curi dengar demi menjaga 'privacy' anak yang ditegur.

Saya mengikut saja naik ke bilik.

Kami duduk di atas katil. Dia duduk di depan saya dengan wajah yang serius. 

Dia mula berhujjah, “Ibu tahu tak apa dia masalah sosial di kalangan remaja? Punca utama anak remaja terjebak dalam gejala sosial adalah disebabkan ibu bapa suka balik malam. Sekarang ibu dah menyebabkan anak remaja bermasalah…bla...bla....bla.”

Rupanya siang itu dia membaca akhbar tentang gejala sosial. Saya terangkan dan kami berbincang. Akhirnya dia memeluk saya, “Syakirah rasa ibu memang best…..”

Masa itu saya menerima hakikat yang setiap anak mempunyai cara tersendiri untuk kita mendidiknya. Tidak ada satu formula yang tetap untuk digunapakai untuk semua anak.

Si montel berbaju merah
Masa begitu pantas. Hari ini cukup 20 tahun usianya. Dia bukan belasan tahun lagi, tetapi di mata ibu dia masih si kecil yang sedang belajar melangkah. Bayangan budak montel yang putih melepak memakai jaket merah berlari dan tergolek atas salji lalu mencari ibu bila diketawakan abang-abang masih kerap bermain di kepala. 

Kini dia sendirian di Galway, Ireland, tanpa ibu, abah dan abang-abang yang selama ini memberi apa saja yang dia mahu. Berjuang di medan ilmu menyahut cabaran ibu dua tahun yang lalu, walau susah dilalui juga..

"Ibu redha Syakirah belajar di luar negara kalau Syakirah dapat buktikan akan lebih solehah berbanding dengan kalau di UIA. Jadi doktor yang berbudi tinggi berjasa kepada ummah." 

Masa itu saya bersedih kerana dia mengambil keputusan berhenti belajar perubatan di UIA setelah menerima tawaran luar negera. Keras tekadnya tidak mudah digugat walau semua abang-abang memujuk.

Walau bukan lagi dalam dakapan ibu sebab jarak yang beribu batu memisahkan kami, namun kenangan membesarkannya kadang-kadang buat saya tersenyum sendiri.


Lurus selurus pembaris

Masa kecil  kalau bercakap dia lurus selurus pembaris. Tiap-tiap malam saya menidurkannya dengan nyanyian dan cerita-cerita ….. Dia percaya semua cerita ibu termasuk cerita rekaan untuk memujuk dia tidur. Salah satu ceritanya adalah begini:

Di mata ibu dia masih bayi yang perlu selalu didakap
“Ada seorang budak nama dia Ah Soi. Dia ada adik nama dia Ah Moi. Satu hari Ah Soi kejar adik dia. Tiba-tiba dia jatuh longkang. Kaki dia sakit. Dia kejar juga adik dia. Adik dia ajuk abang dia Ah Soi “ jalan kedok, kedok, kedok, kedok,kedok, kedok (masa ini ibu nyanyikan ayat ini).” Ah Moi lari, larl, lari, lari. Ah Soi kejar, kejar, kejar, kejar. Ah Moi lari, lari, lari, lari, lari, Ah Soi kejar, kejar, kejar, kejar, kejar………. Ah Soi lari kedok, kedok, kedok, kedok……” 

Ibu  mengulang-ulang ayat yang sama sampai dia tertidur. 

Sesekali  Syakirah akan tanya, “Asyik kejar-kejar je, bila dia nak dapat tangkap adik dia, bu?.”

Ibu akan jawab, “Nanti kalau Syakirah dah tidur, dapatlah dia tangkap adik dia..”

Dia pun akan tertidur dalam dakapan ibu sambil tangan memegang hidung ibu, ketagih yang sukar dilepaskan. Esok pagi dia tanya, “Ah Soi dah dapat tangkap adik dia, tak, bu?”


Soalan sebelum remaja

Semasa dia berumur 10 tahun, sedang saya menjelaskan apa itu remaja, dia bertanya, “Kalau Syakirah dah remaja nanti boleh bercinta, tak?”

Semalam,  sepuluh tahun selepas pertanyaan itu,  saya sempat berseloroh, “Hei, Syakirah dah bukan remaja lagi, tau. Dah boleh kawin pun. Bila nak kawin? ……. Dengan siapa nak kawin?”

Dia ketawa geli hati, Kami sama-sama ketawa dalam skype. “Typical question from a mom.”

SELAMAT HARI JADI anakanda Syakirah ….. Hidup  beragama dan berilmu supaya tidak ditipu dunia. Perjalanan masih jauh....Genggam bara api biar jadi abu. Jadilah doktor   terbaik bagi menjaga martabat ummah.

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai