بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
"Ibu, Angah risau kalau satu hari nanti adik diuji dengan kegagalan. Sejak kecil dia tak pernah gagal. Sekarang dia berjaya dan semua orang mengangkat dia tinggi melambung, takut nanti dia terbuai dengan pujian orang. Angah, hazim, hasif sudah pernah dapat keputusan rendah. Kegagalan awal tu yg buat kami kuat di UIA ni. Tapi adik belum pernah merasa semua tu. Macam mana kalau dia berdepan dengan cabaran belajar di u nanti." Anak kedua saya, Hanafi, menyuarakan kerisauannya terhadap adiknya yang baru saja menerima keputusan SPM.
Dia sangat mengambil berat tentang adiknya2.
Dia tak pernah jemu melawat adiknya di asrama pada hujung minggu untuk mengajar si adik apa saja yang diminta tunjukkan. Walaupun memilikki imej sebagai abang yang garang tetapi si adik masih bergantung dengan tunjukajar abang. Itulah yang dilakukan kepada keempat2 adiknya. Namun si adik yang seorang ini selalu membuat dia cemas kerana harapan yang begitu tinggi diletakkannya. Ditambah lagi dialah satunya2 adik perempuan, begitu ‘fragile’
dan masih manja
.
Saya memahami perasaannya yang selalu mendengar cerita2 masalah remaja. Dia takut adik mula minta izin keluar sendiri sedangkan selama ini si adik masih akur kalau keluar mesti ditemani oleh salah seorang abang utk jadi bodyguard. Sekarang adik sudah tamat sekolah menengah dan sudah tentu ingin merasa
kebebasan. Dia takut adik terpengaruh dengan kawan2 yang salah.
Remaja yang berjaya dalam pelajaran belum tentu terlepas dari masalah. Ramai remaja terperangkap dalam kehidupan kerana mereka tidak tahu bagaimana menguruskan kejayaan atau kegagalan apabila berdepan dengan salah satu darinya.
Semasa dalam perjalanan mengambil keputusan, dia tidak jemu menasihatkan adiknya, "Kalau syakirah berjaya, kena bersyukur banyak2. Kalau gagal terima
dengan baik. Syakirah ada keluarga untuk membantu."
Saya cemas dengan pencapaian anak. Anak cemas dengan pencapaian adik dan si adik cemas dengan pencapaiannya sendiri.
Cemas menerima keputusan SPM sudah berlalu. Kini disambung pula dengan rasa cemas menunggu univ. mana yang dapat. Seolahnya2 cemas dan harap itu tiada hentinya dalam kehidupan kita.
Gagal atau berjaya itu mempunyai implikasi yang besar dalam kehidupan seorang remaja.
How to manage success?....bagaimana menguruskan kejayaan?
Satu persoalan yang jarang kita fikiran. Kejayaan memerlukan kemahiran tertentu untuk menguruskannya. Ramai remaja terperangkap dalam hal ini. Mereka belum cukup dewasa untuk melakukannya sendiri dan memerlukan bantuan ibubapa dan orang sekeliling agar tidak tersasar sehingga memusnahkan kehidupan.
Pujian2 orang sewaktu kita berjaya tidak membawa kemana2 sekiranya tidak disandarkan kepada Allah yang menganugerahkannya. Kutukan orang apabila kita gagal belum tentu menjadi pemusnah kepada segalanya2.
Hebatnya Allah, kedua2 kejayaan dan kegagalan yang dianugerahakan kepada manusia itu sifatnya adalah sementara dan ia ikut berpusing dalam roda kehidupan. Tiada kejyaan yang kekal dan tiada kegagalan yang kekal.
Berjaya atau gagal adalah hak mutlak Allah dan kita tidak boleh mendesak Allah untuk memberikannya kepada kita.
Kita selalu terlupa bahawa kejayaan itu mungkin saja rahmat atau semata2 ujian Allah. Menghadapi ujian kejayaan sebenarnya lebih sukar berbanding dengan ujian kegagalan. Sifat semulajadi manusia biasanya akan bersungguh2 mencari Allah ketika dalam kesusahan. Dalam kesusahan kita akan berdoa dan berdoa meminta padaNya sepanjang masa, sambil berdiri, sambil duduk malah semasa berbaring.
Tetapi semasa menerima kejayaan, syukur kita padaNya hanya seketika dan waktu2 yang selebihnya kita mengizinkan syaitan menyelubungi perasaan dengan riak dan takabur tanpa kita sedari.
Sewaktu kita dibuai riak itulah, iblis menokok tambah agar kita terus terjerumus ke lembah kesesatan.
Orang yang dianggap hebat oleh orang lain akan kerugian kerana ilmu dan pengajaran akan menjauhinya....kenapa? Kerana orang lain tidak berani menegur kesilapannya dan tidak mahu memberi pengajaran kerana statusnya sebagai orang hebat. Kerana perasaan hebatnya, apa yang dilakukannya seolah2 tidak ada penghalang. Mereka akan terus bersendirian tanpa dibimbing oleh orang yang lebih tahu.
Remaja yang tidak terbimbing akan tersasar dan berdepan dengan kehancuran dalam kehidupan seterusnya. Mereka gagal berkomunikasi dengan orang lain dengan baik. Yang lebih buruk lagi ialah apabila mereka gagal berkomunikasi dengan Allah . Mereka tidak tahu bagaimana mensyukuri kejayaan dengan sebaiknya2.
Sekiranya sifat itu dibawa sehingga dewasa, maka apabila menjadi ketua dia akan menjadi ketua yang tidak berhati perut. Apabila menjadi ibubapa mereka menjadi ibubapa yang kaku dengan anak2. Apabila hidup berjiran, mereka akan menyakiti hati jiran2. Semuanya kerana mereka gagal merasa perasaan dan degup jantung orang lain. Inilah yang sering dilakukan oleh eksekutif2 muda yang terlalu cepat berjaya.
Sewaktu berjaya cuba pastikan:
- Sudahkah kita mengingatkan diri bahawa semua itu adalah milik Allah yang boleh ditarik balik pada bila2 masa?
- Sudahkah kita melakukan kesyukuran yang sempurna pada Allah?
- Sudahkah kita berterima kasih kepada mereka yang membantu kita, terutama ibubapa dengan cara mendoakan mereka?
- Sudahkah kita menutup pintu2 riak?
- Sudahkah kita mengingatkan diri bahawa disebalik setiap kejyaan itu ada amanah yang perlu dilaksanakan?
- Sudahkah kita merendahkan hati agar semua orang merasa selesa untuk menasihati kita?
- Sudahkah kita cuba membantu orang lain pula untuk berjaya?
- Sudahkah kita bertindak untuk meningkatkan ibadah padaNya?
- Sudahkah kita sedia untuk diuji dengan kegagalan pula selepas ini?
Kalau sudah..... bermakna anda sudah bersedia untuk kejayaan demi kejyaan.
Menguruskan kegagalan?
Menguruskan kegagalan sudah tentu memerlukan kemahiran yang lebih tinggi lagi.
Remaja ertinya golongan yang kemampuan berfikirnya tentang kehidupan masih bertaraf fikiran kanak2 tetapi keinginannya sudah seperti orang dewasa. Baginya kegagalan adalah suatu yang memalukan dan menjatuhkan harga diri. Demi untuk memulihkan kembali harga diri, tanpa bimbingan yang sempurna, mereka akan melakukan apa saja agar dipandang hebat di mata rakan2 sebaya.
Bagi mereka apabila gagal dalam pelajaran, harga diri mereka sudah jatuh di mata keluarga dan tidak mungkin dipulihkan. Alang2 sudah dipandang rendah, biarlah orang tua terus kecewa asalkan rakan2 masih mengiktiraf mereka dengan kehebatan2 yang lain seperti menjadi penghisap rokok terhebat, gaya rambut terhebat atau seluar jeans terhebat walaupun dibeli dari kedai bundle. Lebih jauh dari itu mereka menjadi penghisap dadah terhebat dan mat rempit terhebat.
Siapa yang biasanya kita salahkan? Kita tidak mampu menghalang dunia hiburan yang menyesatkan kehidupan anak2 kita kerana ruang media yang tanpa batas ini. Namun usaha2 yang berterusan dengan memastikan anak2 tetap berkomunikasi dengan kita tanpa ragu2 harus dilakukan.
Apa yang akan berlaku pada kita 10 atau 20 tahun lagi sudah tidak penting. Tetapi apa yang akan berlaku pada anak2 kita 10 atau 20 tahun lagi itulah yang sebenarnya lebih penting.
Bantu anak2 menguruskan kejayaan mereka dan jangan biarkan mereka menguruskan sendiri apabila menghadapi kegagalan.
Kegagalan itu sebenarnya hanyalah kejayaan yang ditangguhkan buat sementara waktu.
Apabila kita gagal:
Sudahkah kita memujuk hati supaya redha denganNya dengan cara yang sempurna?
Sudahkah kita meyakini bahawa ini adalah hanya untuk sementara sebagai ujian Allah untuk kita meningkatkan usaha?
Sudahkah kita mendapat bantuan dari orang yang lebih dewasa,berpengalaman dan berilmu untuk mendapat nasihat?
Sudahkah kita membuat rangkakerja selanjutnya untuk bertindak?
Sudahkah kita berusaha untuk menyelidikki punca kegagalan dan mengatasinya selepas ini?
Sudahkah kita memohon maaf kepada orang2 yang pernah kita sakiti, terutama ibubapa?
Sudahkah kita bersedia untuk meningkatkan ibadah?
Sudahkah kita bersedia untuk diuji lagi?
Kalau sudah bermakna anda sudah sedia untuk berjaya.
Mulakanlah langkah menuju kejayaan dengan lafaz Bismilah dan hatilah2 supaya setiap langkah kita tidak menyakiti sesiapapun termasuk semut yang kecil.
Dengar dan sahutlah panggilan azan setiap 5 waktu kerana di dalamnya ada jemputan Allah untuk kita berjaya.
"Haiya 'alal falah" .....marilah menuju kejayaan.
Azan dilaungkan dari rumah Allah yang mulia maka berjalanlah ke sana untuk mencari kejayaan apabila dipanggil tanpa berlengah2. Ia adalah panggilan Allah pemilik kejayaan yang kita inginkan itu.
Kejayaan yang sempurna ialah apabila usaha dilakukan penuh ikhlas dan meletakkan diri dalam genggaman Allah sepanjang masa.