Di medan jihad ini


posted by Martinelli Hashim

3 comments


Rasa terharu melihat masih ramai mahasiswa berjiwa emas, sanggup mengorbankan masa untuk melakukan kerja-kerja kebajikan dan dakwah. MasyaAllah.

Dalam sesi bersama sekumpulan mahasiswa  dari Kelab JKQ malam tadi, saya katakan kepada mereka,
·  Lakukan yang terbaik apabila menerima amanah. Usah sia-siakan amanah sebagai pelajar dan usah sia-siakan amanah sebagai ummat Muhammad saw. Bantu mereka yang memerlukan kerana mereka juga ada hak atas kita. 

· Medan jihad kita adalah di sini dan ketika ini. Medan juang mempertahankan  aqidah nak-anak muda di luar sana yang sedang berada diambang kehancuran. Turunlah ke medan ini dan selamatkan mereka. Kalau bukan kita siapa lagi. 

·        Usah terkilan melihat mereka yang sibuk berseronok menikmati habuan dunia sedangkan kita sibuk meniti keperitan membanting tulang membantu orang lain. Pengorbanan masa, tenaga dan nikmat dunia demi agama bukan sedikit ganjarannya dari Allah. Di padang masyar nanti akan ada sekumpulan manusia yang sedang bersenang-lenang pada saat orang lain  sibuk mencari perlindungan dari huru-hara masyar. Mereka adalah orang-orang yang semasa di dunia sibuk  membantu orang lain  pada masa orang lain sibuk mencari nikmat dunia. Moga kita layak berada dalam kumpulan itu. 

·   Ummah memerlukan pemuda yang punya semangat tinggi untuk jadi jurubicara mereka dan membawa obor perubahan.  

·        Masa untuk menabur budi adalah pada semasa badan masih sihat, tenaga masih kuat, masa masih lapang.....masa itu adalah sekarang, bukan besok atau lusa menunggu ilmu penuh di dada atau masa yang lebih lapang. 

·     Orang paling banyak masa adalah orang yang paling sibuk melakukan kerja-kerja kebajikan. Usah menunggu masa lapang datang menggolek kerana masa itu terus berlari dan kita tidak akan mampu mengejarnya. Sedikit masa lapang yang singgah dalam hidup kita pergunakan sebaiknya supaya dia singgah lagi lebih kerap. 

·        Waktu kita lahir kita diazan/diiqamatkan. Apabila mati kita disolatkan. Hidup kita hanyalah sependek antara azan/iqamat dan solat. Begitu pendek untuk disia-siakan sedangkan tempoh masa yang pendek di dunia inilah penentu nasib kita di akhirat yang masanya tidak berpenghujung. 

·        Jagalah solat kerana itu adalah sebaik disiplin diri dalam menguruskan masa dan diri. Solat adalah kunci kepada kejayaan yang punya barakah. Solat penguat jiwa dan badan orang berjuang. Orang yang solat diawal waktu akan merasa nikmat seolah-olah diberi tambahan masa oleh Allah. 

·     Jagalah al-Quran sementara semasa kita masih memilikinya. Al-quran milik Allah yang dipinjamkan. Sampai masanya ia akan diangkat ke langit dan kita tidak mampu menariknya semula. Tanamkan kitab suci ini di dada anak-anak muda kerana ia adalah benteng paling kukuh bagi mempertahankan dari keganasan dunia."
Sesi berakhir selepas 11 mlm dan diteruskan dengan perbincangan merangka projek baru...."QUR'ANIC MENTORING" oleh kelab JKQ untuk remaja di perumahan guru dan perumahan polis. Doakan mereka berjaya.

Sebagai mujahid mereka akur,  medan ini tidak menjanjikan jalan yang mudah atau ganjaran dunia. Medan ini hanya layak untuk mereka yang meletakkan diri mereka sentiasa dalam genggaman Allah. Mereka punya hati dan jiwa yang bersih dari sebarang penyakit yang merendahkan martabat insani. Tiada tamak, tiada dengki dan tiada iri hati. Yang dibangun adalah ummatic victory , yang dicari adalah redha Ilahi. Bukan kepentingan peribadi, bukan pula untuk kumpulan sendiri. Tidak takut dan tidak taasub kepada sesiapa kerana mereka tahu itu bukan yang diajar Rasulullah saw.

Di medan jihad ini adakalanya mereka akan kesunyian dari kawan-kawan. Adakalanya rakan-rakan seperjuangan mengundur diri meninggalkan mereka terkapai-kapai di tengah jalan. Mereka akur itu adalah proses tarbiyyah yang tinggi nilainya. Kesunyian dari manusia adalah untuk memberi ruang buat mujahid mendekatkan diri  kepada Rabbujalil, Kekasih yang sangat agung cintaNya.

Di medan ini kita akan merasa nikmat yang tidak terucap dengan kata-kata. Badan mungkin letih, saku mungkin tipis, namun di hujungnya nanti mujahid akan tersenyum bangga melihat tapak-tapak yang sudah ditinggalkan dan budi yang sudah ditaburkan. Tiada sijil tiada anugerah. Yang pasti semua akan tercatit di buku agung yang bakal diserahkan sebagai bukti di Mahkamah Allah nanti.


                                               


3 comments

  1. Anonymous
  2. Anonymous

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai