Saya Pilih Awak Sebagai Suri Hidup Saya


posted by Martinelli Hashim on

No comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ 


“Saya pilih awak sebab saya rasakan awak adalah gadis yang terbaik untuk  menjadi suri dalam hidup saya dan ibu kepada bakal zuriat saya. Saya mahukan seorang isteri  seperti  Siti Khadijah. Saya mahu  awak menjadi ibu yang berjaya mendidik anak-anak saya nanti.”

Ayat biasa yang digunakan oleh lelaki semasa mengayat bakal isterinya. Gadis mana yang tidak bahagia dipuji begitu apalagi yang berkata adalah pemuda idamannya.

Mungkin saja dia akan menjawab, “Kalau saya seperti  Siti Khadijah, mampukah awak penyayang seperti Rasulullah saw? Kalau saya mendidik anak, mampukah awak memimpin saya menjadi isteri yang solehah?”

Apakah yang kita lakukan semasa memilih pasangan hidup? Apakah  yang kita lakukan setelah kita menerimanya ? Yang paling penting, apakah yang kita lakukan untuk menjadi pasangan yang baik di mata Allah untuk orang yang kita pilih itu? 


Firman Allah kepada kita:
 Wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji dan laki-laki yang keji adalah untuk wanita yang keji. Sedangkan wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita yang baik..........". [Surah al-Nur, ayat 26] ۚ
Setelah kasih terbina sudahkah kita memastikan sekurang-kurangnya 4  batas terjaga agar nanti doa kita tidak terhadang untuk sampai kepada Yang Maha Pemberi?

  1. 1.     Batas aurat
  2. 2.     Batas pergaulan
  3. 3.     Batas masa
  4. 4.     Batas bicara

Batas-batas ini pendinding dosa, pelindung jiwa, pengukuh hati kepada Ilahi. Melanggar batas-batas ini akan membawa kepada tercabutnya barakah dan jauhnya redho Allah. Bagaimana mungkin bahagia akan dikecap tanpa barakah dan redho dari Yang Maha Esa?


MEMPERBAIKI DIRI MENCAPAI IMPIAN


Impian indah.... tetapi pernahkah kita merangka strategi  untuk menjadikannya suatu realiti. 


Apakah setiap pertemuan dengan si dia adalah pertemuan kerana Allah agar perpisahan nanti jugalah adalah perpisahan kerana Allah.Di antara peretemuan dan perpisahan di manakah kita letakkan Allah?


Apakah setiap kata-kata kepada kekasih  telah ditapis oleh akal dan budi yang terpimpin oleh syar'ie agar ia terlepas dari dosa?  Ingatlah, yang paling ramai di dalam neraka nanti adalah mereka yang tidak menjaga lidahnya

Sekurang-kurangnya ada 7 proses yang perlu kita lakukan untuk mencapai impian menjadi insan yang baik.

  1. 1.     Meneroka
  2. 2.     Memerhati
  3. 3.     Memahami
  4. 4.     menilai
  5. 5.     Memilh
  6. 6.     Mengaplikasi
  7. 7.     Meletakkan sabar dan tawakal atas segala usaha


Meneroka
Perancangan tidak akan sempurna tanpa maklumat dan ilmu yang cukup. Ilham dan ilmu tidak mungkin datang begitu saja tanpa kita meneroka dan mencarinya. Terokalah kehidupan dengan cara yang baik demi mendapat ilmu dan maklumat untuk digunakan bagi mencapai impian. Alam yang luas terbentang penuh dengan pengajaran. Teroka dengan nama Allah agar ilmu yang ditemui adalah ilmu yang benar.

Memerhati
 Perhatikanlah apa yang ditemui  dengan persiapan hati yang bersih, mata yang tajam dan telinga yang sedia mendengar. Adakalanya kita terpaksa mendengar kata-kata yang memedihkan telinga dan melukakan hati, namun teruskanlah memerhati. Perhatikan dengan nama Allah agar penglihatan kita tidak dikaburi oleh kesesatan.

Memahami
Fahamilah rahsia disebalik sesuatu kejadian. Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia untuk makhlukNya. 

Menilai
Hebatnya akal manusia adalah kerana kita mempunyai akal yang tajam  untuk menilai apa yang dilihat, didengar dan dirasa. Nilai sesuatu itu dengan adil dan saksama kerana adil sesaat itu lebih baik dari tahjjud sepanjang malam.

Memilih
Hati yang bersih menjana akal untuk membezakan yang baik dan yang buruk bagi dirinya lalu memilih yang mana yang perlu diambil  sebagai pengajaran  dan yang mana perlu dibuang dan dijauhkan sebagai I’tibar.( to learn and to unlearn) Letakkan Allah di depan agar pilihan kita adalah pilihan yang terbaik dan diredhoi.

Mengaplikasi
Sesuatu pengajaran akan hilang begitu saja tanpa dipraktikkan segera. Betulkan yang biasa dan biasakan yang betul.

Meletakkan sabar dan tawakal atas segalanya
Inilah proses yang paling susah untuk dilaksanakan oleh mereka yang bercinta dan lebih mencabar lagi buat suami isteri yang baru mendirikan rumahtangga. Sabar dan tawakal itu kunci ke syurga. Tidak mungkin iblis gembira kalau kita memilikinya. Berbicaralah dengan Allah dengan zikir dan istghfar agar kita mampu memegangnya dengan erat.

Sebelum sah menjadi suami isteri... 
sabarkah kita menghindarkan diri dari zina mata, zina telinga dan zina hati apatah lagi zina sebenar?

Mampukah kita mengatakan tidak apabila dirayu oleh kekasih?

Setelah menjadi pasangan yang sah,

Sabarkah kita menghadapi realiti yang sangat jauh dari apa yang kita bayangkan sebelum ini?

Mampukah kita menahan segala keinginan yang tidak mampu kita miliki kini?

Sanggupkah kita bersabar dengan kekurangan yang ada pada pasangan kita?

Berapa kerapkah kita bersyukur kerana mendapat pasangan yang baik?

Berapa kerapkah pula kita bersungut dan berkeluh kesah dengan ujian yang menimpa?


Berapa kerapkah kita memohon ampun sehari-semalam?


Berapa kerapkah kita berselawat kepada junjungan Rasulullah s.a.w?


Senarai soalan ini akan semakin sepanjang kerana nikmat Allah itu tidak terhitung banyaknya dan dosa kita tidak terukur jumlahnya.

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai