DENDAM SEORANG GADIS SUNTI


posted by Martinelli Hashim

1 comment

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
Sebuah lagi kisah pengalaman peribadi saya semasa membantu penghuni sebuah pusat pemulihan akhlak. Munghkin ia boleh dijadikan i'tibar untuk kita semua yang punya anak gadis atau adik perempuan yang masih remaja.
Beginilah kisahnya;


Selepas sesi motivasi pagi itu di rumah Pemulihan Akhlak bawah umur, saya 
memberi peluang remaja-remaja itu meluahkan perasaan mereka. 


"Saya  tak pernah terfikir saya akan berada di rumah ini. Saya tahu mak dan abah sedih punya anak macam saya." Kata Ina (bukan nama sebenar) memulakan ceritanya.


Sengaja saya duduk dilantai bersama mereka untuk mewujudkan suasana santai. Kawan-kawannya yang lain turut mendengar dengan penuh perhatian. Dalam kepala masing-masing mungkin sedang merangka bagaimana untuk bercerita apabila 'Ibu Neli" memanggil namanya nanti.


"Ini semua sebab saya tercabar dengan kutukan kawan-kawan. Mereka kata muka saya hodoh, mana ada 'balak' nak dekat saya. Saya tak puas hati. Saya nak bagi tahu semua orang yang saya pun boleh cari 'balak' sebanyak mana saya suka," Kata Ina dengan menggunakan bahasa kasar remaja yang seangkatan dengannya. 

Saya sudah membiasakan diri dengan istilah-istilah itu sejak berkecimpung dengan kerja da'wah mendekati remaja.


"Suatu hari saya keluar rumah tak bagi tahu mak ayah. Saya dah target tempat balak-balak biasa berlonggok. Sengaja saya pakai baju seksi masa itu. Masa saya melintas depan budak-budak tu, masing-masing mulut ternganga tengok saya. Saya datang dekat dorang. Apalagi, buaya mana nak lepaskan bangkai depan mata. Salah seorang dari budak-budak tu ajak saya naik motor. Saya terus naik. Dia ajak saya ronda-ronda sampai malam. Bila dah penat saya minta dia bawa saya balik ke rumah. Saya takut kena marah dengan ayah. Tapi dia bawa saya ke rumah sewanya. Dia kata biar rehat-rehat dulu. Nanti dia bawa balik." Suara Ina mula terputus-putus. 

Saya cuba memberi sokongan moral dengan menggenngam tangannya.


"Saya tak sangka rupanya dia dah beritahu kawan-kawanya yang lain yang saya akan jadi habuan mereka malam tu. Lepas dia rogol saya, Kawan-kawanya yang lain kerjakan saya ramai-ramai. Saya meraung sakit tapi dorang semua ketawa." Airmata Ina mula jatuh.


"Saya balik ke rumah. Saya pasang dendam. Saya nak kawan-kawan yang pernah ejek saya rasa apa yang saya rasa. Lepas kejadian tu saya kenalkan seorang demi seorang kawan saya pada jantan tu. Saya rasa puas," Sambung Ina.


"Jadi macam mana Ina boleh masuk ke sini?" Tanya saya.


"Lepas kejadian tu saya dah tak kisah siapa-siapa yang nak rasa tidur dengan saya. Jantan tu jadi balak saya tapi dia bagi juga kawan dia tidur dengan saya. Mungkin ada orang laporkan pada polis, satu hari saya kena tangkap tengah buat projek dengan balak saya. Tapi balak saya dapat lepas." Ina meneruskan cerita.


Ina seorang gadis berumur 17 tahun yang terperangkap dalam dunia remaja tanpa bimbingan sempurna. Ina tidak mempunyai hubungan mesra dengan ibunya sebagaimana lumrahnya anak-anak remaja Melayu. Apabila saya bertanya apakah dia mahu kembali ke pangkuan ibubapa dian hanya menggeleng kepala. 


Dari riak wajahnya ada kemungkinan dia akan meneruskan aktivitinya selepas keluar nanti. Saya hanya mampu berdoa agar Ina dapat kembali ke pangkal jalan.


Sebelum pulang saya sempat memujuknya,"Ina, Ina tak hodoh. Ina cantik sebab itu budak-budak tu ambil kesempatan dengan Ina. Masa itu Ina bukan diri Ina yang sebenar dan Ina terlajak tanpa ada orang yang cuba betulkan. Ina ada mak ada ayah yang sayangkan Ina. Yang penting Ina masih ada Allah yang boleh bantu Ina kalau Ina bertaubat. Ibu yakin jauh dalam hati Ina, Ina seorang remaja yang baik yang tak mahu semua benda tu berlaku. Ina masih belum terlambat. Rajin-rajinlah dengar apa ustazah cakap. InsyaAllah Ina akan berjaya."


Kisah ini sudah lama berlaku dan saya tidak tahu bagaimana kehidupan Ina sekarang. 


Secara tiba-tiba saya teringat kembali kisah ini beberapa hari sebelum Hari Raya sewaktu menunggu suami mengambil saya dari klinik gigi di Greenwood. Masa itu jam lebih kuarang 10 malam. Sekumpulan anak muda Melayu lelaki perempuan sedang berseronok berbual dengan bahasa yang mereka saja yang faham. Seorang anak gadis dengan T-shirt pendek menampakkan pusat dan dada separuh terdedah dikepit oleh pemuda yang kusut masai lagak penagih dadah. Tangan lelaki itu dibiarkan saja menyelusuri badan gadis itu tanpa segan silu. AstaghfirulLahil 'Azim, sedang ummat Islam sibuk mencari Lailatul Qadar anak-anak muda ini sibuk mencari maksiat.


Berikanlah mereka hidayahMu ya Allah. Mereka adalah anak-anak Melayu beragam Islam. Masukkanlah kembali iman yang sudah tercabut dari mereka. Lindungilah keluarga kami dari terlibat dengan maksiat seperti ini. Ya Rabbi, berikanlah kami kekuatan untuk membantu mengubah semua ini. Janganlah masukkan kami ke dalam golongan yang tidak menjalankan tanggungjawab kepada agamaMu.

1 comment

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai