Rambut ’blond’ Pipi Licin
Martinelli Hashim
”Wei....bangun, bangun kita dah sampai” Suara Zaidi membangunkan teman-temannya yang terlelap dalam bas.
Suasana di luar masih seperti suasana biasa di Kemboja yang panas dan kering. Mentari April mencipta pesta debu di mana-mana. Kerisauanku tertunpu kepada Dr. Aldila yang menghidap resdung. Tapi nampaknya beliau masih tetap bersemangat
Rombongan kami seramai 20 orang pelajar dan 7 orang kakitangan UIAM akhirnya tiba di halaman rumah Tuan Hj. Musa, imam Kampung Dam Sebai di Battambang. Perjalanan sejauh lebih kurang 120 km dari dari Lapangan Terbang Siem Reap ke kampung ini mengambil masa selama empat jam. Kami bertuah kerana mendapat bas yang baik kondisinya walaupun sewanya berganda disebabkan waktu ini adalah musim perayaan tahun baru penganut Budha.
“Mereka kata jumlah sewa bas pergi balik dan termasuk perjalanan ke Tonle Sap adalah dalam USD900. Cukup tak bajet kita, Faz.” tanya saya kepada Fazlina, pegawai pengurusan kami yang memiliki Ijazah Pengurusan Koporat yang cukup cekap menjalankan tugasnya.
”No problem ” Jawabnya ringkas
”Bagus, yang penting kita dapat bergerak dalam keadaan yang selamat” Kata saya lagi.
Kami turun dari bas dengan disambut oleh keluarga Tuan Hj. Musa dan orang-orang kampung. Huluran salam antara kami dan mereka memulakan perkenalan pertama yang akhirnya mencipta ukhwah Islamiyah antara dua bangsa satu aqidah. Mungkin sudah menjangka kami keletihan, Tuan Hj Musa membahagi-bahagikan air mineral sejuk yang diambil dari gerai anak perempuannya bersebelahan dengan tempat kami berehat.
Sambil menyediakan makanan, wanita-wanita Kemboja yang menyambut kami sempat juga menjawab pertanyaan-pertanyaan orang-orang Malaysia yang peramah ini. Komunikasi kami dibantu oleh Filin, gadis Kemboja yang pernah bekerja di Malaysia.
Kanak-kanak kecil dan besar turut mengelilingi kami dengan wajah-wajah mulus yang bersih dari dosa. Ahli-ahli rombongan yang sejak awal sudah dipesankan untuk menyediakan gula-gula di kocek sepanjang masa, sudah memulakan operasi pertama mereka dengan menghadiahkan gula-gula pada kanak-kanak yang datang mendekati mereka.
”Filin, kenapa orang-orang perempuan kat sini awet muda semuanya. Pipi mereka semua licin. Mereka pakai apa?” tanya saya.
Sya sejak tadi memang terpukau memerhatikan wajah-wajah bersih wanita Kemboja yang hidup tidak semewah orang Malaysia dan udara tak sebersih udara Malaysia.
” Bukan itu saja, bu. Tengok budak-budak tu, semua rambut ’blond’.” Sampuk Sha yang turut menjadi pemerhati sejak tadi.
Su, yang duduk disebelah saya turut menyokong soalan teman baiknya melaui riak wajah yang penuh tanda tanya.
”Budak-budak tu kebanyakannya kurang zat termasuk zat untuk hitamkan rambut. Tapi mungkinlah yang terlebih ’blond’ tu pakai pewarna rambut” Prof. Arif memecahkan kebuntuan Sha.
”Orang kat sini tak pakai mekap. Mana ada duit nak beli mekap. Sebab tu muka dia orang tak rosak” Jawab Filin.
“Tapi mungkin juga sebab debu yang secara tak langsung mencuci kulit mereka. Kan Rasulullah s.a.w dah kata debu itu suci dan menyucikan.” Tambah saya dengan hipotesis sendiri.
“Kalau macam tu jom kita bawa debu Kemboja balik Malaysia untuk buat perusahan bedak. “ Atiqah tiba-tiba bersuara dari belakang.
Wah bagus jugak cadangan gadis comel yang baru tahun pertama Kuliyyah Sains ini. Tapi yang pastinya wajah-wajah berpipi licin dan rambut ‘blond’ inilah yang jadi sahabat kami sepanjang seminggu rombongan UIAM di Kampung Dam Sebai yang penuh dengan kenangan manis itu
posted by Martinelli Hashim
salam Madam.. terharu saya madam letak nama saya kat awal sekali.. thanks madam. papepun, saya kt 'sini' madam.. www.zedpro.blogspot.com. thanks ibu..!!!