Rindu Si Kecil Pada Ibu Yang Sudah Tiada


posted by Martinelli Hashim

No comments



بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
Senyum Si Kecil
Oleh; Martinelli Hashim

“Ibu, ramai lagi yang datang, sempat ke kita habiskan hari ni?” tanya Jaja.

Jaja yang memanggil saya ibu sebagaimana kawan-kawannya lain agak risau atas kemampuan pasukan perubatan kami mengkhatankan anak-anak Kemboja yang datang berduyun-duyun ke pusat operasi berkhatan di Kampung Dam Sebai. Apa tidaknya pasukan ini hanya terdiri dari dua orang doktor, seorang pelajar perubatan dan dua orang pelajar kejururawatan sedangkan yang datang beratus-ratus orang.

Sudah tiga hari kami di sini menjalankan misi kemanusiaan. Dr. Dinon ketua Pusat Kesihatan UIAM berjaya memujuk Prof Arif bersama-sama dalam misi ini. Walaupun sudah bertahun-tahun tidak membedah orang, apalagi mengkhatankan kanak-kanak, pakar bius Kulliyyah Perubatan UIAM ini teruja untuk memberi khidmat khatan yang amat bermakna bagi orang Islam Kemboja.

”Entahlah, Prof. Arif nampak dah berpeluh-peluh. Dari pakai t-shirt masuk ke dalam sekarang dah tinggal baju Pagoda gaya Tok Mudin kampung. Dr. Dinon dah keluar bayangan Dr. House di wajahnya.” Jawab saya yang singgah di meja pendaftaran berkhatan kendalian Jaja dan Qadir.

Di sebelah kanan saya sebaris anak-anak yang berumur antara 4 hingga 12 tahun sedang menunggu giliran untuk dikhatankan. Tidak sedikitpun riak cemas di wajah mereka. Tidak jauh dari situ sekumpulan kaum ibu duduk bersimpuh menemankan anak masing-masing menjalani proses wajib setiap anak lelaki Muslim. Cuaca panas terik dan udara berdebu tidak memberi keresahan langsung pada mereka. Sesekali ada yang pergi menghampiri anak untuk memberi perangsang.

Terbayang pengalaman sayasemasa menghantar 3 orang anak lelakiku ke Kampung Baru Medical Centre 12 tahun yang lepas. Hospital berhawa sejuk dan peralatan perubatan yang canggih tapi resah saya seolah-olah hendak menghantar anak ke medan perang. Waktu itu, Hanafi, anak kedua kami menakut-nakutkan dua orang lagi adiknya tentang sakitnya berkhatan. ”Tahu, tak, nanti doktor guna kapak potong burung kita” katanya dalam kereta semasa dalam perjalanan ke hospital.

Lagak beraninya terhenti apabila doktor memanggil namanya masuk. Dengan suara terketar-ketar dia menyuruh salah seorang adiknya yang masuk dulu.

Waktu itu satu demi satu anak saya kucup dahinya untuk memberi semangat. Dalam hati tak putus berdoa agar Allah mengurangkan rasa sakit dari mereka. Tapi itu cerita lama yang bayangannya kini bermain kembali apabila melihat anak-anak Kemboja Islam berkhatan di depan mata  dalam suasana serba kekurangan.

Perasaan saya terusik kerana hanya sebahagian saja ibu-ibu yang datang menemani anak-anak mereka. Sebahagian besar dari anak-anak itu datang sendirian. Ada yang datang dari kampung sejauh dua kilometer dari tempat opersai kami. Kebanyakannya datang berjalan kaki atau menaiki sampan. Sudah tentulah pulang juga berjalan kaki selepas selesai berkhatan.

Tetapi yang lebih menyentuh perasasaan ialah apabila  diberitahu di kalangan kanak-kanak itu ada 3 orang anak yatim piatu. Dua orang sedang menunggu giliran dan seorang lagi baru naik ke atas pangkin yang dijadikan meja bedah.

Saya mendekati anak kecil yang berbaju lusuh dan kaki penuh debu di atas meja bedah itu. Dia menyerahkan dirinya kepada ’Dr. House’, gelaran yang saya beri kepada Dr. Dinon kerana wajahnya kadang-kadang macam orang yang tak rasa apa-apa bila pesakit menjerit kesakitan.

Sekarang wajah Dr. House sudah kembali ke wajah asalnya sebagai Dr. Dinon, seorang ayah yang pengasih. Sudah ada senyum di bibirnya sewaktu memegang anak itu. Mungkin Dr. Dinon sudah diberitahu budak itu adalah anak yatim piatu.

Seperti biasa, sambil memegang jarum suntik beliau akan bertanya kepada kanak-kanak yang berumur 5 tahun itu dalam bahasa Khmer ”cher, ot cher ( sakit, tak sakit)?”.

”Cher” jawabnya perlahan sambil mengerutkan muka tanda sakit.

Perasaan keibuan telah menggerakkan tangan saya mengusap lembut kepala kanak-kanak kecil yang sudah tidak mempunyai ibu lagi itu.

Saya menyuruhnya mengikut saya membaca bismillah, selawat dan zikir ” SubhanaLlah walhamduliLah wa LaiLlahailLaLlah walLahu Akbar”.

Dia akur mengikut alunan zikir itu sehingga proses ’pemotongan’ selesai. Oh Tuhan, bilakah agaknya kali terakhir dia merasakan sentuhan ibunya yang sebegini. Mungkin dia sendiri tak mengingati lagi. Sebelum dia bangun saya sempat menghadiahkan kucupan sayang padanya yang dibalas dengan senyuman puas walaupun masih ada yang tak dapat saya lakukan sebagaimana kebiasaan saya dengan anak sendiri.

Saya tak dpat memeluknnya sebab dia sudah terus berlalu tanpa saya sempat menyebut ”Ibu sayang kamu, nak”

Sambil merakamkan wajah si kecil itu di kepala,saya keluar untuk untuk mencari air kerana tekak sudah kering. Nun di balik sebatang tiang masjid, seorang kanak-kanak yang sedang memegang kain sarungnya memandang ke arah saya sambil melambai tangan dengan senyuman yang sama dengan senyuman sewaktu saya mengucup anak tadi. Rupanya si kecil itu menanti saya di luar tetapi malu untuk datang dekat. Rasa keibuan saya tercabar lagi. Bolehkah saya memeluknya?

Saya memaksa diri menahan keinginan itu kerana takut ia akan melukakan persaannya apabila saya terpaksa melepaskannya nanti. Maha kaya Allah yang menciptakan bahasa kasih antara insan yang tak terungkap dengan apa-apa bahasa ciptaan manusia. Bahasa kasih ibu yang dengannya kesakitan boleh bertukar menjadi nikmat.

Saya membalas lambaiannya dengan ucapan di hati ”Moga Allah merahmatimu, sayang”.

Dengan lagak malu-malu kucing Si kecil yang cuma beberapa minit dapat saya kenali menyorokkan dirinya kembali di belakang tiang. Mungkinkah ada lagi insan lain yang dapat memberikan kucupan kasih padanya selepas ini.

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai