Seorang mentor saya, ustaz Mokhtar Shafei pernah menasihatkan saya dan suami sewaktu anak-anak kami masih kecil dulu, katanya, "Cuba usahakan seboleh-bo;ehnya hantar sendiri anak ke sekolah sebab sepanjang perjalanan bersama anak banyak proses pendidikan dapat kita sampaikan." Kami ikut nasihat beliau dan alhamdulillah memang benar kata-kata beliau itu.
Sewaktu saya susah hati melihat kenakalan 3 anak lelaki saya yang sangat lasak, seorang sahabat memujuk saya,"Biarlah nakal macam manapun anak-anak kita, pastikan mereka tak tinggal solat" Saya pegang kata-katanya dengan mengawal ketat urusan solat anak-anak. Terbukti kata-katanya tepat sekali.
Semasa remaja, guru saya berkata, " Jangan percaya dengan cinta pertama kerana selalunya ia akan putus di tengah jalan sebab kita belum ada pengalaman menjaga hati kekasih." Kata-kata guru saya itu benar-benar berlaku, hati dilukai dan apabila saya bangun kembali saya berkata kepada rakan-rakan sebaya bahawa bercinta itu kerja bodoh kerana bukan saja mendekati dosa tapi menyiksa diri bila ianya gagal.
Semasa saya di universiti seorang sahabat menegur sikap saya yang menolak semua jejaka yang datang mendekati. Luka terlalu mendalam menutup hati untuk menerima kehadiran sesiapa pun. Sahabat saya itu berkata, "Neli, kalau kita menolak lamaran seorang lelaki yang soleh tanpa alasan syar'ie tunggulah malapetaka yang akan menimpa. Kalau menolak lamaran, tolaklah dengan baik dan penuh hikmah tanpa menyakitkan hati orang lain."
Disebabkan kata-kata sahabat itu akhirnya saya menerima lamaran teman sefakulti saya yang begitu sabar menunggu jawapan penerimaan saya. Selama 3 tahun dia cuba berusaha membuka hati saya tanpa jemu. Lelaki itu sekarang menjadi suami dan ayah yang baik pada anak-anak saya. Kami terus nikah walaupun masih belum tamat belajar. Cinta dibina selepas sah menjadi suami isteri dengan mengharungi suka-duka bersama membesar dan mendidik anak-anak yang menjadi permata jiwa.
Ia menyedarkan saya tentang cinta antara antara gender akan hanya dirasakan nikmatnya yang sebenar apabila ia diperlakukan dengan penuh tanggungjawab mengikut batas-batas yang sudah ditetapkan oleh agama.
Lima tahun lalu seorang pelajar bernama Rizal Rosli pernah datang ke pejabat saya dan berkata, "Kawan saya kata orang yang menjaga solatnya dengan baik, roh solat akan naik ke langit dalam keadaan harum semerbak dan bercahaya. Sampai di langit roh solat akan berdoa, ya Allah jagalah si polan ini sebagaimana dia menjaga aku. Tapi kalau orang yang tidak menjaga solatnya dengan baik, roh solat itu akan naik ke langit dalam keadaan yang busuk dan hitam legam. Sampai di langit roh solat akan berdoa, Ya Allah janganlah pedulikan si polan ini kerana dia tidak menjaga aku dengan baik. Maka sia-sialah hidup orang yang tidak dapat penjagaan Allah disebabkan dia tidak menjaga solatnya dengan sempurna."
Kata-kata Rizal saya pegang sampai sekarang walaupun saya tidak tahu sanadnya kerana meyakini bahawa solat adalah benar-benar penting untuk mengawal aktiviti kehidupan seharian kita.
Semasa saya di New Castle Upon Tyne, England, seorang kenalan berbangsa Inggeris bernama Margaret menyatakan dia mempunyai 8 orang anak. Saya agak terkejut kerana jarang kita berjumpa orang Inggeris punya ramai anak. Saya lebih terkejut melihat gambar 8 anaknya yang berbagai warna kulit termasuk bermata sepet. Rupanya 7 dari anak-anak itu adalah anak-anak malang yang dijadikan anak angkat. Usianya yang dalam lingkungan 60 tahun dipenuhi dengan kerja-kerja kebajikan membantu orang di pusat2 komuniti .
Apabila saya bertanya berapa dia dibayar, dia menjawab, "None".
Margaret menginsafkan saya tentang nilai kemanusiaan tidak bersandar kepada wang
Di tepi sebatang jalan di St Marco, Italy, seorang lelaki tua mengajar saya menghormati orang yang lalu-lalang apabila dia mengambil kertas tisu untuk membersihkan najis yang dilepaskan anjingnya agar orang lain tidak terpijak najis itu.
Di Masjidil Haram, Mekah, seekor anak burung mengajar saya tentang erti husnulzhan di hadapan kaabah selepas saya selesai tawaf wida'. Biasanya burung akan lari apabila kita mendekatinya. Tetapi anak burung yang anih itu berjalan perlahan-lahan mengelilingi saya seolah-olah bertawaf dan naik ke tapak tangan saya apabila saya menghulurkan tangan padanya tanpa rasa cuak.
Pengalaman hidup mengajar saya usah sedih dengan kutukan dan kebencian orang kerana banyak pengajaran yang bakal kita dapati darinya.
Jangan gembira dengan pujian dan sanjungan orang kerana itu hanya akan membawa kita menjadi lalai dan kemusnahan akibat riak.
Kalau anda yang membaca blog ini merasakan artikel ini berguna kongsikanlah isinya dengan orang lain agar kita sama-sama dapat pahala di bulan suci ini.