بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
(Artikel Maafkan Cikgu ini adalah hasil tulisan sendiri yang saya tulis di martinelli's blog pada tahun 2005 tetapi telah banyak di'copy-paste' oleh para blogger di blog masing-masing yang sebahagiannya mengaku tulisan mereka. Inilah tulisan asal sebenar)
MAAFKAN CIKGU
Saya sangat mengkagumi kerjaya sebagai guru sekolah. Saya pernah menjadi guru dan ia merupakan pengalaman yang amat indah. Sebuah kisah
yang saya tuliskan ini adalah dari kisah benar seorang guru beberapa tahun
yang lalu.
Ceritanya:
Saya mengajar di sekolah rendah di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.
Saya mengajar sesi petang. Salah seorang murid saya setiap hari datang lambat
ke sekolah. Kasut dan bajunya selalu kotor. Setiap kali saya bertanya tentang
baju dan kasutnya dia hanya berdiam diri.
Saya masih bersabar dengan keadaan pakainnya, tetapi kesabaran
saya tercabar dengan sikapnya yang setiap hari datang lambat. Pada mulanya saya
hanya memberi nasihat. Dia hanya menundukkan kepala tanpa berkata-kata kecuali
anggukkan yang seolah-olah dipaksa.
Kali kedua saya memberi amaran, dia masih juga mengangguk tetapi
masih juga datang lambat keesokannya. Kali ketiga saya terpaksa menjalankan
janji saya untuk memukulnya kalau masih lambat. Anehnya dia hanya menyerahkan
punggungnya untukdirotan . Airmata saja yang jatuh tanpa sepatah kata dari
mulutnya.
Keesokan harinya dia masih juga lambat, dan saya memukulnya lagi.
Namun ia masih tetap datang kesekolah dan masih tetap lambat
Suatu hari saya bercadang untuk mengintipnya ke rumahnya. Setelah
mendapatkan alamatnya, saya meneruskan niat saya. Dia tinggal di sebuah kawasan
setinggan tidak berapa jauh dari sekolah. Keadaan rumahnya sangat daif. Saya
nampak murid saya itu sedang berdiri di depan rumahnya dalam keadaan gelisah.
Seorang wanita yang mungkin ibunya juga kelihatan gelisah.
Lebih kurang pukul 1.30 seorang anak lelaki sedang berlari sekuat
hati menuju ke rumah itu. Sambil berlari dia membuka baju sekolahnya. Sampai di
depan rumah baju dan kasutnya diserahkan pula kepada murid saya yang terus
bergegas memakainya. Sebelum pakaian sekolah sempurna dipakai, dia sudah
berlari ke arah sekolah.
Saya kembali ke sekolah dengan penuh penyesalan. Saya memanggil
anak itu sambil menahan airmata yang mula tergenang.
"Maafkan cikgu. Tadi cikgu pergi ke rumah kamu dan
memerhatikan kamu dari jauh. Siapa yang berlari memberikan kamu baju
tadi?"
Dia terkejut dan wajahnya berubah
"Itu abang saya. Kami kongsi baju dan kasut sebab tak ada
baju lain. Itu saja baju dan kasut yang ada. Maafkan saya, cikgu."
Jawabnya.
"Kenapa kamu tak beritahu cikgu dan kenapa kamu biarkan saja
cikgu pukul kamu?"
" Mak pesan, jangan meminta2 pada orang, jangan ceritakan
kemiskinan kita pada orang. Kalau cikgu nak pukul serahkan saja punggung kamu.”
Sambil menahan airmata yang mula berguguran saya memeluk anak itu,
"Maafkan cikgu, ......."
Kejadian itu cukup menginsafkan saya. Selepas itu saya cuba
membantunya setakat yang mampu.”
Cerita-cerita begini membantu melembutkan hati yang keras. Saya katakan kepada anak-anak, sekiranya hati kita mula keras lembutkanlah dengan perkara-perkara berikut;
i. Solat sunat
ii. puasa sunat
iii. berzikir
iv. bersedekah
v. mengusap rambut anak yatim
vi. mendengar cerita2 kesusahan orang lain
vii. membantu orang susah
Moga anak-anak ibu terus berusaha menjadi manusia yang selalu membahagiakan orang lain kerana Allah berjanji akan menyayangi orang yang menyayangi orang lain keranaNya.