Aci Aci Buka Pintu.


posted by Martinelli Hashim

No comments

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
"Ayo.....aiyo....tolong..banyak sakit...!!!" Jeritan seorang wanita India yang sedang gelisah terbaring di atas katil Hospital Besar Kuala Lumpur. Wanita tua itu sendirian di situ. Tidak ada sesiapa mendekatinya. Dia terus-menerus meraung. Jururawat yang ada hanya membiarkan saja keadaannya.


Seorang gadis remaja belasan tahun berada selang dua katil dari nenek itu sedang menziarahi ahli keluarganya. Dia merasa tidak senang melihat keadaan itu.


"Orang tua ni entah bila nak berhenti menjerit..!" Rungut seorang jururawat yang lalu di depannya.


"Kenapa aci tu, kak?". Remaja itu bertanya kepada jururawat yang sedang berada di depannya.


"Dia sakit kencing manis. Orang lain pun sakit juga, tapi tidaklah melolong-lolong macam orang tua ni."


Tersentap telinganya mendengar jawapan jururawat itu. Perasaan belas mula menyelubungi hatinya. Dia pergi menghampiri orang tua itu. Perlahan-lahan dia mengusap rambut yang sudah putih yang kelihatan kusut masai. .


"Aci, kenapa menjerit2. Aci sakit, ya?" Dia bertanya sambil meletakkan tangan ke betis nenek tua itu. 


Kakinya kelihatan bengkak dan dipenuhi capok2 warna kuning. Rambut yang berminyak dan berbau serta kaki penuh kudis nenek itu tidak sedikitpun menjijikkannya dalam situasi begini.


Nenek itu berhenti meraung dan matanya memerhatikan saja remaja itu penuh hairan. Mungkin dia tidak percaya masih ada yang sudi mendekatinya. Usapan lembut tangan remaja ini mungkin berjaya menyentuh perasaannya. 


Sentuhan ikhlas dari hati yang tidak mengharapkan apa-apa.


"Aci tak ada anak ke? " Dia bertanya lagi.


"Saya ada satu anak laki-laki. Dia sudah kawin sama itu perempuan Melayu. Dia sudah masuk Islam. Sekarang dia sudah hilang. Dia tak pernah datang tengok saya. Itu celaka punya perempuan Melayu. Dia sudah ambil saya punya anak." Dia menghamburkan marahnya.


Remaja itu melayan saja cerita nenek itu. Dia dapat merasakan betapa nenek itu rindukan belaian anaknya. 


Apapun bangsa atau agama orang itu, bahasa rindu seorang ibu adalah sama saja di mana-manapun. Semua ibu inginkan perhatian anaknya di usia senja begini. 


Sentuhan kasih si anak adalah ubat yang amat melegakan segala kesakitan. Apalagi kalau sakit itu adalah sakit rindu.
Tetapi anak selalunya tidak faham erti rindu bagi seorang ibu.


Di dalam hatinya, si remaja terasa puas dapat melakukan sedikit kebaikan. Dia tidak tahu berapa lama aci itu dapat tahan bersabar. Namun dia yakin sentuhannya tadi dapat memberi sedikit kelegaan kepada nenek tua itu.


Di penghujung pertemuan itu nenek itu kelihatan tenang. Dia memegang erat tangan remaja itu sambil menahan air mata kerana terharu.


"Ayo, kalau perempuan macam awak kawin sama saya punya anak, saya tak jadi ini macam. Awak baik punya perempuan Melayu.. terima kasih...terima kasih." Dia bercakap sambil menyusun kedua tapak tangannya kepada remaja itu, gaya orang sedang menyembah.


Airmatanya terus mengalir.


"Aci, orang Indiakah, orang Melayukah....semua baik. Anak aci juga baik, isteri dia juga baik. Kalau anak aci masuk Islam dia tidak boleh buat jahat sama emak dia. Dia mesti jaga aci baik-baik. Aci buat baik sama dia, dia mesti balik punya. Aci jangan marah-marah, nanti dia baliklah. Aci doa sama tuhan, ya " Kata remaja itu sebagai ucapan memujuk.


Nenek itu terus tenang dan remaja itu meninggalkannya dengan penuh kasih. Kalaulah dipanjangkan lagi pertemuan itu mungkin saja nenek itu dapat diselamatkan 'aqidahnya.
Pintu hatinya mungkin saja dapat diketuk untuk menerima cahaya iman.
Kejadian itu membuat dia berfirkir:



  • Berbuat baik kepada orang lain tidak perlu ada batas bangsa dan agama
  • Sentuhan ikhlas terhadap orang yang kesedihan adalah amat tinggi nilainya.
  • Usah menghina orang lain walau bagaimana jijikpun keadaannya.
  • Kata-kata lembut lebih berkesan dari leteran.

Kisah itu sebenarnya adalah kisah saya sendiri pada tahun 70an. Remaja itu adalah saya. Saya masih ingat waktu itu saya memakai kain hitam berbunga merah dan blouse warna merah jambu serta tudung belit ke leher. Kenangan itu terpahat di hati saya sampai sekarang.


Kejadian itu rupanya diperhatikan oleh bapa saudara saya yang kemudiannya menceritakannya pada ayah.


"Eloklah Neli ini nanti jadi doktor. Dia ada watak untuk jadi doktor yang baik. Belajarlah rajin2." Kata bapa saudara saya itu di depan saya dan ayah.


Selepas kejadian itu ayah saya amat mengharapkan saya akan jadi doktor. Sewaktu temuduga biasiswa JPA saya disenaraikan untuk menjadi calon pelajar perubatan. Ayah sangat gembira. Sayangnya impian ayah tidak kesampaian apabila saya terpaksa menukar haluan ke bidang lain. ....Maafkan saya, ayah!!!!!

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai