Apa hadiah yang ibu inginkan?


posted by Martinelli Hashim

1 comment

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ 
Pada tarikh ini 31 Ogos, setengah abad yang lalu mungkin saja menjadi kenangan pahit dan manis yang tidak dilupakan oleh ibu sewaktu melahirkan saya ke dunia. Pahit kerana saya lahir  tatkala ayah  jauh diperantauan tanpa khabar tanpa berita. Pahit juga kerana sehari selepas saya dilahirkan kakak saya yang berumur 4 tahun meninggal dunia. 


Manisnya kerana kehilangan kakak diganti dengan kelahiran saya. 


Kata ibu ayah adalah mangsa fitnah dan kejahatan manusia yang menyebabkan kami terputus hubungan dengan ayah selama 10 tahun. Namun dengan rahmat Allah kami ditemukan kembali dan mengharungi hidup di bumi bertuah ini. Kasih sayang ibu dan ayah adalah hadiah yang sangat besar dari Allah. Ayah pergi menemui Tuhannya buat selama-lamanya setelah memberi segala-galanya untuk membolehkan anaknya berjaya hidup seperti orang lain.


Ibu masih sehat membelai cicit kesayangannya setiap hari.


Dalam usia 81 tahun, kasih ibu masih seperti dulu. Masih terasa kulit tangannya yang lembut membasuh muka saya setiap pagi waktu kecil di kampung. Tangan itu jugalah yg mengasuh 12 orang cucu yang sekarang sudah besar belaka. Kini tangan yang sama masih gigih mendokong cicit dan membasuh mukanya setiap pagi. Wajahnya berseri-seri apabila si kecil meraba-raba muka moyangnya sambil mengeluarkan suara manja. Saya dapat merasakan itulah diantara kemuncak kebahagiannya kini.


Besarnya nikmat Allah. Saya dianugerahkan seorang ibu yang masih sudi tinggal bersama saya sehingga diusia senjanya sekarang. Itulah hadiah harijadi yang paling mahal harganya yang diberikan ibu. Untuk semua itu saya hadiahkan ibu dengan seribu ketaatan dan ibu tidak pernah dan tidak akan pernah mendengar kata-kata kasar dari saya mulut saya, IsnyaAllah.... tekad yang terbina sejak kecil dulu dan saya pegang hingga ke hari ini.


Saya dianugerahkan Allah dengan suami yang masih sudi mengiktiraf saya sebagai isterinya walau dia sedar akan serba kekurangan yang ada pada saya ditengah-tengah kelebihan wanita-wanita lain yang beliau mampu milikki kalau beliau mahu.


Saya dianugerahkan Allah untuk dapat mendidik anak-anak yang menjadi permata hati yang masih taat kepada nasihat ibu dalam seribu peluang untuk melakukan kejahatan kalau mereka mahu.
Dengan curahan rahmat Allah saya dianugerahkan dua orang menantu yang sangat menyejukkan mata dan hati.


Kepada anak-anak ibu yang bertanya apa hadiah hari jadi yang ibu mahu, ibu jawab,
"Kasih sayang dan usaha gigih kalian untuk menjadi insan cemerlang dalam pelajaran sudah cukup untuk ibu sebagai hadiah duniawi. Impian ibu untuk melihat anak-anak ibu belajar di UIA sudah tercapai apabila seorang demi seorang menjejakkan kakinya di Taman Ilmu dan Budi tanpa paksaan.
Sudah 20 tahun ibu berada dalam majlis konvokseyen UIA dan melihat anak-anak orang lain naik ke pentas mengambil ijazah. Ibu mengimpikan suatu hari nanti akan melihat anak-anak ibu sendiri naik ke pentas yang sama seperti mereka. Ibu duduk di dewan sebagai ibu kepada graduan bukan sebagai pegawai UIA.
Sudah bertahun-tahun ibu mengendalikan pemilihan graduan untuk anugerah cemerlang konvokesyen UIA dan ibu impikan suatu hari nanti anak ibu adalah salah seorang dari mereka. Tahun ini buat pertama kali ibu tidak lagi berada dalam barisan juri bagi pemilihan itu. Namun tahun inilah semua impian ibu itu InsyaAllah akan menjadi kenyataan. Dua orang anak ibu akan naik ke pentas bergelar graduan dan salah sorang akan menerima anugerah itu. Alhamdulillah, kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah Yang Maha Pemurah.
Ibu tidak bangga untuk kemegahan tetapi ibu bangga anak ibu dapat menjiwai saranan ibu agar menjadi pemuda pembawa obor kecemerlangan ummah.
Bukankah ibu selalu berpesan "genggam bara api biar sampai jadi abu. Apa saja yang kita pilih untuk lakukan... lakukannya dengan kualiti kelas pertama. Buat jangan buat-buat, bermain jangan main-main".
Kalau anak-anak masih sudi ibu ingin satu hadiah lagi yang lebh berharga dari semua itu. Hadiah teristimewa yang bakal ibu bawa ke kubur nanti.
Hadiahkan ibu dengan kasolehan kalian mencintai masjid dan khusyu' dalam beribadat.
Sejukkan mata dan hati ibu dengan melihat anak-anak ibu meletakkan solat berjemaah sebagai agenda harian terpenting dalam hidup. Dalam susah dalam senang, panggilan solat usah dibiarkan tidak berjawab. Solatlah di mana azan dilaungkan.
Gembirakan hati ibu dengan melihat anak-anak yang tidak lokek membantu orang yang memerlukan. Kehebatan kita akan lebih bererti apabila kita membantu orang lain jadi lebih hebat.
Tenangkan jiwa ibu dengan melihat kalian meletakkan Allah di atas segala urusan....itulah hadiah yang lebih bermakna untuk ibu dari hadiah seisi dunia ini.
Waktu anak-anak ibu kecil dulu kalian rajin mengikut ibu solat. Ibu berdiri di depan dan kalian bersusun di belakang ibu. Ibu tinggi, kalian rendah
Masa begitu cepat berlalu. Sekarang anak-anak ibu sudah besar, kini ibu mengikut kalian solat. Ibu berdiri di belakang dan kalian pula bersusun di depan ibu. Kini ibu rendah, kalian tinggi dan ibu tenggelam dalam ketinggian anak-anak ibu.... suasana yang sangat membahagiakan kerana pada penglihatan ibu kalian masih comel seperti dulu.
Suatu waktu nanti akan tiba masanya apabila ibu dijemput Allah, ibu akan berada di depan semula dan kalian akan bersusun menghadap jasad ibu untuk solat terakhir mengiringi ibu ke alam barzakh. Ibu akan terlalu rendah dan anak-anak terlalu tinggi.
Waktu itu ibu di depan terkujur kaku tanpa suara lagi dan kalian di sisi ibu khusyu' membacakan doa untuk ibu. Kata Nabi saw, hanya doa anak yang benar-benar soleh di antara kalian yang dapat ibu nikmati nanti. 
Ingatkah kalian adakalanya si comel ibu tertidur di atas sejadah menunggu ibu selesai solat. Ibu akan angkat buah hati ibu dengan pelukan sayang dan dengan penuh hati-hati ibu bawa si comel ibu ke bilik tidur.
Sekarang bersedialah menjadi anak soleh agar pabila sampai masanya nanti selepas jenazah ibu disolatkan kalianlah yang akan mengangkat ibu untuk dibawa ke bilik tidur ibu yang abadi.
Wahai anak-anak ibu!! Ibu tidak sudi sekiranya tangan yang bakal mengangkat ibu nanti bukan tangan anak ibu yang soleh.
Usah siram pusara ibu nanti dengan air mawar tetapi siramlah dengan doa-doa kalian yang mustajab"


Coretan ini ibu tujukan kepada enam orang anak yang ibu lahirkan sebagai menjawab soalan, "apa hadiah yang ibu inginkan untuk hari jadi ibu?"
Ibu Anak Merdeka, ibu tidak terikat kepada keperluan hadiah duniawi.
Ibu tidak minta yang lebih besar dari usaha gigih anak2 menjadi insan soleh.

1 comment

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai