Setiap hari kita menyapa orang dengan ucapan "apa khabar?" dan orang yang ditanya akan menjawab dengan ringkas, "Alhamdulillah, khabar baik." Kalau tidak baik pun tetap dikatakan baik sebab orang yang bertanya itu belum tentu benar2 hendak tahu tentang diri kita.
Artis di atas pentas selalu memulakan persembahan dengan menjerit, "Apa khabar semua?" dan mengulangnya beberapa kali supaya penonton menjawab dengan kuat sedangkan sebenarnya sedikitpun dia tidak punya minat untuk tahu keadaan diri setiap penonton itu. Dia hanya ingin mendengar gemuruh suara peminat bagi menguji popularitinya.
Cuba tanyakan khabar diri kita pula, "Apa khabar diriku?"
Ambil sedkit waktu bersendirian, dalam keadaan sunyi dan tanyalah diri dengan jujur. Lihat dengan mata hati ke dalam diri yang sudah berapa lama menjadi penumpang di bumi milik Allah ini.
Jengah pada rohani, "Apa khabar rohaniku?"
Jengah pada hati raja penentu kualiti diri, "Apa khabar wahai hati?"
Jengah pada akal penentu martabat insan, "Bagaimanakah keadaanmu wahai akal?"
Tanya pada nafsu, "Bagaimanakah keadaanmu wahai nafsu?"
Tanya pada tangan, pada kaki, pada mata, pada telinga dan pada mulut, "Apa khabar? Apakah yang sudah kalian lakukan ....apakah pahala atau dosa yang lebih banyak?"
Dengarlah suara2 mereka. Setiap anggota akan menjawab satu persatu......tanpa bohong, tanpa selindung, sebagaimana mereka akan tidak berselindung apabila disoal diakhirat nanti.
Bahagialah diri yang punya akal digunakan untuk kebaikan, dada yang penuh dengan ilmu dan kasih sayang, hati yang sering mendekati Pencipta, mata yang selalu menangisi dosa, tangan yang sering menghulur sedekah, kaki yang sering ke masjid, mulut yang sering bertasbih, dahi yang sering sujud ke bumi dan nafsu yang terpenjara oleh akal.
Resahlah diri yang punya akal digunakan untuk menyusahkan orang lain, hati yang gelap dengan dendam, mata yang sering melihat maksiat, tangan yang berat untuk membantu orang susah, kaki yang jarang ke rumah Allah, mulut yang sering menyakiti orang, wajah yang jarang basah dengan wudhu' dan nafsu yang bermaharajalela tanpa batas.
"Apa khabar duhai diri? " Sudah begitu banyak nikmat Allah yang sudah engkau kecapi. Ujian Allah belum tentu engkau menangi. Masa terus berlari meninggalkanmu....di depan sana kubur makin hampir dan mati itu sudah pasti. Dosa yang bergudang sedang pahala tidak seberapa..... di manakah tempatmu nanti?
"Apa khabar duhai dri? " Sebelum mungkar nangkir menanyamu nanti tanyalah amal ibadahmu..... sempurnakah solatmu kerana itu penentu keadaanmu di liang lahad dan di akhirat nanti.
"Apa khabar duhai diri?" Sudah terlaksanakah amanah Allah yang menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi ini untuk menjaga bumi dan seisinya dengan baik?
"Apa khabar duhai diri?" Eengkau tidak akan lahir ke dunia ini tanpa ibu bapamu...... sudah sempurnakah tanggungjawab mu kepada mereka berdua?
Sepatah soalan "Apa khabar diriku" sudah cukup ngeri untuk direnungkan, betapa banyaknya dosa yang kita lakukan seharian.
ASTAGH FIRULLAHIL 'AZIM.............ampunkan diriku wahai Allah rabbul'alamin.
Dr. Abdul Salam ada menyebut dalam kuliah malam sabtunya, "Tanda2 orang itu dikasihi Allah ialah hatinya sentiasa berzikir pada Allah." Kalau sudah dikasihi Allah tiada lagi kita perlu menagih kasih manusia.