Kelahiran anak keduanya ini amat dinantikan oleh seluruh keluarga. Pedih kehilangan anak pertama 6 bulan lalu, moga boleh terubat dengan kelahirannya. Bidadari kecil yang pernah menambat hati setiap orang di rumah ini pergi terlalu cepat. Dalam usia setahun 8 bulan dia meninggalkan kami buat selama-lamanya. Kami terasa tidak sabar menunggu kelahiran penggantinya. Doa mencurah-curah agar yang ini lahir sempurna tanpa kesulitan tanpa kecacatan.
Doa untuk dia berpusing supaya dapat lahir normal tidak putus-putus. Keyakinan yang tinggi agar Allah akan makbulkan.
Namun siapalah kita untuk memaksa Allah merubahnya.
"Tak apalah. Kita redha je apa yang Allah bagi. Kalau memang Allah dah takdir kita tak dapat anak ramai, itu adalah yang terbaik untuk kita. " Kata menantu saya.
Dalam kesayuan pagi itu Liyana bersuara lagi, "Ibu, apa ye yang Allah nak tunjukkan pada kita? Allah ambil Aufa. Sekarang anak ini pula songsang."
Saya mengumpulkan ilham untuk menjawab. Soalan-soalan begitu sering datang dalam fikiran siapa saja apabila menerima ujian yang bertimpa-timpa. Liyana, anak kami yang sering menerima ujian sejak kecil lagi adalah seorang yang tenang, alhamdulillah.
Dalam mengira-ngira waktu, tiba-tiba saat kelahiran tiba. Kesakitan yang datang mendadak. Kami berkejar membawa Liyana ke hospital. Hanafi memecut kereta dengan laju sehingga lampu merahpun tidak dihiraukan. Iswandi menenangkan isterinya yang kesakitan. Mujurlah malam, jalan lengang. Cemas yang amat cemas, mengenangkan kedudukan bayi menyongsang dan siibu belum pernah melahirkan secara normal.
"Kenapa lambat sangat bawa? Tak sempat nak operate. Baby dah di pintu.." kata doktor.
Terasa juga kekesalan kerana tidak segera datang bila Liyana memberitahu dia dah terasa sakit sejak siang. Rupanya pengalaman saya melahirkan anak 6 orang tidak membantu keadaan yang cemas begini.
Selang 15 minit menantu datang memberitahu, "Alhamdulillah, bu. Baby lahir normal. Semua dah selamat."
Kesyukuran yang setingginya kepada Allah. Allah tidak mengizinkan bayi itu berpusing tetapi Allah menentukan dia keluar tanpa pendedahan dalam masa yang begitu pendek.
Jawapan kepada soalan "Apa yang Allah nak tunjukkan?" kini terjawab.
Allah menunjukkan bahawa Dia adalah Tuhan dan kita adalah hambaNya. Allah menunjukkan bahawa Dialah yang berkuasa, Dia menentukan segalanya. Allah menunjukkan bahawa sangkabaik dan keyakinan kita kepadaNya tidak disia-siakan.
Apabila Allah mengambil orang yang kita sayang, Allah menunjukkan bahawa kasihNya mengatasi kasih kita. Bagaimana besarnya kasih kita pada anak, kita tidak mungkin mampu memberi sebaik yang Allah sediakan untuknya di alam sana. Di sana dia tidak lagi merasa sakit, sedih atau lapar.
Maka akurlah kita apabila Allah menganugerahkan anak, itu adalah amanah. Anugerah anak yang sihat, comel dan sempurna bukan untuk dibanggakan, dan anak yang tidak sempurna bukan untuk dikesali. Usah bermegah dengan kehebatan anak kerana kita tidak dapat merasa kesedihan ibubapa yang memiliki anak tidak sempurna.
Usah terkilan dengan kekurangannya kerana kita tidak tahu apa anugerah yang Allah sediakan untuk kesabaran kita menerimanya.
Anak bukan milik mutlak ibubapanya. Tukarlah rasa bangga atau terkilan itu dengan syukur dan redha.
Allah tidak akan berhenti menguji hambaNya. Sebentar kita gembira, sebentar kita berduka. Semua manusia diberi samarata. Bezanya mungkin bagaimana kita mencari jawapan kepada "Apa yang Allah nak tunjukkan?"
Kasih Allah akan menggunung buat orang yang bersangka baik kepadaNya setiap ketika pada setiap ujian. Kita hanyalah hamba yang diberi status sebagai khalifah di bumi Allah dan kita tidak punya kuasa apapun tanpa izinNya.
Kini si kecil yang baru berusia 4 hari terpaksa dimasukkan ke hospital kerana demam kuning yang dikatakan tinggi. Allah menguji lagi. Kami cemas lagi.
"YaAllah kasihani kami, sembuhkanlah buah hati kami."
...sabarlah..Allah x akan menguji hambaNya yang tidak kuat..insyaallah ada hikmah di sebalik semua ujianNya....
Jazakillah,mamaijat.
assalam kak nelli...
saya pun pernah alami situasi yg sama, ank sulung saya songsang, sudah puas doktor memusingkan tapi dia tetap di kedudukannya...akhirnya sy akur dgn kelahirannya secara operation... alhamdulillah sihat.. ade kwn2 yg berckp mtk dijauhkn melahirkn ank secara operatn, tapi bg saya, sy bersyukur sgt sb Allah beri kami anak sbg amanah, ank kami sempurna,sihat, dua2 slmt...sy tahu mgkn Allah dah sediakan hikmah mengapa dia terpksa dilahirkan operatn.. kita manusia kan, redhalah dgn ketentuanNYA...
Waalaikum salam, Ayu,
Terima kasih. Alhamdulillah cucu kak neli dah selamat dilahirkan. Kes bayi songsang sangat banyak sekarang. Allah saja yang tahu kenapa.