Orang Baik Itu Ibarat Penjual Minyak Wangi


posted by Martinelli Hashim

No comments



Kesan perbualan ke atas kesegaran badan.

Pengalaman 1.

Perjalanan bersama 3 orang pensyarah untuk menghadiri bengkel di Puterajaya menaiki  van. Kesemuanya adalah pensyarah muda dalam lingkungan awal 40an.  Pemandu datang sedikit lambat. Masing-masing berungut mengutuk pemandu. Tidak ketinggalan mengutuk seorang pegawai yang sepatutnya ikut sama tetapi menalipon tidak jadi pergi.

Sepanjang perjalanan pergi dan balik, bicara dipenuhi rungutan demi rungutan terhadap pelbagai pihak. Isu yang dirungutkan termasuklah isu  layanan yang diterima, gaji, kenaikan pangkat, bebanan kerja, pelajar malas, pegawai lembab dan bermacam-macam lagi. Keraplah keluar perkataan seperti, “Tak professional”, “tak guna otak”, “bangang” dll. Hampir keseluruhannya adalah berkaitan dengan rasa tidak puas hati. Kalau ketawapun ketawa memperbodohkan orang lain.

Hormat saya kepada mereka mula menipis.

Saya pulang ke rumah merasa amat penat. Malam itu saya tidur awal disebabkan keletihan.

Pengalaman 2

Perjalanan bersama 3 orang pensyarah untuk menghadiri bengkel, juga di Puterjaya juga menaiki van. Mereka adalah seorang professor seusia saya dan dua lagi adalah pensyarah muda berumur 20an dan 30an. Mereka datang  10 minit awal. Mengucapkan terima kasih kepada saya kerana menyediakan van dengan wajah ceria. Memberi salam kepada pemandu. 

Dalam perjalanan pergi lebih banyak bercerita tentang simpati mereka kepada pelajar. Tuan profesor tidak banyak bercakap tetapi banyak senyum mengiyakan cerita kami. Tercerna dalam bicara mereka bayangan guru yang  murabbi  menyayangi anak murid. 

Dalam perjalanan pulang….suasana lebih meriah. Pelbagai topik…. cerita tentang penyelidikan, agama, keluarga, masyarakat, politik termasuk antropology dan geografi, walaupun kesemua mereka adalah orang sains. Tidak seayatpun keluar  ucapan berbau rungutan.

Di dalam hati saya mengkagumi mereka…. Wara’ dan berperibadi mulia. Rasa bersyukur kerana dua orang anak saya menjadi pelajar mereka  serta pensyarah lain yang berperibadi seperti mereka di Taman Ilmu dan Budi. Ibubapa seperti saya sudah tentu meletakkan harapan yang tinggi agar anak yang dihantar mengaut ilmu di sini dapat juga terdidik akhlak dan budi pekerti mereka.

Saya pulang ke rumah masih terasa segar walaupun berada lama dalam kesesakan jalan raya. Malam itu saya tidur lambat kerana mata tidak mengantuk dengan kesegaran badan. 

Dari dua pengalaman bermusafir dengan dua kumpulan pendidik ini mengingatkan saya tentang kata-kata pakar bahawa ucapan positif akan membuat badan kita sihat. Apa yang kita lihat dan dengar akan mempengaruhi sistem physiology badan. Ucapan positif akan mengaktifkan  sel-sel badan, melancarkan perjalanan darah yang membawa oksigen ke otak sehingga badan menjadi segar. 

Begitulah sebaliknya apabila mendengar kata-kata negatif. Badan akan menjadi lesu tidak bermaya.

Sebuah muhassabah buat diri sendiri yang tidak terhindar dari sifat merungut.

Kata ulama' apa yang dilalui itu adalah pengajaran yang berharga buat mereka yang berfikir. MashaAllah...Allah membentangkan semua ini untuk dijadikan peringatan buat diri ini yang sering lalai. Kembali menginsafi diri yang kerap juga mengeluarkan rasa tidak puas hati. Benarlah rupanya bahawa banyak bersungut bukan saja melemahkan diri tetapi melemahkan orang lain yang mendengar. Apabila bersungut, susah untuk mengelak dari mengumpat…… makin badan kita sakit. Sakit kerana secara tidak langsung umpatan itu seolah-olah memakan daging saudara sendiri.
Mendidik mereka tentang nilai keinsanan

Alangkah ruginya dengan sungutan yang melibatkan ghibbah/umpatan bukan saja menghakis penghormatan manusia malah mendapat kutukan dari para malaikat. serta hukuman dari Allah.

Menjadi i'tibar juga bahawa berada bersama orang berilmu dan berperibadi mulia sama seperti berada bersama pembuat minyak wangi yang membawa lampu suluh ...... mereka bukan saja mewangikan suasana malah juga menerangi kegelapan. Haruman yang dibuatnya akan terpercik ke badan kita, cahaya lampunya sekurang-kurang membantu kita melihat kesalahan dan kekurangan diri sendiri.

Usia tidak menentukan peribadi. Alangkah baiknya dalam usia yang muda sudah memiliki nilai  diri yang terpuji yang dikagumi orang yang melihat. Alangkah bahagianya jika ramai orang yang begini menghuni taman ilmu ini.

Buat anakanda yang menjadi guru dan pensyarah, jadilah pendidik berilmu dan berperibadi mulia agar ilmu yang diberi penuh barakah menerangi jiwa insan-insan yang suatu masa nanti juga mampu menerangi orang lain.

Leave a Reply

Pandangan anda amat dihargai